LONDON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tiba di Britain pada 16 September untuk lawatan negara kedua dengan disambut hamparan permaidani merah diraja.
“Banyak perkara di sini menghangatkan hati saya, Ia adalah tempat yang sangat istimewa,” kata pemimpin Republikan berusia 79 tahun itu kepada pemberita sejurus tiba bersama isterinya, Cik Melania Trump.
Raja Charles III akan menjadi tuan rumah kepada Encik Trump di Istana Windsor untuk jamuan mewah sebelum bertemu Perdana Menteri, Encik Keir Starmer, di kediaman rasminya pada 18 September.
Sebagai tanda kemegahan, seorang pengawal kehormat menyambut Encik Trump dan isterinya ketika mereka melangkah keluar dari Air Force One di Lapangan Terbang Stansted dekat London.
Encik Trump kemudian menyatakan kekagumannya terhadap Raja Charles.
“Beliau kawan saya sejak sekian lama, dan semua orang menghormatinya, dan mereka menyayanginya,” katanya ketika tiba dengan helikopter di Winfield House, kediaman duta Amerika di London.
Lawatan itu dilakukan sepenuhnya di belakang pintu tertutup dan keselamatan yang ketat.
Satu demonstrasi besar anti-Trump telah diadakan di London manakala penunjuk perasaan menayangkan imej Encik Trump dan pesalah seks, Jeffrey Epstein, di menara Istana Windsor pada lewat 16 September.
Bayangan skandal Epstein telah menyelubungi Encik Trump selama beberapa minggu selepas pentadbirannya enggan mengeluarkan fail mengenai isu itu.
Ia turut melibatkan Encik Starmer, yang memecat dutanya ke Washington, Encik Peter Mandelson, pada malam lawatan itu melalui e-mel kepada Epstein.
Bagaimanapun, kerajaan Encik Starmer bergantung kepada skala besar lawatan negara Encik Trump itu di sebalik pendiriannya yang tidak menentu dalam soal tarif ke isu perang Ukraine dan Gaza.
Pada 17 September di istana Windsor, Encik Trump akan diberi penghormatan dengan menaiki kereta upacara dan acara terbang lalu oleh jet pejuang Britain dan Amerika dalam apa yang pegawai sifatkan pertunjukan ketenteraan terbesar untuk lawatan pemimpin negara.
Dalam pertemuan dengan Encik Starmer pada 18 September, mereka dijangka memberi tumpuan mengenai perdagangan serta peperangan di Ukraine dan Gaza.
Lawatan itu bertepatan dengan pengumuman beberapa pelaburan di Britain – yang terkini ialah ikrar oleh Microsoft untuk membelanjakan AS$30 bilion (S$38.3 bilion) dalam tempoh empat tahun.
Menurut Downing Street, lawatan Encik Trump akan menyaksikan “persahabatan yang tidak dapat diputuskan” antara kedua-dua negara dan “membawanya ke tahap baru”. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg