LONDON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bertemu Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, pada 18 September bagi mengadakan rundingan yang bertujuan menumpukan lawatan negara kali keduanya yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada isu global, dan bukannya masalah politik domestik.
Sehari sebelumnya, Encik Trump diraikan dengan penuh adat istiadat berarak menaiki kereta kuda bersama Raja Charles dan menghadiri jamuan negara di Istana Windsor. Namun, intipati lawatan itu hadir pada 18 September apabila beliau dan Encik Starmer mengumumkan pakej pelaburan Amerika ke Britain bernilai 150 bilion pound ($205 billion).
Pelaburan yang merangkumi sektor teknologi, tenaga dan sains hayat itu disifatkan sebagai usaha memperbaharui “hubungan istimewa” antara kedua-dua negara. Seorang pegawai kanan berkata Encik Starmer bekerja keras membina semula hubungan rapat dengan Washington sejak Encik Trump kembali berkuasa pada Januari lalu.
“Bagi Starmer, beliau sedang berdepan tekanan politik dalam negeri dan memerlukan naratif antarabangsa yang positif. Untuk Trump, ini peluang menunjukkan nilai hubungan rapat dengannya. Kedua-duanya tahu banyak yang boleh diperoleh,” kata Cik Evie Aspinall, Pengarah Kumpulan Dasar Luar Britain.
Walaupun fokus pada pelaburan dan kerjasama antarabangsa, pertemuan ini tidak terlepas daripada isu rumit. Wartawan dijangka membangkitkan skandal mendiang Jeffrey Epstein, selepas Encik Starmer terpaksa memecat Encik Peter Mandelson sebagai duta ke Amerika minggu lalu berhubung kaitannya dengan tokoh kewangan itu.
Hubungan Encik Trump dengan Epstein juga kembali diperhatikan. Bagi Encik Starmer, sebarang jawapan salah boleh mengganggu imejnya, justeru beliau berharap Encik Trump kekal menumpukan perhatian kepada kejayaan ekonomi bersama.
Encik Trump sendiri menyifatkan lawatan itu sebagai “salah satu penghormatan tertinggi dalam hidup saya,” ketika berucap di Istana Windsor. Encik Starmer pula dilihat mahu memastikan sentimen positif itu diteruskan, dan mengelakkan perbincangan mengenai isu sensitif seperti undang-undang keselamatan dalam talian Britain dan kedudukan negara itu terhadap Israel.
Antara pencapaian utama lawatan ialah perjanjian teknologi baharu melibatkan gergasi seperti Microsoft, Nvidia, Google dan OpenAI, dengan komitmen pelaburan bernilai 31 bilion pound dalam tempoh beberapa tahun. Pelaburan ini merangkumi bidang kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan tenaga nuklear awam.
Kerajaan Britain turut mengumumkan Google akan membina pusat data di Waltham Cross, Hertfordshire. Walaupun projek itu dijangka memberi manfaat ekonomi, sesetengah penduduk tempatan menyuarakan kebimbangan. “Pembinaan ini tidak dapat dielakkan, tetapi ia akan menjejaskan tanah lembap dan mendatangkan masalah sama berulang kali,” kata Philip Threlfall, penduduk Hitchin.
Bagaimanapun, Britain dilihat gagal mendapat kelonggaran lanjut dalam tarif keluli dan aluminium yang dikenakan Amerika. Namun, Encik Starmer tetap menekankan bahawa Britain kini semakin menjadi destinasi utama pelaburan Amerika dalam sektor kewangan, teknologi dan tenaga.
Selain ekonomi, Encik Starmer menjadikan isu luar negara sebagai agenda utama. Pada 18 September, beliau dijadual menjadi hos kepada Encik Trump di kediaman rasminya di Chequers, dengan matlamat meyakinkan presiden Amerika agar mengambil tindakan lebih tegas terhadap Russia berhubung pencerobohan ke atas Ukraine.
Encik Trump baru-baru ini menyifatkan Russia sebagai “penceroboh”, sesuatu yang disambut baik di Eropah. Namun beliau menuntut negara-negara Eropah menghentikan sepenuhnya pembelian minyak Russia sebelum bersetuju mengenakan sekatan lebih berat ke atas Moscow.
Mengenai Israel, Encik Starmer berdepan tekanan untuk membangkitkan isu serangan di Gaza. Encik Trump sendiri sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati terhadap serangan udara ke atas pemimpin Hamas di Qatar, tetapi secara keseluruhan beliau masih menyokong Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Encik Trump turut mengkritik negara-negara Eropah yang mengiktiraf negara Palestin, dengan menyifatkannya sebagai “ganjaran kepada Hamas”, walaupun beliau berkata tidak kisah jika Encik Starmer “mahu mengambil pendirian sendiri”.
“Dua isu geopolitik ini Ukraine dan Gaza dijangka menjadi titik geseran dalam perbincangan. Pastinya akan ada momen yang sukar,” kata Cik Aspinall.
Di sebalik sambutan rasmi, ribuan penunjuk perasaan turun ke jalan raya di pusat bandar London pada 17 September membantah lawatan negara kali kedua Encik Trump. Mereka membawa sepanduk mengkritik dasar Amerika mengenai imigresen, Gaza dan perubahan iklim.
Perarakan yang diiringi paluan gendang dan tiupan trompet bergerak dari Portland Place ke Parliament Square. Polis Metropolitan menganggarkan sehingga 5,000 orang menyertai protes itu.
Seorang warga Amerika, Cik Amanda, yang datang dari Los Angeles, berkata beliau hadir ke London semata-mata untuk menyertai demonstrasi. “Saya rasa keadaan sekarang sangat kacau-bilau. Kita tidak mempunyai kepimpinan yang baik dan saya bimbang dengan hala tuju Amerika dan dunia,” katanya.
Polis sebelum itu mengerahkan lebih 1,600 anggota untuk mengawal demonstrasi, dengan syarat perhimpunan mesti tamat sebelum jam 7 malam waktu tempatan. Pada malam 16 September, kumpulan “Stop Trump Coalition” turut mengadakan protes kecil di Windsor dengan kehadiran hampir 100 orang. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg