Sekurang-kurangnya 16 kapal diserang di Teluk Parsi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekurang-kurangnya 16 kapal diserang di Teluk Parsi

Mar 13, 2026 | 12:42 PM

Sekurang-kurangnya 16 kapal diserang di Teluk Parsi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
teluk parsi
Kapal tangki minyak Callisto berlabuh di Pelabuhan Sultan Qaboos ketika trafik perkapalan di Selat Hormuz menurun berikutan konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran, di Muscat, Oman, pada 12 Mac 2026. - Foto REUTERS

TEHERAN: Sekurang-kurangnya 16 kapal tangki minyak, kapal kargo dan kapal komersial lain telah diserang di Teluk Parsi sejak perang antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran tercetus hampir dua minggu lalu.

Iran dilaporkan mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa serangan tersebut.

Pada 12 Mac, dua kapal tangki minyak Iraq dilihat terbakar di laut, menjadi antara contoh terbaharu bagaimana serangan kini semakin tertumpu kepada infrastruktur minyak dan tenaga ketika konflik di rantau itu semakin meluas.

Serangan terhadap kapal komersial berlaku ketika Israel dan Amerika terus melancarkan serangan ke atas Iran dan sekutunya di rantau Asia Barat.

Sejak pertempuran bermula pada 28 Februari, ratusan orang dilaporkan terbunuh manakala ribuan lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Selain korban manusia, konflik tersebut turut membawa kesan ekonomi yang semakin ketara di seluruh dunia.

Tentera Israel dilaporkan menyerang beberapa kompleks penyimpanan bahan api dan kemudahan tenaga milik Iran.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan terhadap kemudahan pengeluaran dan penyimpanan minyak di beberapa lokasi di Teluk Parsi.

Teheran juga mengancam laluan perkapalan di Selat Hormuz, laluan sempit yang menghubungkan Teluk Parsi dengan perairan antarabangsa.

Selat Hormuz merupakan laluan penting bagi perdagangan tenaga dunia, dengan kira-kira satu perlima bekalan minyak global melalui kawasan tersebut setiap hari.

Di tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap perdagangan antarabangsa, tiga kapal dilaporkan terkena peluru pada 11 Mac di kawasan berhampiran Selat Hormuz.

Beberapa jam kemudian, dua kapal tangki minyak Iraq pula diserang di luar pantai negara tersebut.

Susulan insiden itu, Iraq dan Oman bertindak menutup beberapa terminal minyak sebagai langkah keselamatan.

Maklumat mengenai serangan terhadap kapal tersebut diperoleh daripada kenyataan syarikat perkapalan, pengumuman agensi pemerintah, syarikat data industri perkapalan serta firma penjejakan satelit.

Menurut Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh manakala seorang lagi masih hilang akibat serangan ke atas kapal-kapal tersebut.

Antara kapal yang terlibat ialah sebuah kapal tunda yang datang membantu kapal kontena yang rosak sebelum ia turut menjadi sasaran serangan.

Sebelum konflik tercetus, sekitar 80 kapal tangki minyak dan gas biasanya melalui Selat Hormuz setiap hari.

Analisis data aktiviti perkapalan oleh firma industri Kpler menunjukkan kira-kira 20 juta tong minyak dihantar melalui selat itu setiap hari, sekali gus menjadi nadi bekalan tenaga dunia.

Namun keadaan kini berubah secara drastik.

Hanya satu atau dua kapal sehari yang masih mampu melalui laluan tersebut ketika risiko keselamatan semakin meningkat.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada 12 Mac memberi amaran bahawa konflik di Asia Barat telah menyebabkan gangguan bekalan terbesar dalam sejarah pasaran minyak global.

“Perang ini telah menyebabkan gangguan bekalan yang belum pernah berlaku dalam pasaran minyak dunia,” menurut kenyataan agensi tersebut.

Bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan, beberapa negara ekonomi utama termasuk Amerika berjanji untuk melepaskan rizab minyak kecemasan bagi menampung kekurangan bekalan.

Amerika pada 12 Mac mengeluarkan lesen khas selama 30 hari yang membenarkan negara membeli minyak mentah dan produk petroleum Russia yang kini terdampar di laut, dalam usaha menstabilkan pasaran tenaga global yang bergolak akibat perang di Iran.

Langkah itu diumumkan oleh Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, menerusi kenyataan di platform X.

Menurut Ebcik Bessent, lesen tersebut merupakan langkah sementara dan tidak akan memberikan manfaat kewangan besar kepada pemerintah Russia, kerana ia terpakai hanya kepada minyak yang sudah berada dalam perjalanan sebelum 12 Mac.

Lesen itu sah sehingga 11 April, menurut dokumen yang disiarkan di laman Perbendaharaan Amerika.

Namun langkah itu mungkin tidak mencukupi sekiranya konflik berlanjutan.

Harga minyak dunia kini melonjak hampir 40 peratus sejak perang bermula.

Pakar ekonomi memberi amaran bahawa konflik yang berpanjangan boleh memberi kesan besar kepada ekonomi global.

Mereka berkata kenaikan harga tenaga berisiko menjejaskan bekalan makanan, industri dan perdagangan di banyak negara, termasuk negara yang jauh dari Asia Barat.

Selain itu, harga minyak yang tinggi juga boleh mencetuskan tekanan inflasi di seluruh dunia.

Seorang penganalisis pasaran tenaga berkata situasi di Selat Hormuz kini menjadi faktor utama yang menentukan kestabilan ekonomi global.

“Jika laluan ini terus terancam, kesannya bukan sahaja kepada negara pengeluar minyak, tetapi kepada seluruh ekonomi dunia,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg