Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selepas serang Houthi, Israel tembak jatuh peluru berpandu dari Yaman

Jul 22, 2024 | 3:44 PM
Kepulan asap dari tapak serangan udara Israel di bandar pelabuhan Hodeidah, Yaman dalam gambar yang diedarkan pada 20 Julai.
Kepulan asap dari tapak serangan udara Israel di bandar pelabuhan Hodeidah, Yaman dalam gambar yang diedarkan pada 20 Julai. - Foto REUTERS

TEL AVIV: Israel berkata ia menembak jatuh peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman pada 21 Julai, sedang pihak Houthi pula mendakwa telah menembak beberapa peluru berpandu ke bandar Eilat, Israel.

Ini selepas serangan awam pertama Israel terhadap kumpulan yang bersekutu dengan Iran dilancarkan sehari sebelumnya.

Houthi melancarkan peluru berpandu dan dron ke Israel, dan mengganggu laluan perdagangan sejagat yang melalui Laut Merah, sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas Gaza.

Tindakan itu menjejas kestabilan Timur Tengah, ketika perang di kawasan Palestin berlanjutan selepas sembilan bulan.

Israel berkata Houthi telah melancarkan 200 serangan terhadapnya sejak perang Gaza bermula, namun kebanyakan serangan itu dipintas dan tidak membawa maut.

Tetapi serangan dron Houthi, pada 19 Julai yang melanda Tel Aviv dan membunuh seorang, mendorong Israel untuk mengumumkan serangan pertamanya terhadap kumpulan itu pada 20 Julai.

Serangan pesawat perang Israel dilancarkan berhampiran pelabuhan Hodeidah di Yaman, dan membunuh enam orang, kata pegawai perubatan tempatan.

Pergerakan Houthi berkata pada 21 Julai, ia akan terus menyerang Israel sebagai tindak balas.

Jurucakap Houthi, Encik Mohammed Abdulsalam, memberitahu stesen televisyen, Al Jazeera Qatar:

“Tidak akan ada garis merah... semua institusi sensitif... akan menjadi sasaran kami.”

Tentera Israel berkata, sistem pertahanan peluru berpandu Arrow 3 telah menembak jatuh peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman pada 21 Julai, sebelum ia merentasi ke wilayah Israel.

Sebelum pemintasan, siren serbuan udara berbunyi di bandar pelabuhan Laut Merah Eilat, menyebabkan penduduk berlari mencari perlindungan.

Serangan pada 21 Julai memanjangkan peningkatan keganasan antara Israel dengan Houthi, yang bermula dengan serangan dron Houthi ke atas pusat Tel Aviv pada 19 Julai.

Seorang lelaki terbunuh dan empat yang lagi cedera, kata pegawai.

Arab Saudi, menggesa puak Houthi ‘menahan diri’ daripada bertindak keterlaluan susulan serangan Israel ke atas Yaman, yang mengorbankan enam orang.

Menurut Kementerian Luar Arab Saudi, serangan Israel ke atas bandar Hodeida yang dikuasai Houthi, memburukkan lagi ketegangan di rantau itu.

“Ia secara langsung menjejas usaha berterusan untuk menamatkan peperangan di Gaza.

“Sehubungan itu, semua pihak digesa agar ‘menahan diri’ supaya pertempuran dapat dielakkan di wilayah berkenaan dan penduduk tidak terancam akibat bahaya perang,” katanya dalam kenyataan.

Sejak November 2023, Houthi menyasarkan hampir 90 kapal yang menggunakan laluan perairan itu sebagai tanda perpaduan mereka dengan rakyat Palestin dalam peperangan di Gaza. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg