RAFAH (Jaluran Gaza): Meskipun beliau adalah seorang guru tetapi Cik Inas Al-Baz, hidup bak kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Beliau terpaksa mencari makanan dan air setiap hari untuk keperluan keluarganya dan meneruskan kehidupan dalam suasana perang yang terus mencengkam dan belum nampak penghujungnya.
Beliau tidak menyerah kepada nasib dan sebaliknya memecahkan kebosanan tekanan hidup dengan menanam sayuran dan tumbuhan yang boleh dimakan dan mengajar kanak-kanak dalam khemah.
Keluarga Cik Al-Baz, dari kem pelarian Al-Shati, adalah antara sekitar 1.5 juta rakyat Palestin yang hidup bersesak-sesak di Rafah, selatan Gaza, selepas melarikan diri daripada serangan tentera Israel di Jaluran Gaza.
“Anak-anak saya ada hobi dan pandai belajar di sekolah, alhamdulillah. Mereka pernah mempunyai cita-cita dan aktiviti mereka sendiri seperti kanak-kanak yang lain,” katanya.
“Tetapi sekarang kesemuanya tentang “Ibu, apa yang akan kita makan dan minum?”” kata beliau.
Cik Al-Baz berkata anak-anaknya sudah muak dengan makanan dalam tin yang beliau boleh dapatkan.
Beliau bersyukur kerana hujan yang turun baru-baru ini membolehkan beliau menyimpan air dan tanaman ‘mallow’, sejenis tumbuhan yang boleh dimakan, hidup segar di sekitar khemahnya.
Beliau juga membuat roti, menyapu, membasuh pakaian keluarganya.
“Saya tidak membuang masa di dalam khemah. Saya mengajar mereka Al-Quran, menulis dan membaca puisi,” katanya.
“Anak-anak kami menderita, dirampas hak mereka. Tetapi kami, sebagai wanita Palestin, bersabar dan bekerja keras mendidik mereka menjadi anak yang baik,” katanya.
Anak perempuannya, Anood, mendeklamasikan puisi dalam bahasa Arab sedang Cik Al-Baz mengajar anak lelakinya, bahasa Inggeris asas.
“Saya menganggap wanita Palestin antara wanita terkuat di dunia,” kata Al-Baz. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg