JEDDAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melaporkan bahawa lebih 1.2 juta anggota jemaah dari pelbagai belahan dunia telah tiba di Arab Saudi untuk menunaikan umrah sejak 21 Jun.
Keseluruhannya, jemaah umrah itu datang dari 109 negara di seluruh dunia, mencerminkan minat antarabangsa yang meningkat dan perkhidmatan lebih baik yang disediakan pihak berkuasa Saudi.
Data kementerian menunjukkan lonjakan ketara 30 peratus pemegang visa umrah yang memasuki Arab Saudi pada 2025 berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Pengeluaran visa turut meningkat 27 peratus, manakala lebih 4,200 perjanjian perkongsian telah dimeterai antara penyedia perkhidmatan umrah domestik dengan ejen antarabangsa.
Ini sekali gus meningkatkan kapasiti kerajaan Arab Saudi untuk menampung kemasukan jemaah bagi mengerjakan ibadah umrah.
Musim umrah dilancarkan dengan pemprosesan visa digital yang dikendalikan melalui wadah Nusuk yang disediakan pihak berkuasa negara itu.
Wadah digital itu mencerminkan kemajuan terkini dalam usaha Arab Saudi untuk menyelaraskan pelancongan keagamaan sebagai sebahagian daripada Wawasan 2030, pelan tindakan pemodenan menyeluruh kerajaan tersebut.
Menerusi wadah itu, jemaah boleh mendapatkan permit umrah secara terus melalui aplikasi mudah alih Nusuk, yang berfungsi sebagai gerbang digital berpusat untuk perkhidmatan jemaah.
Ia menawarkan tempahan yang diperkemas dan pemprosesan permit, dilengkapi dengan alat digital tambahan yang direka bagi meningkatkan pengalaman jemaah.
Dalam satu laporan berasingan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, telah menggantung tujuh syarikat umrah kerana melanggar peraturan kawal selia, termasuk menempatkan jemaah di penginapan tidak berlesen.
Agensi Akhbar Saudi (SPA) melaporkan pelanggaran itu dikenal pasti sebagai sebahagian daripada usaha pengawasan berterusan kementerian untuk meningkatkan mutu perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah.
Kementerian itu menjelaskan bahawa pelanggaran tersebut merupakan satu kesalahan serius yang menjejas keselamatan dan keselesaan jemaah.
Dalam pada itu, Arab Saudi mencatat rekod baru dengan seramai 18.5 juta anggota jemaah menunaikan haji dan umrah pada 2024.
Ini menandakan lonjakan besar dalam kedatangan jemaah dari seluruh dunia.
Menurut laporan tahunan, Program Doyof Al Rahman, seramai 16.92 juta anggota jemaah datang bagi menunaikan kedua-dua ibadah tersebut – melepasi sasaran rasmi dan mencerminkan peningkatan 101 peratus berbanding 2022.
Pegawai memuji pencapaian tersebut sebagai hasil penyatuan perkhidmatan dan prosedur yang lebih berkesan, menjadikan perjalanan ibadah lebih lancar dan mudah diakses. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg