RIYADH: Kerajaan Arab Saudi mengumumkan garis panduan kesihatan baru yang lebih ketat bagi musim haji 2026 (1447 Hijrah), sebagai langkah memperkukuh keselamatan awam dan pencegahan penyakit semasa perhimpunan ibadah terbesar umat Islam itu.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam kenyataan terkini menegaskan bahawa semua bakal jemaah mesti bebas daripada penyakit berjangkit, tidak menghidap penyakit kronik yang serius atau tidak terkawal, serta memiliki keupayaan fizikal untuk melaksanakan ibadah haji secara berdikari.
Antara syarat utama yang digariskan termasuk larangan kepada individu yang menghidap kegagalan ginjal atau jantung kronik, penyakit paru-paru atau hati yang teruk, gangguan kognitif atau pergerakan, kehamilan berisiko tinggi, jangkitan aktif, serta pesakit barah yang sedang menjalani rawatan.
Mereka yang tergolong dalam kategori itu tidak dibenarkan menunaikan ibadah haji.
Menurut surat pekeliling rasmi yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Arab Saudi, semua anggota jemaah perlu membuktikan tahap kesihatan fizikal dan mental yang baik, serta mematuhi jadual vaksinasi wajib sebelum dibenarkan memasuki negara itu.
Langkah itu diambil selepas beberapa tahun Arab Saudi berdepan cabaran besar dalam mengurus kesihatan dan kawalan jutaan anggota jemaah semasa musim haji.
Pada 2024 sahaja, lebih 1.8 juta anggota jemaah menunaikan ibadah itu.
Dengan suhu yang sangat tinggi dan jumlah jemaah yang besar, kerajaan Saudi berusaha mengurangkan risiko penyakit berjangkit serta kes-kes berkaitan strok haba.
Kementerian menegaskan bahawa hanya anggota jemaah yang mematuhi semua syarat kesihatan akan dibenarkan memasuki tanah suci.
Antara vaksin wajib ialah Covid-19, meningokokus, polio dan demam kuning.
Anggota jemaah mesti menunjukkan bukti vaksinasi Covid-19 lengkap menggunakan vaksin yang diluluskan Arab Saudi, dengan dos terakhir diterima antara 2021 dengan 2025 dan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perjalanan.
Vaksin meningokokus pula perlu diambil dalam tempoh tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dari 10 hari sebelum ketibaan.
Sementara itu, semua pelancong berusia sembilan bulan ke atas, wajib menunjukkan sijil vaksinasi demam kuning yang sah.
Kerajaan Arab Saudi akan melaksanakan pemeriksaan kesihatan menyeluruh di semua pintu masuk negara.
Anggota jemaah yang gagal memenuhi piawaian kesihatan berisiko tidak dibenarkan masuk, diasingkan, atau diarah menjalani penilaian kesihatan lanjut.
Surat pekeliling itu turut menegaskan bahawa anggota jemaah yang menghidap penyakit tersenarai tidak dibenarkan melakukan sebarang perjalanan, sambil menambah bahawa sijil kesihatan akan diperiksa dengan ketat sebelum keberangkatan dan sebaik sahaja tiba di tanah suci.
Pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi turut memaklumkan bahawa mereka berhak memperkenalkan langkah pencegahan tambahan jika berlaku wabak sejagat atau kecemasan kesihatan awam sebelum atau semasa musim haji, dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Langkah baru itu menandakan pendekatan lebih proaktif dalam melindungi jutaan anggota jemaah daripada ancaman penyakit berjangkit dan kematian akibat suhu panas yang melampau.
Arab Saudi sebelum ini berdepan pelbagai cabaran termasuk penularan meningitis, influenza bermusim, serta kesan berpanjangan pandemik Covid-19.
Di samping itu, tragedi rempuhan dan kematian akibat cuaca ekstrem turut meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap kerajaan untuk memperkukuh kawalan kesihatan dan keselamatan.
Peraturan baru itu dijangka akan meningkatkan tanggungjawab negara-negara penghantar jemaah utama seperti Indonesia, Pakistan dan Nigeria, yang kini perlu memperketat proses pendaftaran dengan mewajibkan pemeriksaan kesihatan menyeluruh sebelum jemaah berlepas ke tanah suci. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg