WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengalu-alukan perjanjian pertahanan bersama yang dimeterai Arab Saudi, Turkey dan Pakistan, sambil menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memperkukuh keupayaan negara serantau mempertahankan diri.

Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah yang ditandatangani pada 7 Ogos itu menetapkan bahawa serangan bersenjata terhadap salah satu daripada tiga negara berkenaan akan dianggap sebagai serangan terhadap kesemuanya.

Prinsip pertahanan bersama itu mencetuskan perbandingan dengan Artikel 5 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang menetapkan serangan terhadap satu anggotanya dianggap sebagai serangan terhadap seluruh perikatan.

Ia menyebabkan pakatan baharu itu turut digelar sesetengah pihak sebagai ‘Nato Sunni’ meskipun struktur, skop dan mekanisme tindak balas ketenteraannya masih belum diperincikan sepenuhnya.

Encik Trump berkata beliau gembira melihat ketiga-tiga negara akhirnya mencapai perjanjian tersebut.

“Saya sangat gembira melihat Arab Saudi, Turkey dan Pakistan... akhirnya menandatangani Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah,” tulis Encik Trump di platform Truth Social pada 16 Ogos.

“Ia menunjukkan bagaimana Timur Tengah semakin bersatu dan bagaimana negara-negara akhirnya dapat mempertahankan diri dengan cara yang lebih bermakna.”

Encik Trump turut mengucapkan tahniah kepada pemimpin ketiga-tiga negara.

“Ini adalah langkah pertama yang besar, berani dan penting,” katanya.

Perjanjian itu ditandatangani di Jeddah oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman; Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan; dan Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif.

Menurut Kementerian Luar Pakistan, perjanjian tersebut bertujuan meningkatkan “pencegahan bersama”, dengan serangan terhadap mana-mana anggota dianggap sebagai serangan terhadap ketiga-tiga negara.

Ketiga-tiga negara turut menyatakan “komitmen bersama untuk terus memperkukuh keselamatan kolektif serta menggalakkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di dalam dan luar rantau itu”.

Perjanjian Makkah membawa kerjasama pertahanan ketiga-tiga negara melangkaui latihan ketenteraan dan urus niaga senjata dengan mewujudkan komitmen rasmi terhadap pertahanan bersama.

Ia dilaporkan berlandaskan Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mengiktiraf hak sesebuah negara untuk mempertahankan diri secara individu atau bersama sekiranya berlaku serangan bersenjata.

Bidang kerjasama yang digariskan termasuk latihan ketenteraan, pertukaran anggota dan latihan bersama, selain kemungkinan perkongsian risikan yang lebih luas.

Bagaimanapun, teks penuh perjanjian itu belum didedahkan kepada umum.

Ini menyebabkan beberapa persoalan penting masih belum terjawab, termasuk sejauh mana setiap negara diwajibkan memberi bantuan ketenteraan jika salah satu anggota diserang, kawasan geografi yang diliputi jaminan keselamatan itu dan keadaan yang boleh mencetuskan tindak balas bersama.

Tidak seperti perjanjian pertahanan strategik Arab Saudi-Pakistan sebelum ini, perjanjian tiga negara terbaru itu juga tidak menyebut secara terbuka mengenai senjata nuklear atau sebarang aturan perkongsian keupayaan nuklear.

Pakatan itu dimeterai ketika rantau berkenaan berdepan ketidaktentuan keselamatan akibat perang Amerika-Iran yang turut mencetuskan ketegangan di beberapa negara, termasuk serangan oleh kumpulan Houthi yang disokong Teheran.

Arab Saudi, Turkey dan Pakistan turut menyatakan komitmen untuk mengambil bahagian dalam usaha membantu mencari penyelesaian kepada konflik antara Amerika dengan Iran.

Perkembangan itu turut mendapat perhatian India, terutama kerana Pakistan merupakan anggota perjanjian tersebut dan mempunyai hubungan keselamatan yang lama dengan Arab Saudi serta hubungan pertahanan yang semakin berkembang dengan Turkey.

New Delhi berkata ia sedang meneliti kemungkinan kesan pakatan itu terhadap keselamatan nasional India serta keamanan dan kestabilan serantau.

Jurucakap Kementerian Ehwal Luar India, Encik Randhir Jaiswal, berkata pada 11 Ogos bahawa pemerintah sedang mengkaji implikasi perjanjian tersebut.

Setakat perjanjian ini, kami sedang meneliti implikasinya daripada perspektif keselamatan nasional India serta pertimbangan keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.

Kementerian itu menegaskan India kekal komited melindungi kepentingan nasionalnya dan akan mengambil langkah yang diperlukan.

Walaupun perbandingan dengan Nato semakin mendapat perhatian, pakatan tiga negara itu masih jauh daripada struktur perikatan ketenteraan Barat tersebut yang mempunyai organisasi, sistem perancangan pertahanan dan struktur pemerintahan ketenteraan bersama yang telah dibangunkan selama beberapa dekad.

Namun, komitmen bahawa serangan terhadap satu negara dianggap sebagai serangan terhadap semua memberikan perjanjian Makkah dimensi strategik yang lebih besar berbanding kerjasama pertahanan biasa.

Sokongan terbuka Encik Trump pula memberi isyarat bahawa Washington, sekurang-kurangnya buat masa ini, melihat pakatan tersebut sebagai perkembangan positif yang boleh meningkatkan keupayaan sekutu dan rakan Amerika untuk memikul tanggungjawab lebih besar terhadap keselamatan serantau. - Agensi berita