Saudi tidak tolak tindakan ketenteraan susulan serangan Iran
Saudi tidak tolak tindakan ketenteraan susulan serangan Iran
Menteri luar negara Arab, Islam gesa Iran hentikan serangan
RIYADH: Arab Saudi tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ketenteraan susulan siri serangan peluru berpandu dan dron oleh Iran, kata Menteri Luarnya, Putera Faisal bin Farhan.
Beliau berkata tindakan Iran yang menyasarkan beberapa negara di rantau Teluk merupakan usaha untuk memberi tekanan, namun menegaskan Riyadh tidak akan tunduk. “Kerajaan tidak akan tunduk kepada tekanan, dan sebaliknya tekanan ini akan memakan diri… kami telah menyatakan dengan jelas bahawa kami berhak mengambil tindakan ketenteraan jika perlu,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat menteri luar serantau di Riyadh.
Arab Saudi melaporkan beberapa serangan baharu oleh Iran pada 18 Mac, termasuk peluru berpandu balistik yang berjaya dipintas oleh sistem pertahanan negara. Beberapa letupan kuat turut kedengaran di ibu negara Riyadh ketika mesyuarat berlangsung.
Putera Faisal menyifatkan serangan itu sebagai petunjuk jelas sikap Iran terhadap usaha diplomasi.
“Sasaran ke atas Riyadh ketika diplomat sedang bermesyuarat… ini menunjukkan dengan jelas bagaimana Iran melihat diplomasi. Ia tidak percaya kepada perbincangan dengan jiran-jirannya,” katanya.
Beliau turut mengecam serangan berulang terhadap kawasan awam dan kemudahan kritikal di rantau Teluk. Menurutnya, alasan Iran bahawa serangan itu menyasarkan kepentingan Amerika Syarikat adalah tidak kukuh. “Negara-negara Teluk tidak akan menerima ugutan, dan peningkatan ketegangan akan dibalas dengan peningkatan yang setimpal,” tegas beliau.
Dalam pada itu, menteri-menteri luar dari beberapa negara Arab dan Islam menggesa Iran supaya segera menghentikan serangan.
Mesyuarat di Riyadh itu menghimpunkan wakil dari Azerbaijan, Bahrain, Mesir, Jordan, Kuwait, Lebanon, Pakistan, Qatar, Syria, Turkey dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Dalam kenyataan bersama, mereka mengecam apa yang disifatkan sebagai serangan sengaja menggunakan peluru berpandu dan dron terhadap kawasan kediaman serta infrastruktur awam.
Serangan itu melibatkan kemudahan minyak, loji penyahgaraman, lapangan terbang, kawasan perumahan dan premis diplomatik. “Serangan sedemikian tidak boleh dibenarkan dalam apa jua keadaan,” menurut kenyataan tersebut.
Menteri-menteri terbabit turut menegaskan hak setiap negara untuk mempertahankan diri selaras dengan Perkara 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mereka menggesa Iran menghentikan semua serangan dengan segera dan menghormati undang-undang antarabangsa serta prinsip kejiranan baik. “Kami menyeru Iran supaya meredakan ketegangan dan memulihkan kestabilan serantau,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut menggesa Iran mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2817 (2026), termasuk menghentikan tindakan yang boleh mengancam keselamatan pelayaran antarabangsa di Selat Hormuz dan Selat Bab al-Mandeb.
Selain itu, mereka menyatakan bahawa masa depan hubungan dengan Iran bergantung kepada sejauh mana negara itu menghormati kedaulatan negara lain serta tidak campur tangan dalam urusan dalaman.
Mesyuarat itu turut menyuarakan sokongan terhadap kedaulatan dan kestabilan Lebanon serta menyokong usaha kerajaan negara itu untuk mengawal sepenuhnya pemilikan senjata.
Dalam masa sama, para menteri turut mengecam serangan Israel ke atas Lebanon dan dasar peluasan kuasanya di rantau tersebut.
Para peserta bersetuju untuk meneruskan rundingan dan penyelarasan bagi menangani perkembangan semasa.
Langkah itu termasuk usaha melindungi keselamatan dan kedaulatan negara masing-masing serta menghentikan serangan yang berterusan.
Ketegangan yang semakin meningkat di rantau itu kini menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik lebih besar sekiranya tiada langkah meredakan keadaan diambil segera. - Agensi berita

