RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS), kini memainkan peranan utama dalam mengisi kekosongan geopolitik yang ditinggalkan oleh Iran di Timur Tengah, khususnya di Lebanon dan Syria.
Dengan kemerosotan pengaruh Iran akibat konflik Gaza dan kejatuhan sekutunya di Syria, Arab Saudi tidak membuang masa untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa serantau yang dominan.
Arab Saudi dan MBS telah mengambil langkah strategik untuk memperluas pengaruh mereka di Timur Tengah.
Selepas Encik Joseph Aoun, Ketua Tentera Lebanon dipilih sebagai presiden baru negara itu, bendera gergasi yang memaparkan imej Aoun dan MBS digantung di wilayah Akkar, menonjolkan MBS sebagai “pemimpin Arab.”
Langkah ini tidak hanya simbolik tetapi menunjukkan komitmen Riyadh dalam memastikan kestabilan politik di Lebanon dengan menyokong calon presiden yang dipercayai.
Menurut Encik Mustafa Fahs, seorang penganalisis di Beirut, ini adalah pertembungan antara visi MBS yang progresif dan pragmatik dengan ideologi ketinggalan zaman yang dipegang oleh Ayatollah Ali Khamenei.
“Ini adalah pertembungan antara seorang pemimpin muda yang memahami perubahan dunia dan seorang ulama tua yang masih berpegang pada ideologi lama,” kata Encik Fahs.
Iran mengalami kekalahan besar selepas serangan Hamas terhadap Israel pada Oktober 2023. Konflik tersebut bukan sahaja melemahkan kedudukan sekutunya, tetapi juga menghancurkan pengaruhnya di Gaza dan Lebanon.
Pemimpin-pemimpin utama proksi Iran, termasuk Hezbollah dan Hamas, kehilangan banyak kekuatan. Di Syria pula, kejatuhan Bashar al-Assad pada bulan Disember menamatkan pengaruh empat dekad Iran ke atas negara itu.
Encik Paul Salem dari Institut Timur Tengah berkata:
“Pukulan terbesar sebenarnya diterima oleh Iran. Ini adalah keadaan kritikal yang bergema di seluruh rantau ini.”
Arab Saudi memanfaatkan keadaan ini untuk mengukuhkan kedudukannya. MBS tidak hanya menumpukan perhatian kepada politik di Lebanon dan Syria tetapi juga memainkan peranan dalam perbincangan masa depan Gaza, terutama dari aspek pemulihan dan pemulihan hubungan dengan Israel.
Dengan Iran semakin lemah, Arab Saudi mengambil peluang untuk mempercepatkan agenda ekonominya melalui Wawasan 2030.
Menurut Dr Bader Al-Saif, seorang profesor di Universiti Kuwait, Arab Saudi telah mengalihkan dasar luarnya kepada pendekatan yang mengutamakan pengurangan ketegangan dan kerjasama ekonomi.
“Arab Saudi kini menuai manfaat daripada dasar luar yang diselaraskan semula, yang mengutamakan pembangunan ekonomi dan kestabilan serantau,” katanya.
Langkah ini termasuk peranan aktif dalam memulihkan Gaza, Lebanon dan Syria, yang kos pembinaannya dianggarkan mencecah puluhan bilion dolar. Namun, Riyadh mengambil pendekatan berhati-hati untuk memastikan bantuan ini tidak disalahgunakan, seperti yang berlaku pada masa lalu.
Di Lebanon, kunjungan presiden baru Encik Aoun ke Arab Saudi dijangka memberi tumpuan kepada pelaburan berbanding bantuan kewangan semata-mata. Ini menunjukkan bahawa Riyadh mahu pastikan setiap pelaburan memberikan impak jangka panjang yang mampan.
Walaupun Arab Saudi berjaya mengisi kekosongan yang ditinggalkan Iran, cabaran tetap ada. Iran masih memiliki pengaruh di Iraq dan Yaman, dua negara yang berkongsi sempadan dengan Arab Saudi.
Ketegangan mengenai program nuklear Iran juga boleh mencetuskan konflik baru yang mungkin mengancam kestabilan rantau ini.
Di Syria, walaupun Arab Saudi bekerjasama dengan Turkey untuk mengukuhkan pengaruh mereka, persaingan untuk mengawal kepimpinan baru negara itu masih wujud. Turkey telah memainkan peranan besar dalam kejatuhan Bashar al-Assad, dan persaingan antara Riyadh dan Ankara boleh menjejas kestabilan di Syria.
Selain itu, hubungan Riyadh dengan sekutunya sendiri, seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE), juga menghadapi tekanan.
UAE secara terbuka menyatakan kebimbangan terhadap pemerintah sementara di Syria, yang diketuai oleh Hayat Tahrir al-Sham (HTS). Walaupun HTS cuba menunjukkan imej sederhana untuk menarik sokongan Arab dan Barat, cabaran tetap ada untuk Riyadh menangani kumpulan tersebut.
Salah satu isu utama di Lebanon pula adalah senjata yang dipegang oleh Hezbollah. Presiden Aoun menyatakan komitmennya untuk memastikan hanya tentera Lebanon yang memiliki senjata. Namun, pelaksanaan langkah ini bukanlah sesuatu yang mudah.
Walaupun Hezbollah mendakwa bahawa mereka memegang senjata untuk mempertahankan sempadan Lebanon daripada ancaman Israel, pengaruh Iran melalui kumpulan ini tetap menjadi cabaran kepada kestabilan di negara itu.
Riyadh telah menetapkan syarat bahawa pembiayaan pemulihan Lebanon hanya akan diberikan jika Hezbollah dilucutkan senjatanya.
Menurut Cik Dareen Khalifa dari International Crisis Group, pemimpin HTS, Ahmed Al-Sharaa, melihat dirinya sebagai peluang mengembalikan Syria ke orbit Arab tetapi tidak mahu menjadi boneka mana-mana kuasa serantau. Ini menambah lagi kerumitan kepada usaha Saudi untuk membentuk kestabilan di rantau ini.
Di tengah-tengah usaha Arab Saudi di Lebanon dan Syria, normalisasi hubungan dengan Israel menjadi isu yang tidak boleh dielakkan. Riyadh dilihat semakin dekat untuk membentuk hubungan rasmi dengan Israel, dengan syarat kestabilan serantau dapat dicapai.
Encik Aoun dijangka memainkan peranan penting dalam usaha ini. Menurut sumber, Riyadh dan Beirut sedang menunggu perubahan kepimpinan di Israel sebelum mengambil langkah lanjut ke arah pemulihan.
Putera Mahkota Mohammed bin Salman sedang memimpin transformasi geopolitik di Timur Tengah. Namun, cabaran yang ada, termasuk konflik dalaman di Syria dan Lebanon, serta hubungan yang kompleks dengan Iran, Turkey, dan UAE, memerlukan strategi yang teliti dan berterusan.
Dalam kata-kata Encik Fahs: “Keputusan pertarungan ini akan membawa kesan besar, bukan hanya kepada Iran dan Arab Saudi, tetapi juga kepada seluruh dunia.”
MBS kini berada di persimpangan untuk membentuk bukan sahaja masa depan Arab Saudi tetapi juga hala tuju Timur Tengah secara keseluruhan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg