Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi kecam Houthi lancar serangan dron ‘pengecut’ ke Makkah, lancar serangan udara ke Yaman
Saudi kecam Houthi lancar serangan dron ‘pengecut’ ke Makkah, lancar serangan udara ke Yaman
AS pilih tidak sokong Saudi di Yaman selepas temui pemimpin Houthi
Saudi kecam Houthi lancar serangan dron ‘pengecut’ ke Makkah, lancar serangan udara ke Yaman
RIYADH: Arab Saudi menyifatkan dakwaan serangan dron Houthi yang menyasarkan Makkah sebagai “serangan pengganas yang pengecut” dan menegaskan kerajaan berhak mengambil segala langkah yang diperlukan untuk mempertahankan dua masjid suci, jemaah serta seluruh wilayahnya.
Kecaman keras itu dibuat selepas Riyadh berkata sistem pertahanan udaranya memintas dan memusnahkan sebuah dron Houthi yang menuju ke Makkah pada 15 September, sebelum ia memasuki ruang udara larangan berhampiran kota paling suci bagi umat Islam itu.
Pakatan pimpinan Saudi turut memberi amaran bahawa keselamatan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta jemaah adalah “garis merah”, sambil berikrar mengambil tindakan yang diperlukan bagi menghalang ancaman terhadap kedua-dua tempat suci itu.
“Pakatan tidak akan teragak-agak mengambil langkah yang perlu dan tindakan pencegahan terhadap militia pengganas Houthi,” katanya.
Dakwaan bahawa Houthi cuba menyerang Makkah turut dikecam beberapa negara dan pertubuhan Islam. Houthi bagaimanapun menafikan melancarkan dron ke arah kota suci itu.
Anggota biro politik Houthi, Encik Hazem al-Assad, menyifatkan tuduhan Riyadh sebagai “pembohongan lama yang pernah digunakan sebelum ini dan tidak lagi memperdayakan sesiapa”.
Tiada bukti bebas setakat ini yang mengesahkan sasaran sebenar dron berkenaan.
Seorang penduduk Makkah yang enggan dikenali memberitahu AFP bahawa beberapa orang panik dan bergegas ke tingkap selepas penduduk menerima amaran serangan menerusi telefon bimbit mereka.
Seorang lagi penduduk berkata beliau berasa takut apabila amaran itu diterima.
“Bukankah mereka orang Islam? Mereka menyasarkan kota paling suci. Apa yang ada di sini untuk disasarkan?” katanya.
Namun, seorang penduduk berkata keadaan di Makkah kembali seperti biasa selepas kejadian itu.
Arab Saudi sebelum ini pernah menuduh Houthi melancarkan serangan ke arah Makkah ketika konflik terdahulu.
Semasa ibadah haji tahun 2026 ini, Kementerian Pertahanan Saudi mengeluarkan rakaman menunjukkan sistem pertahanan udara canggih ditempatkan di pinggir Makkah.
Pertikaian mengenai dron itu berlaku ketika pertempuran antara Arab Saudi dengan Houthi semakin sengit.
Jurucakap tentera Houthi, Encik Yahya Saree, berkata pesawat perang Saudi melancarkan 40 serangan udara ke atas wilayah Taiz, Marib dan Hodeidah dalam tempoh 24 jam sehingga 16 September.
Beliau mendakwa Arab Saudi melancarkan lebih 450 serangan udara sepanjang seminggu lalu.
Sebagai tindak balas, Houthi mendakwa menyerang sebuah pangkalan udara Saudi serta kemudahan syarikat minyak Saudi Aramco di bandar pelabuhan Yanbu di Laut Merah.
Houthi turut mendakwa menembak jatuh sebuah pesawat pejuang F-15 Saudi berhampiran Marib.
Kumpulan itu tidak mengemukakan bukti bebas untuk menyokong dakwaan tersebut.
Pertempuran darat turut berterusan antara Houthi dengan pasukan pemerintah Yaman yang disokong Riyadh.
Dua sumber tentera memberitahu AFP bahawa tentera pemerintah bertempur dengan Houthi untuk menguasai kem Al-Labanat. Penguasaan kawasan itu boleh membuka laluan ke Al-Hazm, ibu kota wilayah Al-Jawf, kira-kira 50 kilometer dari situ.
Konflik terbaru menjadi semakin penting kepada Arab Saudi selepas Houthi membuat kemaraan besar di sepanjang pantai barat Yaman dan memperkukuh kedudukan mereka di sekitar Selat Bab al-Mandab.
Selat itu menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan merupakan laluan penting bagi perdagangan antarabangsa serta penghantaran minyak Saudi, terutama ketika laluan perkapalan lain di rantau itu terjejas akibat konflik lebih luas di Timur Tengah.
Houthi berkata hanya kapal yang mempunyai kaitan dengan Arab Saudi menjadi sasaran sekatan maritim mereka dan mendakwa kapal Amerika serta kapal antarabangsa lain tidak menghadapi ancaman.
Di tengah-tengah pertempuran itu, pegawai Amerika Syarikat mengadakan pertemuan dengan pemimpin Houthi di Kedutaan Amerika di Muscat, Oman, pada hujung minggu lalu.
Dalam pertemuan itu, Houthi yang disokong Iran memberi jaminan bahawa perjanjian gencatan senjata dengan Amerika yang dicapai pada 2025 masih berkuat kuasa dan kumpulan itu tidak berhasrat menyerang kapal Amerika di Laut Merah.
Pertemuan tersebut berlaku sebelum Washington memutuskan untuk tidak campur tangan secara ketenteraan bagi membantu Arab Saudi mengekang kemaraan Houthi di Yaman.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengutuk kemaraan Houthi di pantai barat Yaman kerana mengancam kebebasan pelayaran melalui Bab al-Mandab, tetapi setakat ini tidak mengambil tindakan ketenteraan bagi menyokong Riyadh.
Amerika juga sedang terlibat dalam konflik dengan Iran, yang menyokong Houthi, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Arab Saudi untuk menentukan sama ada mahu mencari penyelesaian diplomatik atau mendapatkan sokongan serantau bagi mengekang kemaraan kumpulan itu. - Agensi berita
