Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekatan Amerika ke atas Iran, China berkaitan pembuatan peluru berpandu

Jun 7, 2023 | 6:49 PM
PELURU BERPANDU IRAN: Foto daripada Pasukan Pengawal Revolusi Iran ini menunjukkan peluru berpandu Iran yang baru “Fattah” yang boleh meluncur sejauh 1,400 kilometer.
PELURU BERPANDU IRAN: Foto daripada Pasukan Pengawal Revolusi Iran ini menunjukkan peluru berpandu Iran yang baru “Fattah” yang boleh meluncur sejauh 1,400 kilometer. - Foto AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Selasa telah mengenakan sekatan ke atas puluhan orang dan pertubuhan di Iran, China dan Hong Kong, termasuk atase pertahanan Iran di kedutaannya di Beijing, dengan mendakwa mereka membekalkan kelengkapan bagi program ketenteraan dan peluru berpandu Iran.

Satu kenyataan Jabatan Perbendaharaan Amerika berkata, rangkaian itu menjalankan pengendalian bagi membekalkan kelengkapan sensitif dan teknologi bagi pembangunan peluru berpandu balistik Iran, termasuk Kementerian Pertahanan dan agensi Logistik Angkatan Tentera (Modafl), yang sudah dikenakan sekatan oleh Amerika.

Antara mereka yang dikenakan sekatan itu, sedang Washington memperhebat tekanan terhadap Teheran, adalah atase pertahanan Iran di Beijing, Encik Davoud Damghani, yang dituduh oleh Jabatan Perbendaharaan menyelaraskan bekalan peralatan ketenteraan dari China untuk kegunaan di Iran, termasuk anak-anak syarikat Modafl.

“Amerika akan terus menyasarkan kegiatan haram rangkaian pembekalan antara negara, yang menyokong Iran membuat peluru berpandu balistik dan lain-lain program ketenteraan,” kata Penolong Setiausaha Perbendaharaan bagi Pengganasan dan Risik Kewangan, Encik Brian Nelson, dalam satu kenyataan.

Perwakilan Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan kedutaan China di Washington tidak segera memberikan respons ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Pada Mac 2021, China dan Iran telah memeterai perjanjian kerjasama 25 tahun bagi perkukuh perikatan antara mereka dalam bidang-bidang ekonomi dan politik.

China adalah pembeli utama minyak dari Iran sekalipun sudah ada sekatan dari Amerika yang bertujuan membekukan eksport negara itu.

Antara yang menjadi sasaran sekatan adalah syarikat China, Zhejiang Qingji Ind Co, yang dituduh Amerika menjual peralatan dan perkhidmatan bernilai ratusan ribu dolar kepada dua syarikat lain di China selaku orang tengah.

Pengarah dan kakitangan syarikat itu juga menjadi sasaran sekatan, termasuk sebuah syarikat Hong Kong, Lingoe Process Engineering, yang dituduh bertindak selaku syarikat yang diketengahkan oleh Zhejiang Qingji, dalam berurusan dengan pembekal lain.

Turut dikenakan sekatan adalah tiga lagi syarikat di Hong Kong, yang didakwa menjalankan kegiatan penjualan alat logam bernilai puluhan juta dolar. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg