Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

'Sedekah' semasa pilihan raya rasuah?

Jan 31, 2023 | 05:30 AM



AGAK sukar membuktikan atau menampilkan pemberian rasuah berlaku semasa pilihan raya, sekali gus boleh membatalkan kemenangan pilihan raya terhadap calon yang memberi suapan.



Pada masa yang sama, unsur yang lebih penting bukan sahaja bukti itu mencukupi malah ia perlu menunjukkan bahawa disebabkan perlakuan rasuah itu ia menyebabkan sejumlah undi diperolehi bagi membolehkan calon itu menang.



Peguam Kanan Sivil dan Jenayah, Encik Mohd Haniff Khatri Abdulla, menjelaskan hujahnya dengan memberi contoh:



"Katalah seseorang itu menang dengan 25,000 undi manakala yang kalah dapat 10,000 undi. Maka dia (kalah) kena membuktikan bahawa rasuah telah berlaku bukan saja untuk membeli undi bahkan memperoleh majoriti sebanyak 15,000 tersebut.



"Jadi, kalau kita ada bukti mengatakan orang memberi rasuah pada satu majlis yang dihadiri 1,000 orang tetapi majoriti menang 5,000, 10,000 undi bagaimanakah ia memberi kesan kepada kemenangan dia. Ia tidak boleh dianggap 9,000 itu pun rasuah. Anggapan itu tidak terpakai dalam undang-undang."



Encik Mohd Haniff bercakap kepada Berita Harian bagi memberi pandangan dari sudut undang-undang mengenai kenyataan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Hadi Awang, bahawa pemberian wang kepada pengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas bukan perbuatan rasuah tetapi amalan sedekah.



UNSUR JENAYAH



Menurut peguam kanan tersebut, seorang hakim Sarawak pernah mengatakan kesukaran tersebut dalam satu kes petisyen pilihan raya di mana sekiranya diterima berlakunya perbuatan rasuah ia tidak memberi kesan kepada jumlah undi yang dimenangi.



"Sebab bukti yang ditampilkan di mahkamah hanya melibatkan beberapa puluh orang atau beberapa ratus orang dalam kes tersebut," tambahnya.



Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan pandangan pelbagai pihak bahawa dari segi undang-undang jenayah negara ia tidak membezakan perkataan hadiah, ataupun sedekah ataupun hibah.



"Yang penting adakah unsur jenayah itu semua tercapai, kalau misal kata, wang itu diberikan dengan tujuan membeli undi dan dengan syarat undi telah dibeli, maka apa pun dipanggil oleh pihak pemimpin politik atau parti politik berkenaan ia tetap disiasat dan boleh diambil tindakan jenayah sivil rasuah.



"Oleh itu, nama atau label yang diberi kepada pemberian itu tidak relevan, yang penting ialah intipati pemberian itu. Adakah ia merupakan sogokan untuk memperoleh satu keuntungan yang salah itu konsepnya. Jadi, di sini rakyat dan sistem kemasyarakatan tidak perlu mengambil tahu atau mengambil peduli tentang label yang diberi oleh pemimpin politik jika pun ia disandarkan melalui fahaman atau agama," katanya.



SEDEKAH ATAU SUMBANGAN



Bagi Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemikir Pemerhati Rasuah, Encik Noor Mohamad Shakil Hameed, pengakuan pemimpin parti politik tersebut menunjukkan pemberian wang itu sememangnya berlaku, cuma tafsiran beliau bahawa ia sedekah dan sedekah bukan rasuah menimbulkan polemik.



"Hakikatnya, sama ada ia 'sedekah' ataupun 'sumbangan', undang-undang menganggapnya sebagai rasuah yang dibayar kepada pengundi, tidak kira sama ada pengundi memintanya ataupun tidak.



"Justeru, kita tidak boleh menggunakan konsep matlamat menghalalkan cara dengan cuba menormalisasikan atau menghalalkan rasuah atas nama sedekah. Budaya cuba menghalalkan rasuah atas nama sedekah tidak wajar berlaku dan diamalkan oleh ahli dan parti politik.



"Ini akan memberikan mesej yang salah kepada rakyat bahawa seolah-olah rasuah atas nama sedekah itu halal dan tidak salah," katanya kepada Berita Harian.



Berikutan itu, jelasnya, anggota politik perlu memahami dengan jelas Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mentakrifkan secara terperinci perbuatan rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya yang dilakukan secara langsung atau tidak langsung oleh calon sendiri atau oleh wakil bagi pihaknya.



Selain itu, katanya, kerajaan perlu segera membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembiayaan Dana Politik yang dilihat mampu mengawal wang digunakan parti politik semasa pilihan raya atau di luar kempen pilihan raya, sekali gus boleh membersihkan sistem politik negara dan membawa kepada sistem yang lebih telus dan mampan.



SEDEKAH DISIASAT SEBAGAI RASUAH



Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pemimpin PAS boleh mentafsirkan tindakan pemberian wang tunai semasa PRU15 mengikut cara parti itu, namun perkara itu sedang disiasat berkaitan pembelian undi.



Katanya, SPRM sudah membuka kertas siasatan berhubung pemberian wang tunai semasa kempen pilihan raya seperti dilihat dalam satu video yang berlaku di Terengganu.



"Tidak mengapa jika mereka menggunakan istilah seperti sedekah. Ia tetap rasuah seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.



"Kami sudah membuka beberapa kertas siasatan selepas menerima aduan ketika dan selepas pilihan raya dan kami akan menyiasat setiap kes yang dirujuk kepada kami," katanya.



Berdasarkan akta itu, rasuah disifatkan berlaku apabila calon atau mana-mana individu membeli undi, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, dengan memberi atau menawarkan wang, hadiah, pekerjaan atau pinjaman semasa atau selepas pilihan raya.



Sesiapa yang didapati bersalah boleh dipenjara maksimum dua tahun, denda antara RM1,000 dengan RM5,000, serta penjara sehingga setahun.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >