PARUN, Afghanistan: Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah timbunan lumpur dan batu besar selepas banjir besar melanda wilayah Nuristan di timur Afghanistan, mengorbankan sekurang-kurangnya 23 orang.

Pihak berkuasa berkata lebih 100 lagi penduduk masih hilang ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan sehari selepas banjir melanda kawasan itu pada 20 Julai.

Di bandar Parun, ibu kota wilayah Nuristan, penduduk berganding bahu bersama pasukan penyelamat mencari mangsa yang tertimbus menggunakan kayu dan tangan kerana keadaan kawasan yang sukar dilalui.

Seorang ahli farmasi, Encik Farid Gul Zaheer, 34 tahun, berkata beliau tidak pernah menyaksikan banjir sebesar itu.

“Saya tidak pernah melihat banjir yang begitu dahsyat. Keadaannya terasa seperti gempa bumi dan saya mendengar jeritan kanak-kanak serta orang ramai,” katanya kepada AFP.

Beliau turut cedera ketika cuba menyelamatkan diri dengan mendaki kawasan bukit berhampiran.

Banjir itu menghanyutkan lumpur dan bongkah batu besar yang meranapkan bangunan serta menimbus deretan kedai di Parun.

Sebuah jentolak digunakan untuk mengalihkan runtuhan, namun usaha itu terhad berikutan jumlah timbunan lumpur dan batu yang terlalu besar.

Pejabat Gabenor Nuristan memaklumkan Datuk Bandar Parun bersama beberapa kakitangan kerajaan turut dilaporkan hilang.

Pengurus Hotel Spogmai, Encik Zakirullah Zaki, 29 tahun, menyifatkan bencana itu sebagai sesuatu yang tidak pernah dibayangkan.

“Seolah-olah satu bencana besar menimpa kami. Hotel-hotel lain, pasar dan kedai musnah sepenuhnya,” katanya.

Pihak berkuasa memberi amaran jumlah korban dijangka meningkat apabila operasi mencari diteruskan di kawasan yang masih sukar diakses. - Agensi berita