Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siasatan temui bukti juruterbang matikan enjin dalam nahas Jeju Air

Jul 21, 2025 | 3:30 PM
FOTO FAIL: Serpihan pesawat Jeju Air yang tergelincir dari landasan dan terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan kelihatan berhampiran struktur konkrit yang dirempuhnya, di Muan, Korea Selatan, 30 Disember 2024.
FOTO FAIL: Serpihan pesawat Jeju Air yang tergelincir dari landasan dan terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan kelihatan berhampiran struktur konkrit yang dirempuhnya, di Muan, Korea Selatan, 30 Disember 2024. - Foto REUTERS

SEOUL: Siasatan yang diketuai Korea Selatan berhubung nahas pesawat Jeju Air pada Disember lalu menemui “bukti jelas” bahawa juruterbang telah mematikan enjin yang kurang rosak selepas insiden pelanggaran burung, menurut satu sumber yang mengetahui siasatan itu pada 21 Julai.

Sumber tersebut memaklumkan bahawa bukti seperti rakaman suara kokpit, data komputer dan suis enjin yang ditemui dalam serpihan pesawat menunjukkan juruterbang mematikan enjin kiri, bukan enjin kanan, ketika mengambil langkah kecemasan selepas pelanggaran burung sebelum pesawat dijadualkan mendarat.

“Pasukan siasatan mempunyai bukti kukuh dan data sokongan, jadi penemuan mereka tidak akan berubah,” kata sumber itu kepada Reuters, dengan syarat tidak dinamakan kerana laporan rasmi belum dikeluarkan.

Satu lagi sumber pemerintah berkata pemeriksaan terhadap enjin yang ditemui menunjukkan tiada sebarang kecacatan sebelum pelanggaran unggas dan nahas berlaku. Nahas pada 29 Disember itu membabitkan pesawat Boeing 737-800 yang terhempas di Lapangan Terbang Muan dan mengorbankan semua kecuali dua daripada 181 penumpang dan kru, menjadikannya bencana udara paling buruk di tanah Korea Selatan.

Pada sesi taklimat 19 Julai lalu, penyiasat memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa bahawa enjin kanan mengalami kerosakan lebih teruk akibat pelanggaran burung berbanding enjin kiri, dan terdapat bukti tidak langsung bahawa juruterbang telah mematikan enjin kiri yang kurang rosak, menurut sumber ketiga yang hadir dalam taklimat tersebut.

Media Korea Selatan termasuk MBN dan Yonhap turut melaporkan maklumat tersebut pada 19 Julai dan 20 Julai. Lembaga Penyiasatan Nahas Penerbangan dan Kereta Api Korea Selatan (ARAIB), yang mengetuai siasatan, masih belum memberikan sebarang komen. Boeing merujuk semua soalan berkaitan nahas itu kepada ARAIB.

Pengeluar enjin pesawat, CFM International usaha sama antara GE dan syarikat Perancis Safran juga belum memberikan sebarang kenyataan. Jeju Air pula memaklumkan mereka memberi kerjasama penuh kepada siasatan ARAIB dan sedang menunggu pengumuman rasmi hasil siasatan.

Kebanyakan nahas udara biasanya berpunca daripada pelbagai faktor, dan menurut peraturan antarabangsa, laporan akhir dijangka dalam tempoh setahun selepas kejadian.
Laporan awal yang dikeluarkan pada Januari menyatakan sisa bangkai burung ditemui dalam kedua-dua enjin pesawat Jeju Air selepas penerbangan dari Bangkok itu terhempas di Lapangan Terbang Muan, namun tidak menjelaskan secara terperinci tahap kerosakan bagi setiap enjin.

Badan siasatan Korea Selatan pada 19 Julai telah membatalkan mengeluarkan kenyataan media mengenai perkembangan siasatan berhubung enjin pesawat tersebut. Menurut peguam yang mewakili keluarga mangsa, laporan itu telah didedahkan terlebih dahulu kepada mereka, namun keluarga membantah penerbitannya kerana kandungan laporan seolah-olah menyalahkan juruterbang tanpa meneliti faktor-faktor penyumbang lain.

Pesawat Jeju Air itu telah tergelincir dari landasan Lapangan Terbang Muan semasa melakukan pendaratan kecemasan menggunakan perut pesawat, lalu melanggar tebing yang mengandungi peralatan navigasi, menyebabkan kebakaran dan letupan kecil.

Wakil keluarga mangsa dan kesatuan juruterbang Jeju Air pada hujung minggu lalu turut menuntut siasatan memberi fokus kepada struktur tebing tersebut, yang menurut pakar penerbangan berkemungkinan menyumbang kepada jumlah korban yang tinggi.

Kesatuan juruterbang Jeju Air juga mengecam ARAIB kerana “mengelirukan orang awam” apabila menyatakan tiada masalah dengan enjin kiri sedangkan sisa bangkai burung ditemui dalam kedua-dua enjin.

Kesatuan itu menuduh ARAIB cuba menjadikan juruterbang sebagai “kambing hitam” tanpa menyertakan asas saintifik dan teknikal yang membuktikan pesawat boleh mendarat dengan hanya satu enjin.

Menurut kenyataan kesatuan itu, nahas udara adalah insiden yang kompleks dan berpunca daripada pelbagai faktor, dan setakat ini tiada bukti konkrit bahawa kemalangan berpunca daripada kesilapan juruterbang. Mereka juga menyatakan bahawa penyiasat masih “berdiam diri mengenai tanggungjawab organisasi”.

Satu badan yang mewakili keluarga mangsa dalam satu kenyataan menyatakan terdapat beberapa frasa dalam kenyataan media yang dirancang boleh ditafsirkan seolah-olah kesimpulan akhir telah dibuat, sedangkan semua fakta berkaitan kejadian masih belum diperjelaskan sepenuhnya. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg