Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi, Perancis sokong negara Palestin, gesa Israel berundur dari Lebanon
PARIS: Arab Saudi dan Perancis menegaskan semula sokongan terhadap penubuhan negara Palestin berdasarkan sempadan 1967, selain mendesak Israel menghentikan peluasan petempatan dan berundur sepenuhnya dari wilayah Lebanon.
Pendirian itu terkandung dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 24 Ogos selepas Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, menamatkan lawatan negara selama dua hari ke Perancis dan mengadakan rundingan dengan Presiden Emmanuel Macron di Paris.
Kedua-dua pemimpin turut mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Perkongsian Strategik Saudi-Perancis, dengan perbincangan merangkumi Palestin, Gaza, Lebanon, Iran, Syria, Yaman dan Sudan serta kerjasama ekonomi dan pertahanan.
Mengenai Palestin, Riyadh dan Paris menolak sebarang usaha yang boleh menjejas hak rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara merdeka berdasarkan sempadan 1967.
Kedua-dua negara turut menggesa pemerintah Israel menghentikan dasar peluasan petempatan serta pengganasan penduduk haram Israel, yang menurut mereka mengancam usaha mencapai penyelesaian dua negara.
Mereka menegaskan perlunya keadaan yang membolehkan gencatan senjata berkekalan di Gaza diwujudkan, selain memastikan bantuan kemanusiaan dapat dihantar dengan segera, selamat dan tanpa halangan kepada penduduk Palestin.
Arab Saudi dan Perancis turut mengalu-alukan pengumuman mengenai persetujuan pelucutan senjata Hamas dan menggesa perjanjian itu dilaksanakan.
Kedua-dua negara menegaskan semula komitmen terhadap Deklarasi New York, selain menyokong pembaharuan dalam Penguasa Palestin dan rancangan mengadakan pilihan raya presiden serta perundangan.
Mengenai Lebanon, Putera Mohammed dan Encik Macron bersetuju meningkatkan usaha untuk mencapai penyelesaian muktamad yang dapat mengukuhkan institusi negara serta mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayahnya.
Mereka menggesa pelaksanaan sepenuhnya Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pelucutan senjata sepenuhnya semua kumpulan bersenjata di luar kawalan negara serta pengunduran Israel dari semua wilayah Lebanon.
Riyadh dan Paris turut menegaskan sokongan kepada Angkatan Tentera Lebanon serta agensi keselamatan negara itu.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran yang berlarutan sejak 28 Februari lalu.
Arab Saudi dan Perancis menekankan perlunya penyelesaian melalui rundingan bagi mengelakkan konflik daripada terus meningkat serta menyatakan sokongan terhadap usaha diplomatik untuk memastikan program nuklear Teheran kekal bagi tujuan aman.
Mereka turut menggesa Iran menyambung semula kerjasama penuh dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Kenyataan bersama itu turut mengecam serangan terhadap kapal dan ancaman kepada pelayaran di Selat Hormuz, yang menjadi antara laluan perdagangan tenaga terpenting dunia.
Riyadh dan Paris menggesa keadaan pelayaran dikembalikan seperti sebelum Amerika dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Februari.
Ia termasuk memastikan kebebasan pelayaran dan laluan kapal tanpa bayaran atau sekatan secara langsung mahupun tidak langsung.
Mengenai Syria, kedua-dua negara menegaskan komitmen terhadap perpaduan, kestabilan dan pemulihan ekonomi negara itu selepas kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad pada Disember 2024.
Mereka menekankan pentingnya institusi negara yang kukuh serta peningkatan pelaburan bagi membantu usaha pembinaan semula Syria.
Kedua-dua negara mengalu-alukan penubuhan Majlis Perniagaan Saudi-Syria-Perancis dan melihat Syria berpotensi menjadi jambatan perdagangan yang menghubungkan Eropah, Teluk dan Asia.
Bagi Yaman, Arab Saudi dan Perancis menegaskan semula sokongan terhadap Majlis Kepimpinan Presiden serta usaha PBB untuk mencapai penyelesaian menyeluruh terhadap konflik negara itu.
Mereka mengecam serangan Houthi terhadap prasarana awam dan kemudahan penting di Arab Saudi serta kapal perdagangan, selain menegaskan kepentingan menjamin kebebasan pelayaran.
Perancis turut menyatakan perpaduan penuh dengan Arab Saudi dan menolak serangan terhadap wilayah negara itu.
Mengenai Sudan, kedua-dua pihak menggesa usaha dipertingkat untuk menamatkan konflik serta menghentikan campur tangan asing, sambil mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah dan institusi negara itu.
Lawatan Putera Mohammed turut menghasilkan beberapa perjanjian ekonomi besar ketika kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-100 hubungan politik Saudi-Perancis.
Antaranya ialah rancangan membangunkan taman hiburan bernilai enam bilion euro ($9 bilion) berhampiran Paris.
Projek di Cergy-Pontoise, kira-kira 30 kilometer ke barat laut Paris, dijangka merangkumi tiga taman tema dan mewujudkan sekitar 22,000 pekerjaan.
Ia akan diterajui Qiddiya, syarikat pelaburan di bawah dana kekayaan negara Arab Saudi.
Encik Macron menyifatkan projek tersebut sebagai “luar biasa” dan berkata ia berpotensi mewujudkan destinasi sejagat baharu setanding Disneyland Paris.
Arab Saudi turut mengumumkan penubuhan pusat kebudayaan Saudi di Paris bagi memperkenalkan warisan dan kebudayaan kontemporari negara itu serta meningkatkan kerjasama antara penggiat dengan institusi kebudayaan kedua-dua negara.
Kedua-dua negara bersetuju memperkukuh kerjasama pertahanan, termasuk dalam bidang persenjataan dan latihan, selain menandatangani perjanjian dalam sektor kesihatan, kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu dan hiburan.
Perdagangan dua hala Saudi-Perancis mencecah kira-kira AS$11.8 bilion ($15.1 bilion) pada 2025, manakala 21 perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MOU) diumumkan dalam satu persidangan pelaburan sempena lawatan tersebut. – Agensi berita.
