DAKAR/BAMAKO: Sekatan bahan api selama dua bulan oleh militan yang dikaitkan dengan al-Qaeda hampir melumpuhkan ibu kota Mali, membebankan pemerintah tentera dan menimbulkan kebimbangan bahawa mereka akhirnya cuba memaksakan pemerintahan mereka ke atas negara Afrika Barat itu.
Namun, penganalisis keselamatan menyatakan kumpulan yang dikenali sebagai Jama’at Nusrat al-Islam wal-Muslimin (JNIM), yang telah beroperasi selama berbulan-bulan dalam lingkungan 50 kilometer daripada Bamako, kini tidak mempunyai niat mahupun keupayaan tentera untuk merampas bandar yang mempunyai empat juta penduduk itu, yang diserangnya pada 2024.
Namun strategi JNIM menyebabkan Bamako kekurangan bahan api, memaksa sekolah ditutup dan menghalang perniagaan daripada mendapatkan bekalan elektrik yang dijana daripada diesel dan sekali gus menimbulkan cabaran paling besar setakat ini kepada pemimpin tentera yang mengambil alih kuasa pada 2021.
Matlamat pejuang jihad mungkin cuba mencetuskan satu lagi rampasan kuasa, kata enam penganalisis keselamatan dan diplomat.
Jika berlaku, ia merupakan yang ketiga bagi Mali sejak 2020, seterusnya menghalang negara daripada pusat kuasa yang berdaya maju dan membolehkan JNIM mengumpulkan lebih banyak senjata dan dana.
Dalam jangka masa panjang, JNIM sedang berusaha untuk berunding sama ada dengan pemerintah semasa atau pentadbiran pasca-rampasan kuasa, yang akan menjadi peristiwa penting dalam usahanya untuk mendapatkan legitimasi politik, menurut nota berjudul Control Risks yang diterbitkan minggu lalu.
“Dengan aktiviti JNIM yang memberi tekanan kepada pemerintah, kami memberi amaran bahawa risiko kejatuhan rejim, sama ada melalui rampasan kuasa atau bentuk krisis politik yang lain, akan menjadi sangat tinggi dalam beberapa minggu akan datang,” kata nota itu.
Sumber yang rapat dengan JNIM tidak memberi respons kepada permintaan untuk memberi komen tentang tujuan sekatan bahan api itu.
Satu kenyataan yang dikeluarkan pada awal September menyebut sasaran sekatan itu terhadap “penyamun-penyamun ini yang berkuasa”, yang dituduh menganiaya rakyat Mali terutamanya di luar ibu negara.
Berpunca daripada pemberontakan etnik Tuareg pada 2012, JNIM telah selama lebih sedekad mara dari utara Mali ke tengah negara dan di dalam negara jiran Burkina Faso dan Niger.
Encik Assimi Goita, ketua tentera Mali semasa, merampas kuasa dengan berjanji untuk mengubah keadaan dalam memerangi kumpulan Islam itu, tetapi strategi pemerintah dengan memutuskan kerjasama pertahanan dengan Perancis dan Amerika Syarikat dan sebaliknya bersandar pada Russia telah gagal. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg