JEDDAH: Menyedari peningkatan jumlah jemaah yang menunaikan umrah sepanjang Ramadan, Suruhanjaya Fesyen di bawah Kementerian Kebudayaan Arab Saudi telah melancarkan inisiatif Ihram Lestari – sebuah projek yang memfokuskan kepada pengumpulan, kitar semula dan penghasilan semula kain ihram yang telah digunakan.
Inisiatif ini dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Syarikat Pelaburan Kitar Semula Arab Saudi (SIRC) dan syarikat fesyen lestari tempatan, Tadweem. Ia bertujuan menghormati tradisi Islam yang suci sambil menyokong pemeliharaan alam sekitar melalui kaedah mesra bumi.
Encik Burak Cakmak, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Fesyen Arab Saudi, berkata pemilihan kain ihram sebagai projek pertama dalam usaha kitar semula adalah simbolik.
“Ihram bukan produk yang sering dikaitkan dengan fesyen, tetapi hakikatnya ia dihasilkan dan digunakan dalam jumlah yang besar setiap tahun terutamanya semasa musim haji dan umrah,” katanya.
“Kami mahu mencipta produk kitaran pertama di Arab Saudi dan tiada pilihan yang lebih baik daripada ihram – sehelai kain yang sangat dekat dengan warisan agama dan budaya negara ini,” tambahnya.
Untuk musim haji yang lalu, sebanyak 336 tong pengumpulan telah diletakkan di kawasan Mina bagi mengumpul kain ihram yang tidak lagi digunakan. Kain-kain ini kemudiannya dibersihkan, diasing dan diproses semula menjadi benang sebelum dijadikan kain baru.
Proses pembuatan dilakukan di luar negara, termasuk di Dubai dan Turkey, tetapi perancangan jangka panjang ialah untuk membuka kemudahan kitar semula di Arab Saudi.
Ketua Pegawai Eksekutif Tadweem, Encik Mustafa Bukhari, berkata mereka kini sedang mengusahakan langkah untuk memperluaskan operasi di dalam Arab Saudi bagi mengurangkan kos dan memendekkan rantaian bekalan.
“Kami juga mahu memastikan bahawa semua bahan termasuk beg pembungkusan diperbuat daripada kapas kitar semula, tanpa sebarang unsur yang mencemarkan alam sekitar,” katanya.
Menurut Encik Nawaf Alhaysuni, Pengarah Eksekutif Tadweem, sebanyak 5 tan kain ihram telah dikumpul pada musim lalu, dan 95 peratus daripadanya berjaya dikitar semula menjadi produk baru, manakala selebihnya diolah menjadi aksesori lain seperti beg kulit bermutu tinggi.
Bagi mengatasi persepsi negatif terhadap tekstil kitar semula, setiap produk disertakan kod QR yang membolehkan pembeli menonton video proses penghasilan – bermula dari kutipan, pencucian hingga siap menjadi ihram baru. Video ini memberi jaminan dari segi kebersihan dan mutu.
Ihram Lestari kini boleh didapati pada harga SR98 ($34.80) dan dipasarkan di Madinah, serta secara dalam talian di laman sesawang sustainableihram.com. Rangkaian pengedaran akan diperluas ke Makkah, lapangan terbang utama dan galeri seni Islam di Jeddah menjelang Mei ini.
Inisiatif ini turut diselaraskan dengan matlamat Wawasan 2030 Arab Saudi yang memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar dan ekonomi kitaran.
“Kami mahu umat Islam dapat menjalani ibadah dengan lebih bermakna – bukan hanya suci dari segi fizikal, tetapi juga dari segi kesedaran terhadap tanggungjawab alam sekitar,” kata Encik Burak Cakmak.
“Tiada simbol yang lebih tepat daripada ihram untuk menyatukan kesucian rohani dan pemeliharaan bumi,” tambahnya lagi. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg