Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Senat AS lulus langkah awal akhiri penutupan pemerintah 40 hari

Nov 10, 2025 | 2:57 PM
US government shutdown
Bangunan Kongres Amerika Syarikat pada hari ke-40 penutupan pemerintah di Washington, D.C. Senat mengadakan sesi khas pada 9 November dalam usaha menamatkan penutupan pemerintah tersebut. - Foto AFP

WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat pada 9 November 2025 meluluskan langkah penting bagi membuka semula pemerintah persekutuan yang telah ditutup selama 40 hari.

Ia merupakan satu penutupan terpanjang dalam sejarah negara itu yang telah menjejas pekerja pemerintah, menangguhkan bantuan makanan, serta mengganggu perjalanan udara di seluruh negara.

Dalam undian prosedur yang diadakan lewat malam 9 November, seramai 60 senator menyokong dan 40 menentang rang undang-undang pembiayaan pemerintah – jumlah minimum yang diperlukan untuk melepasi taktik lengah undian di Senat.

Rang undang-undang tersebut akan membiayai operasi pemerintah sehingga 30 Januari 2026, termasuk peruntukan penuh bagi tiga sektor utama: Pertanian, pembinaan ketenteraan, dan agensi legislatif.

Ia turut menampung perkhidmatan sokongan Kongres, program bantuan makanan Snap serta operasi Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dan manfaat untuk veteran.

“Ia keputusan yang baik malam ini. Kami berharap esok (10 November) kita boleh meneruskan ke undian seterusnya,” kata Ketua Majoriti Senat, Encik John Thune, kepada wartawan selepas sidang Senat ditangguhkan.

“Sudah tentu, ia memerlukan kerjasama dan persetujuan daripada kedua-dua pihak,” tambah beliau.

Jika diluluskan sepenuhnya oleh Senat, pakej itu masih perlu diluluskan Dewan Perwakilan sebelum dihantar kepada Presiden Donald Trump untuk ditandatangani, proses yang dijangka mengambil masa beberapa hari.

Perjanjian itu dicapai hasil rundingan antara kumpulan Demokrat sederhana dengan Republikan, di mana kedua-dua pihak bersetuju supaya undi khas diadakan pada Disember bagi membincangkan lanjutan subsidi kesihatan di bawah Akta Penjagaan Mampu (ACA).

“Kita semakin hampir dengan penamat penutupan ini,” kata Presiden Trump kepada wartawan di Rumah Putih sebelum undian berlangsung.

Rang undang-undang tersebut turut melarang mana-mana agensi persekutuan memecat pekerja sehingga 30 Januari, suatu kemenangan besar bagi kesatuan pekerja pemerintah yang menentang langkah pentadbiran Trump untuk mengecilkan saiz tenaga kerja persekutuan.

Rekod rasmi menunjukkan sekitar 2.2 juta pekerja awam berkhidmat dalam pemerintah persekutuan pada awal penggal kedua Encik Trump, dan sekurang-kurangnya 300,000 dijangka meninggalkan perkhidmatan menjelang akhir 2025 akibat usaha pengurangan tersebut.

Selain itu, undang-undang baru itu akan memastikan bayaran gaji tertunggak dikembalikan kepada semua pekerja pemerintah termasuk anggota tentera, pegawai kawalan sempadan dan pengawal trafik udara.

Rundingan yang membawa kepada tolak ansur itu diketuai oleh Senator Cik Maggie Hassan dan Cik Jeanne Shaheen, dari New Hampshire, serta Senator Encik Angus King, calon bebas dari Maine.

“Selama lebih sebulan, saya bertegas bahawa keutamaan saya adalah membuka semula kerajaan dan melanjutkan kredit cukai premium ACA.

“Inilah jalan terbaik untuk mencapai kedua-duanya,” tulis Cik Shaheen di wadah X.

Namun, tidak semua Demokrat bersetuju.

Ketua Minoriti Senat, Encik Chuck Schumer, mengundi menentang rang undang-undang tersebut, sambil menyatakan ia gagal menjamin perlindungan terhadap subsidi kesihatan untuk rakyat berpendapatan rendah yang dijangka tamat pada akhir 2025.

Di Dewan Perwakilan, Ahli Kongres Encik Ro Khanna mengkritik keras Encik Schumer.

“Senator Schumer sudah tidak lagi berkesan dan perlu digantikan. Jika beliau gagal mempertahankan rakyat daripada kenaikan premium insurans kesihatan, untuk apa beliau berjuang?” tulisnya di X.

Penutupan pemerintah yang bermula pada 1 Oktober telah menyebabkan ratusan ribu pekerja pemerintah digantung kerja, taman awam ditutup, dan bantuan makanan tertangguh.

Kekurangan pengawal trafik udara turut mencetuskan ratusan pembatalan penerbangan menjelang musim cuti Thanksgiving pada hujung November.

“Bahang politik mula menurun, tekanan meningkat, dan akhirnya nampak tanda-tanda kemajuan,” kata Senator Encik Thom Tillis dari Carolina Utara, menyamakan keadaan semasa dengan “tekanan atmosfera yang akhirnya menghasilkan perubahan”.

Penasihat Ekonomi Rumah Putih, Encik Kevin Hassett, memberi amaran bahawa jika penutupan berlarutan, ekonomi negara boleh memasuki pertumbuhan negatif menjelang suku keempat 2025.

“Jika perjalanan udara tidak kembali normal menjelang 27 November, kesannya terhadap ekonomi akan menjadi lebih besar,” katanya dalam rancangan Face The Nation, di CBS.

Di tengah-tengah usaha membuka semula pemerintah, Encik Trump kembali menyerang subsidi kesihatan ACA, dengan menyarankan agar ia digantikan dengan bayaran terus kepada individu.

Dalam kenyataan di Truth Social, beliau menyifatkan subsidi itu sebagai “keuntungan besar kepada syarikat insurans dan bencana kepada rakyat Amerika”.

Encik Trump menegaskan beliau bersedia bekerjasama dengan kedua-dua parti selepas pemerintah dibuka semula, tetapi menolak sebarang rundingan sebelum itu.

Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, mengesahkan pentadbiran tidak akan membawa sebarang cadangan baru sebelum bajet pemerintah diluluskan.

Sekiranya rang undang-undang ini berjaya diluluskan sepenuhnya minggu ini, pemerintah Amerika dijangka dibuka semula menjelang pertengahan November, memberikan kelegaan kepada jutaan rakyat yang terjejas dan menandakan kejayaan sementara dalam tolak ansur politik antara Demokrat dengan Republikan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg