ADEN (Yaman): Sekurang-kurangnya 80 anggota Majlis Peralihan Selatan (STC) terbunuh dalam pertempuran dan serangan udara sejak 2 Januari, ketika pasukan pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi melancar operasi besar-besaran untuk merampas semula wilayah strategik di selatan negara itu.
Seorang pegawai kanan ketenteraan STC memberitahu agensi berita, AFP, pada 4 Januari bahawa selain korban nyawa, sekurang-kurangnya 152 anggota STC cedera manakala 130 lagi ditawan sejak operasi bermula.
“Ini angka awal korban sejak operasi dilancarkan. Serangan udara dan pertempuran darat berlaku secara intensif,” kata pegawai itu, sambil menyalahkan serangan gabungan tentera pimpinan Arab Saudi sebagai punca utama korban besar di pihak STC.
Operasi ketenteraan oleh pasukan pemerintah yang disokong Riyadh bermula pada 2 Januari menyasarkan wilayah yang dirampas STC pada awal Disember, sekali gus mencetuskan pertembungan terbuka antara dua kumpulan yang disokong oleh sekutu Teluk berbeza, Arab Saudi dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Menurut pegawai STC, kebanyakan korban berlaku akibat serangan udara gabungan pimpinan Arab Saudi yang menyasarkan kem ketenteraan STC, termasuk di kem al-Khasha dan Barshid di wilayah Hadramout.
Pada 2 Januari, satu serangan udara ke atas kem al-Khasha mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang, menurut angka awal yang diumumkan STC.
Sehari kemudian, seorang pegawai tentera STC mengesahkan jet pejuang Saudi melancarkan serangan udara “intensif” ke atas satu lagi kem mereka di Barshid, barat bandar Mukalla.
Di pihak pemerintah, seorang pegawai tentera yang disokong Arab Saudi memberitahu AFP, sekurang-kurangnya 14 anggota pasukan pemerintah terbunuh, manakala lebih 30 yang lain cedera dalam pertempuran sejak beberapa hari lalu.
Presidensi Yaman pada 3 Januari mengumumkan kejayaan merampas semula wilayah kaya sumber Hadramout, susulan pengunduran pasukan STC.
Pegawai tentera pemerintah yang sejajar dengan Riyadh turut memaklumkan wilayah jiran, al-Mahra, kembali menyatakan kesetiaan kepada kerajaan pusat tanpa sebarang tentangan.
Pada 4 Januari, dua pegawai tentera pemerintah mengesahkan pasukan yang disokong Arab Saudi sedang mengukuhkan kedudukan mereka di Mukalla, ibu negeri Hadramout dan pelabuhan utama di pesisir Laut Arab.
Arab Saudi dan UAE telah lama menyokong kumpulan berbeza dalam pemerintah Yaman yang berpecah belah.
Namun, ofensif STC pada Disember, yang menyaksikan penguasaan Hadramout dan al-Mahra, mencetuskan kemarahan Riyadh dan secara terbuka mendedahkan keretakan hubungan antara dua kuasa minyak Teluk itu.
Sejak itu, gabungan pimpinan Arab Saudi melancarkan beberapa siri amaran dan serangan udara, termasuk satu serangan yang didakwa menyasarkan penghantaran senjata dari UAE kepada kumpulan pemisah tersebut.
Ketua Majlis Kepimpinan Presiden Yaman (PLC), Encik Rashad al-Alimi, dalam kenyataan sebelum ini menyifatkan operasi pasukan Perisai Tanah Air yang disokong Arab Saudi sebagai satu “kejayaan luar biasa”.
“Pasukan kami telah berjaya merampas semula semua kedudukan ketenteraan dan keselamatan di wilayah yang bersempadan dengan Arab Saudi,” katanya, sambil menegaskan Mukalla kini kembali berada di bawah kawalan pemerintah yang diiktiraf antarabangsa.
Walaupun berdepan kekalahan ketenteraan, STC menyatakan kesediaan untuk berdialog.
Kumpulan itu menyambut tawaran perbincangan oleh Arab Saudi, menyifatkannya sebagai “peluang tulen” untuk melindungi “aspirasi rakyat selatan”.
Di lapangan, sumber tempatan memberitahu Al Jazeera keadaan di beberapa kawasan di Hadramout, termasuk bandar Seiyun, beransur pulih, dengan operasi institusi pemerintah dan perkhidmatan awam mula disambung semula.
Gabenor Hadramout, Encik Salem Ahmed Said al-Khanbashi, turut dilaporkan tiba di Seiyun selepas pasukan pemerintah menguasai wilayah itu.
Namun, ketegangan berterusan di bandar pelabuhan Aden, kubu kuat STC.
Pemerintah Yaman menuduh STC mengenakan sekatan pergerakan terhadap orang awam, termasuk menahan keluarga dan pesakit yang cuba memasuki bandar tersebut.
“Sekatan terhadap pergerakan rakyat ke Aden adalah pelanggaran serius Perlembagaan dan pencabulan Perjanjian Riyadh,” tambah kenyataan pemerintah.
“Kami menuntut agar semua sekatan dihentikan serta-merta dan tanpa syarat,” katanya.
Seorang pegawai pemerintah memberitahu agensi berita, Reuters, bahawa pasukan pemerintah merancang meneruskan operasi dari Hadramout ke Aden.
Walaupun sebahagian penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Aden disambung semula, sekatan perjalanan masih dilaporkan di kawasan lain, termasuk Socotra.
Konflik dalaman ini berlaku ketika Yaman masih bergelut dengan perang lebih sedekad menentang kumpulan Houthi yang disokong Iran.
Sejak 2015, peperangan itu telah mengorbankan ratusan ribu nyawa dan mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Perkembangan terkini itu bukan sahaja mengubah imbangan kuasa di selatan Yaman, malah menguji hubungan strategik antara Arab Saudi dengan UAE, sekali gus menambah lapisan baru kepada konflik yang sudah pun kompleks. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg