TEHERAN: Pegawai kanan Arab Saudi, Turkey dan Pakistan dijadual mengadakan rundingan dengan pemimpin Iran di Teheran pada 26 Oktober dalam usaha meredakan ketegangan serantau yang semakin meruncing susulan peningkatan serangan kumpulan Houthi terhadap Arab Saudi serta ancaman konflik ketenteraan baru antara Amerika Syarikat dengan Iran.

Pertemuan itu merupakan rundingan peringkat tinggi pertama antara Iran dengan ketiga-tiga negara anggota Pakatan Makkah sejak Arab Saudi semakin terheret dalam konflik lebih luas yang membabitkan Iran, Amerika dan Israel.

Arab Saudi akan diwakili Menteri Pertahanannya, Putera Khalid bin Salman, manakala Pakistan menghantar Panglima Tentera Darat, Marsyal Asim Munir, dan Turkey diwakili Ketua Perisikannya, Encik Ibrahim Kalin.

Menurut pegawai Arab Saudi dan Iran, rundingan tersebut akan memberi tumpuan kepada keselamatan serantau, usaha diplomatik dan langkah mengelakkan konflik daripada merebak.

Timbalan Setiausaha badan keselamatan tertinggi Iran, Encik Ali Baqeri-Kani, mengesahkan bahawa ketiga-tiga pegawai berkenaan akan mengadakan perundingan dengan Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran.

Pertemuan itu berlangsung ketika serangan peluru berpandu dan dron oleh kumpulan Houthi di Yaman, yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran, semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu.

Pada 25 Oktober, Arab Saudi sekali lagi memintas gelombang serangan peluru berpandu dan dron ketika pertempuran dengan Houthi masih berterusan.

Serangan tersebut menjadikan Arab Saudi semakin terdedah kepada kesan konflik antara Amerika, Israel dan Iran, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa peperangan boleh merebak ke seluruh rantau Teluk.

Ketiga-tiga negara anggota Pakatan Makkah menandatangani Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah pada Ogos lalu, yang menetapkan bahawa serangan bersenjata terhadap sebuah negara anggota dianggap sebagai serangan terhadap semua anggota.

Perjanjian itu turut mewajibkan negara anggota menggunakan segala langkah yang perlu bagi melindungi kedaulatan, keutuhan wilayah dan sempadan antarabangsa masing-masing.

Awal Oktober, menteri negara anggota pakatan itu mengadakan mesyuarat tergempar di Riyadh dan bersetuju memastikan penempatan segera pasukan serta keupayaan ketenteraan di Arab Saudi bagi menghadapi ancaman keselamatan.

Bagaimanapun, usaha diplomatik terbaru menunjukkan ketiga-tiga negara masih berusaha mencari penyelesaian melalui rundingan sebelum konflik menjadi lebih buruk.

Timbalan Menteri Diplomasi Awam Arab Saudi, Encik Rayed Krimly, berkata lawatan ke Teheran merupakan sebahagian usaha berterusan Pakatan Makkah untuk mengurangkan ketegangan, menggalakkan penyelesaian diplomatik dan menyokong pengantaraan Qatar serta Pakistan.

Menurut beliau, pertemuan itu juga mencerminkan peranan penting negara anggota pakatan tersebut dalam mengukuhkan keselamatan dan kestabilan serantau.

Inisiatif rundingan berkenaan dilaporkan dicadangkan Pakistan ketika lawatan Marsyal Munir ke Teheran minggu lalu.

Dalam lawatan tersebut, beliau bertemu Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, dan beberapa pegawai kanan lain bagi membincangkan usaha pengantaraan.

Bagaimanapun, menurut media Iran, Teheran menegaskan bahawa rundingan langsung dengan Washington tidak akan diadakan selagi tuntutannya belum dipenuhi.

Sementara itu, pengantara Qatar turut bertemu pegawai Iran di Teheran pada 25 Oktober bagi mengurangkan ketegangan.

Qatar sejak beberapa bulan lalu memainkan peranan penting sebagai pengantara antara Iran dengan Amerika.

Usaha pengantaraan Qatar dan Pakistan sebelum ini membantu menghasilkan perjanjian damai sementara pada Jun lalu, tetapi persetujuan tersebut gagal bertahan apabila pertempuran antara Amerika dengan Iran kembali tercetus beberapa minggu kemudian.

Ketegangan terbaru semakin membimbangkan selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pada 23 Oktober memberi amaran bahawa Washington mungkin melancarkan satu lagi operasi ketenteraan terhadap Iran.

Pemimpin Iran pula menegaskan bahawa sebarang serangan baru Amerika akan dibalas dengan tindakan yang lebih kuat berbanding sebelumnya.

Pegawai keselamatan Iran memberitahu Reuters bahawa Tehran sudah menyediakan rancangan terperinci untuk menyerang kabel dasar laut di rantau Teluk sekiranya Amerika dan Israel melancarkan serangan baru.

Satu memorandum perisikan Amerika pula memberi amaran bahawa rancangan Iran untuk menyasarkan anggota Amerika sudah mencapai peringkat lanjut.

Kedua-dua pihak dilaporkan turut membuat persiapan menghadapi kemungkinan perang lebih besar selepas pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada 3 November.

Konflik yang berlarutan hampir lapan bulan itu turut memberi tekanan politik kepada Encik Trump menjelang pilihan raya tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakistan telah meluluskan Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah minggu lalu, manakala Parlimen Turkey masih dalam proses mengesahkannya.

Rundingan di Teheran kini dilihat sebagai usaha penting untuk mengelakkan serangan terhadap Arab Saudi daripada mencetuskan tindak balas ketenteraan lebih besar yang boleh menyeret negara anggota Pakatan Makkah ke dalam konflik serantau. – Agensi berita