Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi, Qatar meterai perjanjian tren laju hubungkan ibu kota kedua-dua negara

Dec 9, 2025 | 2:47 PM
Saudi, Qatar, tren laju
Perjanjian kereta api berkelajuan tinggi itu ditandatangani oleh Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman (kiri), dan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, semasa lawatannya ke Riyadh pada 8 Disember 2025. - Foto SPA

RIYADH: Arab Saudi dan Qatar telah menandatangani perjanjian rasmi untuk menyediakan khidmat kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan ibu kota mereka.

Ia merupakan projek pertama seumpamanya antara kedua-dua negara Teluk itu yang pernah berselisih faham.

Menurut kenyataan media rasmi Saudi, SPA, pada 8 Disember, “kereta api penumpang elektrik berkelajuan tinggi” akan menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Salman di Riyadh dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha.

Bandar Al-Hofuf dan Dammam di Arab Saudi juga dijangka berada dalam rangkaian tersebut.

Kereta api itu akan mencapai kelajuan melebihi 300 kilometer sejam dan perjalanan antara kedua-dua ibu kota itu akan mengambil masa kira-kira dua jam.

Penerbangan terus antara bandar-bandar tersebut mengambil masa sekitar 90 minit.

Projek itu, yang dijadual siap dalam tempoh enam tahun, dijangka dapat melayani 10 juta penumpang setahun dan mewujudkan 30,000 pekerjaan di kedua-dua negara, kata kenyataan itu.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman (MBS), dan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, semasa lawatannya ke Riyadh.

Projek itu, yang dianggap sebagai salah satu usaha prasarana moden yang paling penting antara Arab Saudi dengan Qatar, menandakan langkah terkini dalam peningkatan drastik hubungan antara kedua-dua negara Teluk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Arab Saudi dan sekutunya Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir telah memutuskan semua hubungan diplomatik dan pengangkutan dengan Qatar pada Jun 2017.

Keempat-empat negara itu menuduh Doha menyokong kumpulan seperti, Ikhwanul Muslimin, dan berusaha menjalin hubungan lebih erat dengan musuh ketat Arab Saudi, Iran – dakwaan yang dinafikan keras oleh Qatar.

Hubungan dipulihkan sepenuhnya pada Januari 2021 selepas sidang kemuncak di bandar gurun Arab Saudi, Al-Ula.

Putera Mahkota Salman pernah melawat Doha pada Disember 2021 buat kali pertama sejak hubungan kembali pulih sebagai sebahagian daripada lawatan serantau ke Teluk.

Riyadh juga memberikan sokongannya kepada Qatar susulan serangan Israel ke atas Qatar pada September yang menyasarkan para pemimpin kumpulan Palestin Hamas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg