Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Senat AS hampir capai persefahaman akhiri penutupan pemerintah 40 hari

Nov 10, 2025 | 12:23 PM
reagan airport, us shutdown
Orang ramai berbaris pada 9 November di laluan keselamatan Lapangan Terbang Nasional Reagan di Arlington, Virginia, pada hari ke-40 penutupan pemerintah Amerika Syarikat. Ratusan penerbangan di seluruh Amerika dibatalkan pada 7 November selepas pentadbiran Encik Trump mengarahkan pengurangan operasi bagi mengurangkan tekanan terhadap pengawal trafik udara yang bekerja tanpa gaji susulan kebuntuan Kongres dalam meluluskan bajet negara. - Foto AFP

WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat dijangka meluluskan langkah penting pada malam 9 November bagi membuka semula pemerintah persekutuan yang telah ditutup selama 40 hari, menjejaskan jutaan rakyat termasuk pekerja pemerintah, penerima bantuan makanan dan sektor penerbangan.

Langkah itu akan mengemukakan rang undang-undang gabungan yang menggabungkan peruntukan sementara bagi membiayai pemerintah hingga Januari 2026, bersama tiga rang undang-undang perbelanjaan penuh untuk sektor pertanian, pembinaan ketenteraan dan agensi legislatif.

Menurut sumber rapat rundingan, sekurang-kurangnya lapan senator Demokrat dijangka menyokong langkah tersebut – cukup untuk melepasi majoriti dalam Senat yang dikawal Republikan.

Namun, pakej yang dipinda itu perlu diluluskan semula oleh Dewan Perwakilan sebelum dihantar kepada Presiden Donald Trump untuk ditandatangani.

“Nampaknya kita semakin hampir menamatkan penutupan ini,” kata Encik Trump kepada wartawan di Rumah Putih, menandakan kesediaan pentadbirannya untuk menerima kompromi dwipartisan.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Republikan bersetuju memberi ruang undian pada Disember untuk melanjutkan subsidi Akta Penjagaan Mampu (ACA), tuntutan utama Demokrat sepanjang krisis pembiayaan ini.

“Undang-undang ini akan melindungi pekerja pemerintah daripada pemecatan tidak berasas, mengembalikan semula mereka yang diberhentikan secara salah semasa penutupan, dan memastikan bayaran balik diberikan seperti yang dijamin oleh undang-undang 2019,” kata Senator Tim Kaine dari Virginia, seorang Demokrat yang kini menyokong perjanjian itu.

Pemimpin Minoriti Senat, Encik Chuck Schumer, menolak kompromi itu, menegaskan beliau akan mengundi menentang kerana rang undang-undang tersebut gagal menangani isu utama iaitu kesinambungan subsidi kesihatan untuk rakyat berpendapatan sederhana.

“Saya tetap dengan pendirian saya, ini bukan kompromi yang adil,” kata Encik Schumer ringkas selepas mesyuarat tertutup partinya.

Di Dewan Perwakilan, Pemimpin Demokrat Encik Hakeem Jeffries juga menyatakan bantahan keras.

“Donald Trump dan parti Republikan harus bertanggungjawab terhadap kekacauan yang mereka cipta. Rakyat Amerika tahu siapa puncanya,” katanya.

Penutupan selama lebih sebulan itu telah melumpuhkan operasi pemerintah menyebabkan ratusan ribu pekerja digantung tugas, bantuan makanan tertangguh dan gangguan besar dalam perjalanan udara menjelang musim cuti Thanksgiving pada akhir November.

Senator Thom Tillis, Republikan dari North Carolina, berkata tekanan awam kini memaksa kedua-dua pihak mencapai titik temu.

“Suhu politik mulai reda, tekanan meningkat, dan akhirnya kita lihat tanda-tanda persetujuan muncul,” katanya kepada media.

Penasihat Ekonomi Rumah Putih Encik Kevin Hassett memberi amaran bahawa sekiranya pemerintah kekal ditutup lebih lama, pertumbuhan ekonomi suku keempat boleh menjadi negatif.

“Sekiranya penerbangan belum pulih menjelang cuti Thanksgiving pada 27 November, kita bakal menyaksikan impak ekonomi yang lebih buruk,” katanya dalam program Face The Nation.

Teks perjanjian baru itu merupakan hasil rundingan dwipartisan antara senator sederhana dari kedua-dua parti.

Pakej itu merangkumi peruntukan sementara hingga Januari 2026, disertai tiga rang undang-undang perbelanjaan penuh untuk sektor penting tanpa melaksanakan pemotongan drastik seperti yang dicadangkan oleh Encik Trump sebelum ini.

Namun, kompromi ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan sayap progresif Demokrat, termasuk Senator Bernie Sanders, yang menyifatkannya sebagai “kegagalan politik dan moral” jika parti itu mengalah dalam isu kesihatan awam.

“Jika kami berundur daripada tuntutan melindungi rakyat daripada kehilangan insurans kesihatan, itu akan menjadi bencana,” katanya tegas.

Senator Elissa Slotkin dari Michigan turut kecewa dengan hasil rundingan.

“Saya kata sejak awal, kita perlu hasilkan sesuatu yang konkrit untuk penjagaan kesihatan. Tapi sekarang, ia sukar untuk dilihat dalam perjanjian ini,” ujarnya ketika menuju ke mesyuarat parti.

Ketika rundingan berlangsung di Capitol Hill, Encik Trump sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk menghapuskan subsidi ACA dan menggantikannya dengan bayaran langsung kepada individu.

Dalam hantaran di Truth Social, beliau menyifatkan subsidi tersebut sebagai “keuntungan besar bagi syarikat insurans dan bencana bagi rakyat Amerika”.

“Saya sedia bekerjasama dengan kedua-dua parti sebaik sahaja pemerintah dibuka semula,” tulis Encik Trump.

Namun, Setiausaha Perbendaharaan Encik Scott Bessent dan Senator Lindsey Graham, sekutu kuat Encik Trump, berkata cadangan itu tidak akan dikemukakan sebelum undang-undang pembiayaan diluluskan.

“Kami tidak akan berunding dengan Demokrat selagi pemerintah masih ditutup,” tegas Encik Bessent.

Rang undang-undang itu turut meliputi pembayaran balik kepada pekerja pemerintah yang diberhentikan sementara serta pembiayaan setahun bagi program bantuan makanan (Snap).

“Kita sedang melihat momentum positif,” kata seorang pegawai kanan Republikan.

“Ia bukan perjanjian sempurna, tetapi ia perlu untuk menamatkan krisis yang memberi kesan kepada seluruh negara,” tambah beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg