Topic followed successfully
Go to BHkuSaudi tetapkan hanya visa haji diiktiraf dokumen rasmi haji 2026
Saudi tetapkan hanya visa haji diiktiraf dokumen rasmi haji 2026
Pemegang visa lawatan, transit, umrah atau pelancong tidak dibenarkan tunai haji atau masuk Makkah sepanjang tempoh yang ditetapkan
Saudi tetapkan hanya visa haji diiktiraf dokumen rasmi haji 2026
MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menegaskan bahawa hanya visa haji merupakan satu-satunya dokumen rasmi yang dibenarkan untuk jemaah luar negara menunaikan ibadah haji 2026.
Dalam kenyataannya, kementerian itu menjelaskan bahawa pemegang visa lawatan, visa transit, visa umrah atau visa pelancong tidak dibenarkan menunaikan haji atau memasuki Makkah sepanjang tempoh yang ditetapkan.
“Visa haji adalah satu-satunya visa sah untuk menunaikan ibadah haji.
“Mana-mana individu yang menggunakan visa lain tidak akan dibenarkan memasuki Makkah, tanpa mengira tujuan perjalanan mereka,” menurut kenyataan rasmi kementerian.
Bermula 13 April, semua individu yang ingin memasuki Makkah diwajibkan memiliki permit rasmi.
Pihak berkuasa menegaskan bahawa sesiapa yang gagal menunjukkan permit akan dihalang daripada memasuki bandar suci itu.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada tiga kategori iaitu pemegang permit haji, Penduduk Tetap Makkah, serta individu yang mempunyai permit kerja elektronik untuk kawasan Tanah Suci melalui platform Absher, Muqeem dan Tasreeh.
Dalam perkembangan berkaitan, semua pemegang visa umrah diwajibkan meninggalkan Arab Saudi selewat-lewatnya 18 April.
Bagi mereka yang masih ingin memasuki Makkah sebelum tarikh tersebut untuk menunaikan umrah, permit sah melalui platform Nusuk adalah wajib.
“Tarikh 18 April ditetapkan sebagai hari terakhir bagi semua jemaah asing pemegang visa umrah untuk keluar dari negara ini,” jelas kementerian itu lagi.
Pada masa sama, platform Nusuk akan menghentikan pengeluaran permit umrah bermula 18 April hingga 31 Mei, melibatkan semua kategori termasuk warganegara Arab Saudi, penduduk, dan warganegara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Sepanjang tempoh itu juga, semua pemegang visa kecuali visa haji dilarang memasuki atau berada di dalam Makkah.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada persiapan tahunan kerajaan Arab Saudi dalam mengawal kemasukan jutaan jemaah haji yang dijangka mula tiba menjelang akhir Mei, dengan hari Arafah dijangka jatuh pada 26 Mei.
Kementerian itu turut mengingatkan semua jemaah, pelawat dan penduduk supaya sentiasa membawa dokumen lengkap ketika menghampiri atau memasuki Makkah.
Bagi jemaah dalam negara, permit haji akan dikeluarkan melalui aplikasi Nusuk selepas proses tempahan diselesaikan.
Selain itu, pihak berkuasa memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak membuat tempahan melalui saluran tidak rasmi.
“Semua tempahan haji mesti dibuat melalui saluran rasmi yang diluluskan.
“Sebarang urusan melalui pihak tidak sah boleh mengakibatkan penipuan dan tindakan undang-undang,” tegas kementerian.
Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri turut menekankan bahawa permit haji boleh diperoleh secara elektronik melalui platform Absher Individuals dan portal Muqeem, selaras dengan usaha memperkemas prosedur serta mempercepatkan transformasi digital.
Pihak kementerian menyeru semua pihak supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran ibadah haji.
“Kepatuhan terhadap peraturan ini amat penting bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan para jemaah,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam langkah mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, Arab Saudi turut memperkenalkan peraturan baharu ke atas penyedia penginapan di Makkah dan Madinah sepanjang musim haji.
Peraturan baharu itu menetapkan bahawa semua penyedia penginapan di Makkah dan Madinah perlu mematuhi standard lebih ketat dari segi keselamatan, kebersihan dan kualiti perkhidmatan sepanjang musim haji.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa pelanggaran berulang akan dikenakan denda lebih tinggi, penutupan premis atau pembatalan lesen.
Jika pelanggaran berlaku dalam musim yang sama, jumlah denda boleh digandakan.
“Kesalahan berulang akan dikenakan penalti lebih berat, termasuk kemungkinan penutupan sementara atau pembatalan lesen bagi kesalahan kali ketiga,” jelas pihak berkuasa.
Kemudahan penginapan pula diklasifikasikan kepada lima kategori, daripada hotel lima bintang hingga penginapan sementara haji.
Kadar denda berbeza mengikut saiz perniagaan, dengan penalti antara 25 hingga 100 peratus bergantung kepada kategori.
Denda bagi pelanggaran di Makkah dan Madinah boleh mencecah antara 2,000 riyal Saudi ($682) hingga 14,000 riyal Saudi, selain tindakan bukan kewangan seperti penutupan premis.
Bagi penginapan sementara haji, denda lebih tinggi dikenakan, antara 1,000 hingga 50,000 riyal Saudi, termasuk kemungkinan penutupan sehingga mematuhi syarat atau pembatalan lesen.
Langkah tegas ini dilihat sebagai usaha kerajaan Arab Saudi untuk memastikan pengurusan haji berjalan lancar serta melindungi keselamatan jutaan jemaah yang akan menunaikan ibadah tersebut tahun ini. – Agensi berita.

