Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi mahu redakan ketegangan dengan Iran meski sertai serangan
Saudi mahu redakan ketegangan dengan Iran meski sertai serangan
Saudi mahu redakan ketegangan dengan Iran meski sertai serangan
RIYADH/WASHINGTON: Arab Saudi menegaskan komitmennya untuk meredakan ketegangan dengan Iran walaupun baru menyertai operasi serangan udara bersama Amerika Syarikat terhadap kumpulan bersenjata pro-Iran di Iraq, sekali gus memberi isyarat bahawa tindakan ketenteraan itu bertujuan mempertahankan keselamatan negara dan bukannya memperluaskan peperangan.
Laporan Axios yang memetik sumber yang mengetahui perbincangan itu berkata mesej berkenaan disampaikan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman, kepada Naib Presiden Amerika Syarikat,Encik JD Vance, dalam pertemuan di Rumah Putih pada 29 Julai.
Sumber itu berkata tujuan utama lawatan Putera Khalid adalah menyampaikan pendirian Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MBS) berhubung perang yang semakin meruncing melibatkan Iran serta situasi keselamatan di Timur Tengah.
Menurut sumber berkenaan, Riyadh mahu Washington memahami bahawa walaupun Arab Saudi sanggup menggunakan kekuatan tentera bagi mempertahankan kepentingannya, kerajaan itu masih menganggap penyelesaian diplomatik sebagai jalan terbaik untuk menamatkan konflik.
“Putera Mahkota mahu menjelaskan bahawa serangan di Iraq bukan bermakna Arab Saudi menyokong peningkatan konflik, sebaliknya negara itu hanya bersedia mempertahankan diri sekiranya diperlukan,” kata sumber itu.
Pertemuan itu berlangsung sehari selepas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengadakan rundingan dengan Presiden Donald Trump di Rumah Putih.
Seorang pegawai Israel berkata Encik Netanyahu turut membincangkan perkembangan di Arab Saudi dalam konteks cabaran keselamatan serantau.
Bagaimanapun, sumber yang mengetahui pertemuan Putera Khalid dan Encik Vance berkata Riyadh mengambil pendekatan berbeza daripada Israel.
“Putera Khalid memaklumkan kepada Vance bahawa Netanyahu cenderung meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Iran, manakala Arab Saudi percaya usaha meredakan ketegangan adalah pendekatan yang lebih berkesan,” katanya.
Pejabat Naib Presiden Amerika Syarikat enggan mengulas mengenai kandungan pertemuan itu.
Pada 28 Julai, tentera Arab Saudi bersama Markas Pusat Amerika (Centcom) melancarkan serangan udara terhadap beberapa kumpulan bersenjata pro-Iran di Iraq.
Centcom berkata operasi itu dijalankan sebagai tindak balas terhadap lebih 30 serangan dron yang diarahkan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan dilancarkan kumpulan sekutunya ke atas sasaran di Arab Saudi dalam tempoh 72 jam sebelumnya.
Kementerian Pertahanan Arab Saudi kemudian mengesahkan penglibatan tenteranya dalam operasi tersebut dan memaklumkan serangan itu dilaksanakan dengan penyelarasan penuh bersama Centcom.
Menurut sumber berkenaan, Putera Khalid menjelaskan kepada Encik Vance bahawa siri serangan ke atas kemudahan tenaga dan prasarana penting Arab Saudi oleh kumpulan bersenjata pro-Iran di Iraq telah melangkaui “garisan merah”, menyebabkan Riyadh tidak mempunyai pilihan selain bertindak balas.
Walaupun demikian, beliau menegaskan tindakan ketenteraan itu tidak mengubah dasar luar Arab Saudi yang terus mengutamakan kestabilan serantau.
Arab Saudi sejak beberapa bulan lalu dilihat memainkan peranan penting mempengaruhi pendekatan pentadbiran Trump terhadap Iran, walaupun hubungan kedua-dua negara pernah mengalami beberapa perbezaan pendapat.
Menurut sumber itu, Putera Khalid sebenarnya dijadualkan melawat Washington minggu lalu, namun lawatan tersebut ditangguhkan susulan operasi ketenteraan di Iraq.
Dua minggu lalu, Encik Trump dilaporkan memberi lampu hijau kepada Mohammed bin Salman untuk mengambil tindakan ketenteraan lebih tegas terhadap kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman.
Sebagai tindak balas, Houthi mengancam akan mengenakan sekatan ke atas laluan perkapalan ke pelabuhan Arab Saudi selain melancarkan beberapa serangan terhadap kapal negara itu di Laut Merah.
Sumber itu berkata Riyadh melihat serangan ke atas kumpulan pro-Iran di Iraq sebagai mesej pencegahan kepada Houthi supaya tidak meneruskan serangan terhadap wilayah dan kepentingan Arab Saudi.
“Tindakan tegas di Iraq penting untuk menunjukkan bahawa Arab Saudi bersedia mempertahankan keselamatan negara serta menghalang serangan lanjut daripada Houthi,” katanya.
Dalam masa sama, Putera Khalid turut memberi jaminan kepada Encik Vance bahawa Arab Saudi masih mampu menguruskan ancaman Houthi tanpa memerlukan campur tangan langsung tentera Amerika Syarikat buat masa ini.
Beliau turut memaklumkan rundingan secara langsung antara wakil Arab Saudi dan Houthi masih diteruskan sebagai sebahagian usaha mencari penyelesaian politik terhadap konflik di Yaman.
Selepas bertemu Encik Vance, Putera Khalid turut mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden Trump di Rumah Putih.
Seorang pegawai Amerika Syarikat serta satu lagi sumber yang mengetahui pertemuan itu mengesahkan sesi tersebut diadakan pada saat akhir selepas Encik Trump dimaklumkan mengenai mesej yang dibawa oleh Putera Mahkota Arab Saudi.
Penganalisis melihat siri pertemuan itu sebagai usaha Riyadh mengekalkan keseimbangan antara kerjasama ketenteraan dengan Washington dan keinginan mengelakkan perang yang lebih besar di Timur Tengah.
Pendirian Arab Saudi itu juga mencerminkan strategi baharu negara berkenaan yang mahu menunjukkan ketegasan terhadap ancaman keselamatan, namun pada masa sama terus membuka ruang kepada diplomasi bagi mengelakkan konflik Amerika Syarikat-Iran daripada berkembang menjadi perang serantau yang lebih luas. - Agensi berita
