Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekitar 100 maut dalam serangan Israel di Rafah

Feb 12, 2024 | 3:20 PM
Asap berkepulan semasa operasi darat Israel di Khan Younis, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dengan Hamas, seperti yang dilihat dari kem yang melindungi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Rafah, selatan Jaluran  Gaza, pada 11 Februari.
Asap berkepulan semasa operasi darat Israel di Khan Younis, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dengan Hamas, seperti yang dilihat dari kem yang melindungi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Rafah, selatan Jaluran Gaza, pada 11 Februari. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Serangan Israel ke atas bandar Rafah di selatan Gaza membunuh sekitar 100 orang termasuk kanak-kanak dan mencederakan puluhan lagi mangsa, kata pegawai kesihatan tempatan pada 12 Februari, setelah Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, memberitahu Israel supaya tidak menyerang Rafah tanpa rancangan yang boleh dipercayai untuk melindungi orang awam.

Pengeboman kuat menyebabkan rasa panik berleluasa di Rafah ketika ramai orang sedang tidur apabila serangan bermula, kata penduduk yang dihubungi Reuters melalui aplikasi sembang.

Ada yang bimbang Israel telah memulakan serangan daratnya ke atas Rafah. Sebanyak 14 rumah dan tiga masjid juga dilaporkan diserang.

Tentara Israel berkata pada 12 Februari ia telah mengendalikan “siri serangan” di bahagian selatan Gaza yang kini telah “selesai”, tanpa memberi butiran lanjut.

Sebelum serangan ke atas bandar-bandar Gaza sebelum ini, tentera Israel telah mengarahkan orang awam meninggalkan kawasan tanpa menyediakan sebarang pelan pemindahan khusus.

Encik Biden memberitahu Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 11 Februari bahawa Israel tidak seharusnya melancarkan operasi ketenteraan di Rafah tanpa rancangan yang boleh dipercayai untuk memastikan keselamatan kira-kira sejuta orang yang berlindung di sana, kata Rumah Putih.

Agensi bantuan berkata serangan ke atas Rafah akan membawa malapetaka. Ia adalah tempat terakhir yang agak selamat di kawasan yang musnah akibat serangan tentera Israel.

Encik Biden dan Encik Netanyahu berbual selama kira-kira 45 minit, beberapa hari setelah pemimpin Amerika itu berkata tindak balas tentera Israel di Jaluran Gaza dianggap “keterlaluan”, lantas menyuarakan kebimbangan yang mendalam terhadap kenaikan bilangan kematian orang awam di kawasan Palestin.

Militan Hamas membunuh 1,200 orang di bahagian selatan Israel dan menculik sekurang-kurangnya 250 orang dalam pencerobohan mereka pada 7 Oktober 2023, menurut kiraan Israel.

Israel pula telah memberi tindak balas dengan serangan ketenteraan di Jaluran Gaza yang mengorbankan lebih 28,000 nyawa rakyat Palestin, menurut kementerian kesihatan kendalian Hamas.

Television Aqsa, di bawah pengurusan Hamas, pada 11 Februari pula memetik seorang pemimpin kanan Hamas sebagai berkata bahawa sebarang serangan darat Israel di Rafah akan menggugat rundingan pertukaran tebusan. – Reuters, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg