RIYADH: Arab Saudi mempertingkat pemeriksaan keselamatan dan persiapan operasi menjelang musim haji 2026 ini bagi memastikan jutaan anggota jemaah dapat menunaikan ibadah dalam keadaan selamat, teratur dan tenang.

Menurut laporan, Agensi Berita Saudi (SPA), usaha itu melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Dalam Negeri, pasukan keselamatan dan kementerian kesihatan yang meningkatkan pemantauan di Makkah, Mina serta lokasi suci lain.

Pihak berkuasa Saudi berkata antara tumpuan utama 2026 ialah kempen Tiada Haji Tanpa Permit, yang bertujuan memastikan hanya jemaah dengan permit sah dibenarkan memasuki Makkah dan kawasan ibadah haji.

Kempen itu turut menyasarkan individu yang cuba menunaikan haji menggunakan visa lawatan, visa kerja atau dokumen palsu.

“Usaha ini penting demi memastikan keselamatan dan kelancaran ibadah haji,” ujar kenyataan pihak berkuasa Saudi.

Kempen tersebut dilaksanakan bermula 1 Zulkaedah sehingga 14 Zulhijah dengan pengawasan ketat di pintu masuk darat, laut dan udara.

Pelanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga 20,000 riyal ($6,831) selain dihantar pulang dan diharamkan memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.

Dalam kes lebih serius melibatkan pengangkutan jemaah tanpa permit, hukuman boleh mencecah 100,000 riyal bagi setiap individu yang dibawa secara tidak sah.

Kementerian Dalam Negeri Saudi turut memohon mahkamah merampas mana-mana kenderaan yang digunakan dalam kegiatan itu, termasuk milik pemandu, rakan subahat atau pihak yang membantu.

Pihak keselamatan Saudi juga terus memburu pihak yang cuba menyeludup individu tanpa permit ke Makkah dan kawasan suci.

Terdahulu polis Makkah menahan 18 penduduk warga Afghanistan dan Pakistan kerana memalsukan permit pemastautin, kad Nusuk dan gelang tangan haji.

Dalam kes lain, rondaan keselamatan di Makkah menahan seorang warga Indonesia yang dipercayai mempromosikan perkhidmatan haji palsu di media sosial serta memiliki kad haji palsu.

Pasukan keselamatan haji turut menahan lima warga Afghanistan yang cuba memasuki Makkah melalui laluan padang pasir tanpa permit.

Selain itu, 10 penduduk warga Sudan, Mesir dan Yaman turut ditahan kerana cuba memasuki dan tinggal di Makkah tanpa kebenaran rasmi.

Rondaan keselamatan Arab Saudi di Makkah turut menahan seorang lelaki dan wanita warga Mesir kerana melakukan penipuan dan memperdaya orang ramai.

Mereka didapati menyiarkan iklan palsu serta mengelirukan mengenai perkhidmatan haji di media sosial.

Semua suspek telah dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Direktorat Keselamatan Awam Saudi menggesa rakyat dan penduduk agar mematuhi peraturan haji serta melaporkan sebarang pelanggaran melalui talian kecemasan 911 di Makkah, Riyadh, Madinah dan Wilayah Timur, manakala talian 999 digunakan di kawasan lain.

Arab Saudi turut meningkatkan persiapan prasarana dan keselesaan jemaah di Mina serta lokasi ibadah utama lain.

Timbalan Gabenor Makkah, Encik Saud bin Mishaal, melakukan lawatan di lapangan bagi meninjau projek dan kemudahan yang disediakan untuk musim haji 2026.

Menurut pegawai, hampir 200 pusat penyelenggaraan dan lebih 54,000 khemah lengkap telah disediakan di Mina, selain sistem penginapan meliputi kawasan melebihi 3.5 juta meter persegi.

Pihak berkuasa turut menaik taraf laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang lebih 100,000 meter persegi bagi mengurangkan pendedahan jemaah kepada cuaca panas.

Sistem penyejukan berhampiran Kompleks Jamrah turut dipertingkat, termasuk pemasangan lebih 400 kipas kabus baru menggantikan sistem lama.

Sebanyak 74 eskalator yang menghubungkan khemah di Mina turut disediakan bagi memudahkan pergerakan jemaah ketika waktu puncak.

Pasukan pemeriksaan Kementerian Haji dan Umrah pula terus memantau pusat penginapan, katering, pengangkutan dan kawasan penerimaan jemaah bagi memastikan semua mematuhi piawai operasi dan keselamatan.

“Pemeriksaan ini dijalankan secara bersama dengan Kementerian Pelancongan dan agensi lain bagi memastikan kesiapsiagaan sepenuhnya ketika jumlah ketibaan jemaah terus meningkat,” tambah SPA.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Saudi mengumumkan vaksin meningitis diwajibkan bagi semua petugas haji bagi 2026 sebagai langkah pencegahan penyakit berjangkit.

Jurucakap kementerian, Encik Abdulaziz Abdulbaqi, berkata arahan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tertinggi Haji bagi mengurangkan risiko penularan penyakit dalam persekitaran sesak.

Petugas diwajibkan menerima vaksin sekurang-kurangnya 10 hari sebelum memulakan tugas, manakala individu yang sudah divaksin dalam tempoh lima tahun lalu tidak perlu mengambil dos baharu.

Kementerian turut menggalakkan semua petugas mengambil vaksin influenza bermusim dan Covid-19 bagi memastikan suasana haji kekal selamat untuk jemaah serta kakitangan sepanjang musim ibadah berlangsung. – Agensi berita.