Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semak semula kurikulum yang diajar di sekolah agama, gesa Sultan Brunei

Sep 28, 2023 | 1:40 PM
PERLU RELEVAN: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, yang melawat Kementerian Ehwal Agama, menggesa agar kurikulum di sekolah-sekolah agama disemak semula.
PERLU RELEVAN: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, yang melawat Kementerian Ehwal Agama, menggesa agar kurikulum di sekolah-sekolah agama disemak semula. - Foto BORNEO BULLETIN

BANDAR SERI BEGAWAN: Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah menekankan terdapat keperluan mengkaji semula kurikulum yang diajar di sekolah-sekolah agama.

Langkah juga perlu diambil bagi mengukuhkan pengajaran psikologi dalam kalangan guru di sekolah-sekolah agama di negara tersebut.

Beliau menyatakan demikian dalam lawatan tidak berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei pada Rabu

Borneo Bulletin memetik Sultan Brunei sebagai berkata bahawa adalah wajib bagi pelajar untuk menerima pendidikan agama dari Darjah 1 hingga 6.

Beliau menekankan bahawa penyampaian pendidikan harus merangkumi pelbagai kaedah pendidikan, pendekatan pengajaran, dan mata pelajaran penting untuk pelajar semua peringkat umur.

Pengajaran mata pelajaran agama khususnya kepada pelajar yang lebih muda, memerlukan pemahaman psikologi yang mendalam bagi memastikan pembelajaran yang berkesan, ujar beliau.

Dalam lawatannya itu, Sultan Brunei juga bertanya sama ada guru-guru di sekolah agama dilengkapi dengan kemahiran psikologi yang diperlukan untuk mengajar dan menyatakan bahawa mata pelajaran agama boleh mencabar dan nisbah antara guru dan pelajar memerlukan pendekatan yang seimbang, tidak terlalu ketat atau terlalu lembut.

“Ada ibu bapa yang merungut kerana anak mereka tidak berpuas hati di sekolah agama kerana ada guru yang terlalu tegas dan memaksa pelajar belajar. Jika benar, faktor psikologi guru abaikan,” tambah beliau.

Sultan Hassanal turut menzahirkan kebimbangan terhadap mata pelajaran yang diajar di sekolah-sekolah agama dan mencadangkan perubahan serta mengesyorkan menukar nama mata pelajaran Tarikh kepada Tarikh Islam dan menjadikannya mata pelajaran wajib.

Di samping itu, beliau menggesa mata pelajaran Tasawuf dikaji semula, kerana ia didapati sukar untuk kanak-kanak berumur 10 hingga 13 tahun menggarapnya. Lantas nama subjek tersebut perlu ditukar kepada Akhlak agar para pelajar lebih mudah memahaminya.

Beliau yang turut mempersoalkan istilah tertentu dalam buku Darjah 4, 5, dan 6, seperti Maksiat Batin dan Taat Batin, mencadangkan istilah ini lebih relevan kepada pengamal Tasawuf atau Tarekat dan mungkin tidak sesuai untuk pelajar sekolah.

Mengenai subjek Faraidh (agihan harta kepada waris) yang diajar di kelas Darjah 6, beliau mendapatinya terlalu mencabar untuk kanak-kanak..

“Dan jika kita paksa mereka belajar, konflik akan timbul seperti kanak-kanak tidak suka subjek atau tidak suka guru dan lebih teruk, tidak mahu pergi ke sekolah semata-mata untuk mengelak subjek ini. Ini bukan andaian tetapi realiti di mana ramai ibu bapa telah meluahkan rungutan mereka. Justeru adalah wajar kementerian mengkaji perkara ini,” ujar beliau lagi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg