Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekitar 200 terperangkap dalam terowong di Gaza

Nov 10, 2025 | 12:37 PM
kem pelarian khan younis, gaza
Para penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal berjalan di antara bangunan yang telah menyembah bumi di kem pelarian Khan Younis, selatan Gaza, pada 8 November. - Foto EPA

ISTANBUL: Turkey kini berusaha menjamin laluan selamat bagi kira-kira 200 orang awam yang terperangkap di dalam terowong di Gaza, selepas berjaya memainkan peranan penting memudahkan pemulangan mayat seorang askar Israel yang terkorban di wilayah itu lebih sedekad lalu, kata seorang pegawai kanan Turkey pada lewat 9 November.

Kumpulan Hamas sebelum ini berkata anggotanya yang bersembunyi di kawasan Rafah yang dikuasai Israel tidak akan menyerah diri kepada Israel, dan menggesa pengantara agar mencari penyelesaian kepada krisis yang mengancam gencatan senjata yang berusia sebulan itu.

Secara berasingan pada 9 November, Israel berkata ia menerima mayat Encik Hadar Goldin, seorang pegawai tentera yang terbunuh dalam serangan hendap di Gaza semasa perang Israel-Hamas pada 2014.

Mayatnya telah diserahkan kepada Persatuan Palang Merah.

Pegawai kanan Turkey itu berkata: “Kami telah berjaya memudahkan kepulangan mayat Hadar Goldin ke Israel selepas 11 tahun” dan ini adalah hasil usaha intensif yang mencerminkan komitmen jelas Hamas terhadap gencatan senjata”.

“Pada masa yang sama, kami sedang berusaha memastikan laluan selamat kira-kira 200 orang awam Gaza yang kini terperangkap di dalam terowong,” kata pegawai itu.

Turkey merupakan penandatangan perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas pada Oktober, yang disokong oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Ia mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan Palestin dan telah mengkritik keras kempen ketenteraan Israel di Gaza.

Israel dan Amerika meneruskan perbincangan sama ada Israel akan membenarkan kira-kira 200 militan Hamas yang terperangkap di kompleks terowong di Rafah, selatan Gaza, dipindahkan ke wilayah yang dikawal Palestin.

Kompleks tersebut adalah kawasan di bawah kawalan Israel.

Kedua-dua pihak membincangkan untuk membenarkan laluan selamat jika Hamas menyerahkan senjata mereka.

Seorang pegawai kanan Israel berkata Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, tidak akan membenarkan “laluan selamat untuk 200 anggota Hamas itu”, tetapi tidak menolak sama sekali cadangan yang diajukan pada masa depan.

Laporan media sebelum ini menyatakan Ketua Agensi Perisikan Turkey (MIT), Encik Ibrahim Kalin, telah mengadakan pertemuan dengan ketua pasukan perunding Hamas, Encik Khalil al-Hayya, di Istanbul pada 5 November bagi membincangkan pelaksanaan fasa seterusnya dalam pelan gencatan senjata Gaza.

Pertemuan itu turut membincangkan langkah memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar serta kaedah mengatasi masalah yang timbul dalam tempoh pelaksanaan perjanjian tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg