Saudi tidak benarkan wilayahnya digunakan serang Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi tidak benarkan wilayahnya digunakan serang Iran

Trump dakwa ‘armada’ AS menuju Iran, Teheran anggap jiran bermusuhan jika wilayah diguna serang Iran
Jan 28, 2026 | 11:25 AM

Saudi tidak benarkan wilayahnya digunakan serang Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Seorang wanita Iran berjalan melepasi sepanduk anti-Amerika Syarikat dan anti-Israel yang digantung pada sebuah bangunan di Dataran Palestin, Teheran, pada 27 Januari. Sebuah kumpulan serangan tentera laut Amerika yang diketuai kapal pengangkut pesawat telah dikerahkan ke perairan Asia Barat, menurut kenyataan Washington pada 26 Januari, ketika Teheran memberi amaran bahawa ia bersedia membalas sebarang serangan Amerika susulan tindakan keras terhadap bantahan antipemerintah.
Seorang wanita Iran berjalan melepasi sepanduk anti-Amerika Syarikat dan anti-Israel yang digantung pada sebuah bangunan di Dataran Palestin, Teheran, pada 27 Januari. Sebuah kumpulan serangan tentera laut Amerika yang diketuai kapal pengangkut pesawat telah dikerahkan ke perairan Asia Barat, menurut kenyataan Washington pada 26 Januari, ketika Teheran memberi amaran bahawa ia bersedia membalas sebarang serangan Amerika susulan tindakan keras terhadap bantahan antipemerintah. - Foto AFP

RIYADH/WASHINGTON/TEHERAN: Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman (MBS) memberi jaminan kepada Presiden Iran Masoud Pezeshkian bahawa kerajaan Arab Saudi tidak akan membenarkan ruang udara atau wilayah daratnya digunakan untuk sebarang serangan ketenteraan terhadap Iran, ketika ketegangan serantau terus meningkat susulan pergerakan aset ketenteraan Amerika Syarikat ke Asia Barat.

Agensi berita rasmi Saudi, SPA, melaporkan pada 27 Januari bahawa jaminan itu disampaikan dalam satu perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin.

Dalam perbualan tersebut, MBS menegaskan sokongan Arab Saudi terhadap usaha menyelesaikan perbezaan melalui dialog demi mengukuhkan keselamatan dan kestabilan rantau itu.

“Arab Saudi menyokong segala usaha yang dapat menyelesaikan perbezaan melalui perbincangan dan dialog,” kata Putera Mahkota itu, menurut laporan SPA.

Media Iran sebelum itu melaporkan bahawa Presiden Pezeshkian menyambut baik sebarang proses, selaras dengan undang-undang antarabangsa, yang boleh mencegah tercetusnya peperangan.

Kenyataan MBS itu turut selari dengan pendirian Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang menegaskan bahawa negara tersebut tidak akan membenarkan sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran menggunakan ruang udara atau perairan wilayahnya.

Jaminan daripada Riyadh dan Abu Dhabi itu muncul ketika ketidaktentuan berhubung kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran terus berlarutan, susulan kenyataan Presiden Amerika Donald Trump bahawa sebuah “armada” sedang bergerak ke arah Iran.

“Ada satu lagi armada yang indah sedang belayar dengan cantik ke arah Iran sekarang,” kata Encik Trump dalam satu ucapan awam pada 27 Januari.

“Saya harap mereka akan membuat perjanjian,” tambahnya.

Encik Trump sebelum ini memberi amaran kepada Teheran berkaitan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan serta kemungkinan menghidupkan semula program nuklear negara itu.Walaupun demonstrasi berskala besar di Iran dilaporkan telah mereda, Washington terus memperkukuh kehadiran ketenteraannya di rantau tersebut.

Dua pegawai Amerika memberitahu Reuters pada 26 Januari bahawa sebuah kapal pengangkut pesawat Amerika bersama beberapa kapal perang sokongan telah tiba di Asia Barat, sekali gus memperluas keupayaan Trump untuk mempertahankan kepentingan Amerika atau melancarkan tindakan ketenteraan jika perlu.

Tidak jelas sama ada Encik Trump merujuk kepada USS Abraham Lincoln dan kumpulan kapal pengiringnya, atau satu lagi kumpulan serangan kapal pengangkut yang berasingan.

Di Teheran, nada amaran turut disuarakan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Seorang komander kanan IRGC memberi amaran bahawa negara jiran akan dianggap sebagai “bermusuhan” sekiranya wilayah mereka digunakan untuk melancarkan serangan ke atas Iran.

“Negara-negara jiran adalah rakan kami, tetapi jika tanah, ruang udara atau perairan mereka digunakan terhadap Iran, mereka akan dianggap sebagai pihak yang bermusuhan,” kata Encik Mohammad Akbarzadeh, timbalan politik pasukan tentera laut IRGC, seperti dipetik oleh agensi berita Fars yang berkait dengan negara.

Beliau menambah bahawa mesej itu telah disampaikan kepada negara-negara serantau.

Encik Akbarzadeh menegaskan bahawa Iran tidak mahukan peperangan, namun berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya.

“Jika konflik tercetus, Teheran tidak akan berundur walaupun satu milimeter,” katanya.

Beliau juga mengulangi ancaman lama Iran berhubung Selat Hormuz, laluan strategik yang menyaksikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak global melalui perairannya.

Walaupun ancaman itu pernah dibuat berulang kali sebelum ini tanpa dilaksanakan, kenyataan terbaru itu menambah kebimbangan pasaran tenaga global.

“Iran mempunyai risikan masa nyata di Selat Hormuz, di atas dan di bawah permukaan air. Keselamatan laluan strategik ini bergantung kepada keputusan Teheran,” katanya.

“Kami tidak mahu ekonomi dunia terjejas, tetapi Amerika dan penyokongnya tidak akan mendapat manfaat daripada peperangan yang mereka mulakan,” tambahnya.

Ketegangan ini berlaku ketika Iran bergelut dengan krisis dalaman susulan tindakan keras terhadap bantahan antipemerintah.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa ribuan orang terbunuh, termasuk orang awam yang tidak terlibat, dalam apa yang disifatkan sebagai tindakan paling keras sejak revolusi 1979 yang membawa ulama Syiah berkuasa.

Pihak berkuasa Iran pula menolak dakwaan tersebut dan menyalahkan kematian serta kekacauan ke atas “pengganas dan perusuh” yang didakwa disokong oleh pembangkang di luar negara.

Kumpulan Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA) yang berpangkalan di Amerika melaporkan bahawa setakat ini, ia telah mengesahkan kematian 6,126 orang, termasuk 5,777 penunjuk perasaan, 86 kanak-kanak, 214 anggota keselamatan dan 49 orang awam lain.

HRANA turut menyatakan bahawa siasatan masih dijalankan terhadap lebih 17,000 lagi kemungkinan kematian, manakala sekurang-kurangnya 41,880 individu dilaporkan ditahan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg