JEDDAH: Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi menerusi cawangan di Wilayah Makkah terus menyediakan perkhidmatan pendidikan dan bimbingan kepada jemaah haji yang tiba bagi menunaikan ibadah haji pada tahun ini (2025) di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah.
Menurut agensi berita Arab Saudi, perkhidmatan itu termasuk pengedaran buku mengenai kesedaran dan bimbingan dalam pelbagai bahasa.
Turut disediakan ialah kad perpustakaan digital yang membolehkan para jemaah mengakses pelbagai kandungan Islam dalam pelbagai bahasa menerusi telefon pintar, sekali gus meningkatkan kesedaran agama dalam kalangan jemaah.
Setakat ini, sebanyak 324,884 buku dan bahan bimbingan telah diedarkan sebagai sebahagian daripada usaha kementerian itu untuk memudahkan pelaksanaan ibadah serta menyediakan sokongan pendidikan penting kepada jemaah.
Beberapa anggota jemaah haji melahirkan penghargaan atas sambutan mesra dan pengurusan yang cemerlang yang mereka alami, memuji perkhidmatan pejabat lapangan terbang kementerian serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan Arab Saudi atas usaha berterusan dalam memberi khidmat kepada jemaah Masjidil Haram.
Mereka turut berdoa untuk keselamatan dan kestabilan Kerajaan Arab Saudi yang berterusan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg