Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi nafi cubaan pengeboman bunuh diri di Masjidil Haram, lelaki ditahan cetus panik
Saudi nafi cubaan pengeboman bunuh diri di Masjidil Haram, lelaki ditahan cetus panik
RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi menafikan laporan yang tersebar di media sosial mengenai cubaan pengeboman bunuh diri di Masjidil Haram di Makkah, selepas video mendakwa seorang lelaki memakai jaket bahan letupan cuba menghampiri Kaabah tular dalam talian.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi berkata pada 2 Oktober bahawa seorang lelaki memang ditahan di Makkah, tetapi penahanannya tidak mempunyai kaitan dengan cubaan melakukan serangan bom seperti didakwa di media sosial.
Menurut pihak berkuasa, lelaki berkenaan ditahan kerana mengganggu orang ramai serta mencetuskan ketakutan dan keadaan panik.
“Pihak keselamatan di ibu kota suci menahan seorang individu kerana mengganggu orang yang lalu-lalang serta menimbulkan ketakutan dan panik dalam kalangan mereka.
“Dia ditangani segera ketika kejadian dan tindakan undang-undang yang diperlukan telah diambil sebelum dirujuk kepada Pendakwa Raya,” kata pihak berkuasa dalam kenyataan.
Pihak keselamatan menegaskan dakwaan yang tersebar mengenai kejadian itu adalah tidak benar dan meminta orang ramai mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi.
Tiada maklumat lanjut diberikan mengenai identiti lelaki tersebut atau tindakannya sehingga menyebabkan orang ramai berasa takut.
Penjelasan itu dikeluarkan selepas beberapa video yang tersebar di platform media sosial X meraih ratusan ribu tontonan dan disertai dakwaan bahawa pihak keselamatan berjaya menggagalkan cubaan serangan di Masjidil Haram.
Beberapa hantaran mendakwa seorang lelaki yang memakai jaket bahan letupan cuba menghampiri Kaabah sebelum ditahan anggota keselamatan.
Namun, pihak berkuasa Saudi menolak dakwaan itu dan menegaskan tiada cubaan pengeboman berlaku.
Kaabah yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram merupakan tempat paling suci bagi umat Islam dan menjadi kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia ketika menunaikan solat.
Khabar angin mengenai kejadian itu mencetuskan perhatian lebih besar kerana ia berlaku ketika tahap kewaspadaan keselamatan meningkat di Arab Saudi susulan ketegangan dengan kumpulan Houthi di Yaman.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kumpulan Houthi yang disokong Iran dituduh melancarkan serangan dron dan peluru berpandu terhadap Arab Saudi.
Pada September lalu, pakatan tentera pimpinan Arab Saudi berkata sebuah dron yang didakwa dilancarkan Houthi telah dipintas di selatan Makkah sebelum memasuki ruang udara larangan di kota suci itu.
Ia merupakan insiden pertama seumpamanya membabitkan Makkah sejak 2017.
Houthi bagaimanapun menafikan bertanggungjawab terhadap beberapa serangan yang dikaitkan dengannya ketika konflik antara kumpulan itu dengan pasukan pemerintah Yaman semakin meningkat.
Ketegangan meningkat selepas pihak berkuasa Saudi pada 1 Oktober mengumumkan hasil siasatan mengenai serangan dron terhadap Stesen Pengagihan Elektrik Taibah di Madinah.
Stesen berkenaan menyediakan bekalan tenaga kepada Masjid Nabawi, tempat kedua paling suci bagi umat Islam selepas Masjidil Haram. - Agensi berita
