GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengurangkan catuan makanan buat penduduk di Gaza sebanyak separuh, memetik sekatan Israel yang terus memberi kesan kepada usaha kemanusiaan badan dunia itu.
Sejak beberapa bulan lalu, PBB dan rakan kongsi bantuan kemanusiaannya telah dapat menghantar dengan mudah bantuan ke Gaza dengan beberapa had daripada pihak berkuasa Israel.
Tetapi pada 12 Disember, mereka terpaksa mengurangkan separuh bahagian makanan yang diagihkan, kata jurucakap PBB, Encik Farhan Haq, kepada pemberita pada 15 Disember.
“Disebabkan oleh sekatan berterusan yang menjejas keupayaan kami untuk membawa masuk jumlah bantuan yang mencukupi, rakan kongsi kami sekali lagi terpaksa mengurangkan bantuan yang diberikan kepada satu bungkusan yang mengandungi sebungkus tepung dan 1.5 kilogram (kg) biskut bertenaga tinggi.
“Pakej yang dikurangkan ini meliputi separuh daripada keperluan kalori minimum setiap keluarga di Gaza untuk baki bulan ini (Disember),” tambah beliau.
Encik Haq berkata beliau menyalahkan sekatan Israel di lintasan sempadan memasuki Gaza melibatkan jenis barangan yang boleh dibawa masuk dan had visa pekerja kemanusiaan.
“Kebanyakan daripada sekatan ini adalah daripada pihak berkuasa Israel. Kami telah cuba mendapatkan bantuan sebanyak mungkin,” kata beliau lagi.
Kedutaan Israel di PBB tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.
Pemotongan mendadak bantuan makanan ke kawasan tersebut menggariskan kerapuhan operasi kemanusiaan di Gaza, dua bulan selepas gencatan senjata membuka jalan bagi Israel sepatutnya membenarkan lebih banyak sumber masuk ke kawasan pesisir pantai itu.
Pada masa yang sama, penghantaran hanya sebahagian daripada apa yang dikatakan oleh PBB boleh disediakan dan permulaan musim sejuk telah menimbulkan desakan baru untuk tujuan kemanusiaan tersebut.
Di bawah gencatan senjata yang ditaja oleh Amerika Syarikat antara Israel dengan Hamas di Gaza pada Oktober, pasukan tentera Israel perlu berundur ke kedudukan di belakang apa yang dikenali sebagai Garis Kuning.
Walaupun pengunduran taktikal dilakukan, namun tentera Israel masih menguasai sekitar 53 peratus wilayah Gaza.
Pelan gencatan senjata hasil inisiatif Presiden Amerika, Encik Donald Trump, membuka ruang kepada penubuhan pasukan penstabil antarabangsa, namun butirannya tidak jelas.
Amerika menjangkakan “kehadiran pasukan penstabil di lapangan” seawal 2026.
PBB sebelum ini memberi amaran bahawa hujan lebat dan banjir yang melanda ratusan tapak pelarian di Jaluran Gaza sejak 11 Disember meletakkan hampir separuh penduduk wilayah itu pada risiko tinggi, ketika ribut musim sejuk terus memburukkan keadaan kemanusiaan yang sudah kritikal.
Encik Haq ditukil sebagai berkata bahawa hujan berterusan telah menenggelamkan khemah, merosakkan barangan peribadi penduduk dan meningkatkan ancaman penyakit.
“Hujan lebat menenggelamkan khemah, membasahi pakaian dan makanan, serta meningkatkan risiko kesihatan termasuk hipotermia dalam kalangan bayi dan penyakit akibat limpahan kumbahan,” katanya sambil memetik laporan Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (Ocha).
Agensi PBB kini mengagihkan khemah, kanvas, selimut, pakaian tebal dan kit kebersihan di seluruh Gaza.
Ribut Byron melanda Gaza ketika hampir 1.5 juta penduduk Palestin berlindung di khemah daif tanpa perlindungan kukuh. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg