Saudi: Jemaah umrah Ramadan wajib suntik vaksin meningitis 10 hari sebelum perjalanan
Saudi: Jemaah umrah Ramadan wajib suntik vaksin meningitis 10 hari sebelum perjalanan
Persekitaran sesak tingkat risiko penularan penyakit berjangkit, terutama meningitis
RIYADH: Kementerian Kesihatan Arab Saudi menggesa semua jemaah umrah, terutamanya mereka yang merancang untuk menunaikan ibadah tersebut pada bulan Ramadan supaya mendapatkan suntikan vaksin meningitis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum memulakan perjalanan.
Jangkitan bakteria ini merebak melalui titisan pernafasan dan boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius jika tidak segera dirawat.
“Mendapatkan vaksin adalah langkah penting untuk melindungi kesihatan dan keselamatan jemaah,” kata kementerian itu.
Ia turut menjelaskan bahawa tempoh 10 hari itu memberi masa yang mencukupi untuk imuniti berkembang dan memastikan tahap perlindungan terbaik semasa melakukan ibadah tersebut.
Kementerian itu menyatakan bahawa vaksin meningitis memberikan imuniti sehingga lima tahun.
Jemaah yang telah menerima vaksin dalam tempoh ini tidak perlu mengulangi suntikan dengan syarat ia kekal dalam tempoh masa perlindungan yang ditetapkan.
Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan garis panduan kesihatan baru yang lebih ketat bagi musim haji 2026 (1447 Hijrah), sebagai langkah memperkukuh keselamatan awam dan pencegahan penyakit semasa perhimpunan ibadah terbesar umat Islam itu.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam kenyataan terkini menegaskan bahawa semua bakal jemaah mesti bebas daripada penyakit berjangkit dan penyakit kronik yang serius serta berupaya melaksanakan ibadah haji secara berdikari.
Antara syarat utama termasuk larangan kepada individu yang menghidap kegagalan ginjal atau jantung kronik, penyakit paru-paru atau hati yang teruk, gangguan kognitif atau pergerakan, kehamilan berisiko tinggi, jangkitan aktif, serta pesakit barah yang sedang menjalani rawatan.
Mereka yang tergolong dalam kategori itu tidak dibenarkan menunaikan ibadah haji.
Menurut surat pekeliling rasmi yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Arab Saudi, semua anggota jemaah perlu membuktikan tahap kesihatan fizikal dan mental yang baik, serta mematuhi jadual vaksinasi wajib sebelum dibenarkan memasuki negara itu.
Langkah itu diambil selepas Arab Saudi berdepan cabaran besar dalam mengurus kesihatan jutaan jemaah semasa musim haji. – Agensi berita.

