Topik diikuti
Pergi ke BHkuSembur cuka ke arah anggota Kongres AS: Lelaki dijel 14 bulan
Sembur cuka ke arah anggota Kongres AS: Lelaki dijel 14 bulan
MINNEAPOLIS: Seorang lelaki yang menyembur cuka ke arah anggota Kongres Amerika Syarikat, Cik Ilhan Omar, ketika satu pertemuan awam di Minneapolis dijatuhi hukuman penjara 14 bulan, dalam kes yang disifatkan pendakwa raya sebagai sebahagian daripada peningkatan keganasan bermotifkan politik di negara itu.
Anthony James Kazmierczak, 56 tahun, dijatuhi hukuman oleh Hakim Mahkamah Daerah Amerika, Cik Joan Ericksen, pada 17 September selepas mengaku bersalah pada Mei atas satu pertuduhan menyerang seorang pegawai persekutuan.
Dia mengakui merancang serangan itu kerana tidak bersetuju dengan pandangan politik progresif Cik Omar, anggota Parti Demokrat yang mewakili Minnesota di Dewan Perwakilan Amerika.
Selain hukuman penjara, Kazmierczak dikenakan tiga tahun pengawasan selepas dibebaskan dan dilarang menghubungi Cik Omar.
Serangan berlaku pada 27 Januari ketika Cik Omar berucap dalam satu pertemuan awam di Minneapolis mengenai tindakan ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika (ICE).
Ketika itu, operasi imigresen pemerintahan Presiden Donald Trump di Minnesota mencetuskan ketegangan dan bantahan.
Menurut dokumen mahkamah, Kazmierczak yang duduk di barisan hadapan tiba-tiba bangun dan menghampiri Cik Omar ketika beliau sedang berucap.
Dia kemudian menggunakan alat suntikan yang mengandungi cuka ke pakaian dan kulit Cik Omar.
Rakaman video kejadian yang tersebar luas menunjukkan Kazmierczak melaungkan supaya Cik Omar meletak jawatan sebelum dia ditahan oleh pengawal keselamatan.
Cik Omar tidak mengalami kecederaan dan meneruskan ucapannya selepas kejadian itu.
Analisis makmal kemudian mengesahkan cecair dalam suntikan tersebut mengandungi asid asetik, komponen utama dalam cuka.
Semasa mengaku bersalah pada Mei, Kazmierczak memberitahu mahkamah bahawa serangan itu dirancang dan dilakukan kerana dia tidak bersetuju dengan pendirian politik Cik Omar.
Pendakwa raya persekutuan menyifatkan perbuatan itu sebagai kesalahan serius, terutama ketika Amerika berdepan kebimbangan mengenai peningkatan ancaman dan keganasan berkaitan perbezaan politik.
Pendakwa Raya Amerika bagi Minnesota, Encik Daniel Rosen, sebelum ini menyifatkan serangan tersebut sebagai sebahagian daripada trend berbahaya apabila kebencian politik diterjemahkan kepada perbuatan jenayah.
Peguam Kazmierczak, Encik John Fossum, berkata anak guamnya memohon maaf kepada Cik Omar semasa prosiding hukuman.
Pihak pembelaan sebelum ini meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan.
“Bukan itu yang kami minta, tetapi ia juga bukan hukuman yang keterlaluan,” kata Encik Fossum mengenai keputusan mahkamah.
Cik Omar pula menyambut baik keputusan itu dan mengucapkan terima kasih kepada pendakwa raya serta hakim kerana memastikan Kazmierczak bertanggungjawab atas tindakannya.
Beliau menegaskan bahawa keganasan atau ancaman bermotifkan politik tidak boleh diterima.
Cik Omar, yang pertama kali dipilih ke Kongres pada 2018, merupakan antara anggota progresif Parti Demokrat yang paling lantang dan sering mengkritik dasar Encik Trump.
Beliau juga beberapa kali menjadi sasaran kecaman Encik Trump, termasuk berhubung pandangannya mengenai imigresen dan dasar luar Amerika.
Kazmierczak dilaporkan sudah bertahun-tahun memuat naik kenyataan di media sosial yang mengkritik Parti Demokrat dan menyatakan sokongan kepada Encik Trump serta beberapa tokoh konservatif.
Sebelum menghadiri pertemuan awam pada Januari, dia juga dilaporkan memberitahu seorang jiran bahawa dia mungkin ditangkap dalam acara yang dihadiri Cik Omar.
Kes Kazmierczak belum selesai sepenuhnya.
Dia masih menghadapi pertuduhan berasingan di mahkamah negeri Minnesota, termasuk satu pertuduhan jenayah berat kerana membuat ancaman keganasan dan satu pertuduhan serangan ringan.
Pendakwa raya Hennepin County berkata mereka akan meneliti keputusan kes persekutuan itu, berbincang dengan mangsa dan kemudian menentukan sama ada mahu meneruskan pendakwaan di peringkat negeri. – Agensi berita.
