LONDON: Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle, merancang kembali menetap di Britain bersama dua anak mereka selepas lebih enam tahun tinggal di Amerika Syarikat, dalam perkembangan mengejutkan yang turut membuka ruang kepada hubungan lebih rapat dengan keluarga diraja.

Duke dan Duchess of Sussex dijangka berpindah dari Amerika lewat Ogos ini dan akan menetap di sebuah kediaman persendirian di luar London yang bukan milik keluarga diraja, menurut laporan BBC.

Anak mereka, Putera Archie, tujuh tahun, dan Puteri Lilibet, lima tahun, pula telah didaftarkan untuk memulakan persekolahan di Britain pada September.

Raja Charles III dimaklumkan mengenai rancangan perpindahan itu pada 16 Ogos.

Bagaimanapun, kepulangan pasangan tersebut tidak bermakna mereka akan kembali menjalankan tugas rasmi sebagai anggota kanan keluarga diraja.

Status rasmi Putera Harry dan Meghan juga dijangka kekal tanpa perubahan dan mereka akan terus menjalani kehidupan sebagai individu persendirian.

Raja Charles dilaporkan mengalu-alukan peluang untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga Sussex dalam kapasiti peribadi sebagai sebuah keluarga.

Perkembangan itu menyusuli pertemuan Putera Harry dan Meghan bersama Raja Charles dan Permaisuri Camilla di kediaman peribadi Raja di Highgrove, Gloucestershire, pada Julai lalu.

Lawatan tersebut menjadi perkembangan penting dalam usaha memperbaiki hubungan keluarga yang tegang sejak pasangan Sussex meninggalkan tugas diraja.

Ia juga merupakan kali pertama Raja Charles bertemu Archie dan Lilibet secara bersemuka dalam tempoh lebih empat tahun.

Bagaimanapun, rancangan untuk kembali menetap di Britain difahamkan tidak dibincangkan ketika pertemuan itu dan Raja Charles hanya mengetahui mengenainya hujung minggu lalu.

Putera Harry dan Meghan meninggalkan Britain serta berundur sebagai anggota kanan keluarga diraja pada awal 2020 sebelum menetap di California pada Mac tahun sama.

Hubungan mereka dengan keluarga diraja kemudian menjadi tegang, terutama selepas beberapa wawancara, dokumentari dan penerbitan memoir Putera Harry yang mendedahkan pertelingkahan dalam keluarga.

Pasangan itu juga tidak pernah berada bersama di Britain sejak menghadiri pengebumian Ratu Elizabeth II pada 2022.

Antara isu utama yang membayangi kemungkinan mereka kembali menetap di Britain ialah keselamatan.

Putera Harry sebelum ini berkata kebimbangan terhadap keselamatan menyebabkan beliau keberatan membawa Meghan dan anak-anak mereka kembali ke negara itu.

Beliau tahun lalu kalah dalam cabaran undang-undang berhubung tahap perlindungan keselamatan polis yang diberikan kepadanya dan keluarganya ketika berada di Britain.

Tahap keselamatannya dikurangkan selepas beliau berhenti menjadi anggota kanan keluarga diraja dan berpindah ke Amerika.

Susulan laporan mengenai kepulangan pasangan itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Britain berkata keputusan mengenai perlindungan keselamatan anggota keluarga diraja dibuat Jawatankuasa Eksekutif bagi Perlindungan Kerabat Diraja dan Tokoh Awam (Ravec).

Menurutnya, sistem perlindungan keselamatan Britain dilaksanakan secara “ketat dan seimbang”.

Kepulangan Putera Harry juga berlaku menjelang Sukan Invictus untuk anggota tentera dan veteran yang cedera, yang akan diadakan di Birmingham tahun depan.

Ketua Program dan Strategi Yayasan Sukan Invictus, Encik David Wiseman, menyifatkan kepulangan Putera Harry sebelum temasya itu sebagai “berita yang sangat baik”.

“Saya sangat gembira beliau akan kembali ke negara ini. Berpindah adalah sesuatu yang memberi tekanan kepada sesiapa sahaja, jadi saya berharap semuanya berjalan lancar dan anak-anak dapat menyesuaikan diri dengan baik di sekolah,” katanya.

Menurut beliau, keputusan tersebut “mengejutkan semua orang”, tetapi kehadiran Putera Harry di Britain dijangka memberi manfaat besar kepada yayasan itu.

Bekas Setiausaha Akhbar Ratu Elizabeth II, Cik Ailsa Anderson, turut menyifatkan keputusan tersebut sebagai sesuatu yang tidak dijangka.

“Ia satu kejutan luar biasa. Ia benar-benar datang secara tiba-tiba,” katanya kepada BBC Radio 4.

Menurut Cik Anderson, perpindahan itu turut menimbulkan persoalan mengenai hubungan Putera Harry dengan abangnya, Putera William, selain aturan keselamatan keluarga Sussex dan hubungan mereka dengan media Britain.

Putera Harry dan Putera William dipercayai tidak bertemu secara bersemuka sejak pengebumian Ratu Elizabeth pada 2022.

Cik Anderson berkata lawatan Putera Harry ke Britain pada Julai mungkin turut mempengaruhi keputusannya untuk kembali, termasuk kunjungannya ke kediaman keluarga mendiang ibunya, Puteri Diana, di Northamptonshire.

Beliau berkata pengalaman itu mungkin menyebabkan Putera Harry menilai semula kehidupannya selepas enam tahun berada di luar Britain.

Menteri Pendidikan Britain, Cik Lucy Powell, pula berkata kerajaan mengalu-alukan keputusan Putera Harry dan Meghan untuk kembali.

Beliau berkata pendaftaran Archie dan Lilibet untuk bersekolah di Britain merupakan satu “pengiktirafan besar” terhadap sistem pendidikan negara itu, walaupun kedua-duanya dijangka tidak memasuki sekolah pemerintah tempatan.

Kepulangan pasangan Sussex itu berlaku ketika hubungan mereka dengan media Britain juga kekal rumit.

Putera Harry pada Julai kalah dalam kes privasi di Mahkamah Tinggi terhadap Associated Newspapers, penerbit Daily Mail dan Mail on Sunday.

Beliau sebelum ini berulang kali mengkritik campur tangan media dalam kehidupan keluarganya dan mendakwa tekanan akhbar menyebabkan kehidupan isterinya menjadi sengsara.

Walaupun kepulangan mereka tidak membawa sebarang perubahan kepada peranan rasmi dalam keluarga diraja, keputusan menetap semula di Britain membuka lembaran baru bagi pasangan Sussex, khususnya hubungan mereka dengan Raja Charles serta anggota keluarga diraja yang lain.