Topik diikuti
Pergi ke BHkuSepanyol isytihar darurat, lebih 10,000 dipindahkan akibat kebakaran hutan
Sepanyol isytihar darurat, lebih 10,000 dipindahkan akibat kebakaran hutan
Sepanyol isytihar darurat, lebih 10,000 dipindahkan akibat kebakaran hutan
MADRID: Kerajaan Sepanyol mengisytiharkan darurat kebangsaan lewat 23 Julai selepas beberapa kebakaran hutan yang berlaku serentak mengancam kawasan berhampiran Madrid dan wilayah jiran Avila, sekali gus memaksa lebih 10,000 penduduk dipindahkan.
Kementerian Dalam Negeri Sepanyol berkata, keputusan itu dibuat susulan kebakaran yang berlaku di beberapa lokasi pada masa sama, selain keadaan cuaca yang tidak mengizinkan serta keperluan menggerakkan sumber yang besar daripada pelbagai agensi kerajaan.
Menurut kementerian itu, keadaan berkenaan menjadikan operasi memadam kebakaran dan perlindungan awam jauh lebih rumit, sekali gus memerlukan penyelarasan di peringkat kebangsaan.
Kerajaan wilayah Madrid sebelum itu memohon bantuan daripada kerajaan pusat selepas menyifatkan situasi yang dihadapi sebagai “amat serius”.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa kebakaran aktif di Villa del Prado, San Martin de Valdeiglesias dan Almorox di wilayah Castile-La Mancha berpotensi merebak melepasi kemampuan pasukan bomba untuk mengawalnya.
Pada masa sama, kebakaran di Burgohondo di wilayah Avila dijangka boleh merebak ke kawasan Madrid dalam tempoh beberapa jam berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Kerajaan wilayah Madrid memaklumkan lebih 10,000 penduduk dipindahkan dari Villa del Prado, San Martin de Valdeiglesias, Pelayos de la Presa dan Aldea del Fresno sebagai langkah berjaga-jaga.
Mengikut Undang-Undang Sistem Perlindungan Awam Kebangsaan Sepanyol, pengisytiharan darurat itu meletakkan operasi di bawah kuasa langsung Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab menyelaras semua usaha tindak balas.
Pihak berkuasa berkata, ini adalah kali pertama darurat kebangsaan diisytiharkan di negara itu khusus akibat kebakaran hutan.
Bagi mengawal keadaan, lebih 270 anggota kecemasan dan 40 unit darat telah digerakkan ke kawasan terjejas, dibantu beberapa kontinjen Unit Kecemasan Tentera (UME).
Sepanyol dan sebahagian besar Eropah selatan kini berdepan musim kebakaran hutan yang semakin buruk, yang menurut saintis berkait rapat dengan perubahan iklim.
Pakar menjelaskan hujan lebat luar biasa pada musim bunga menyebabkan pertumbuhan tumbuhan yang subur, namun tumbuhan itu kemudiannya mengering akibat gelombang haba melampau pada musim panas, sekali gus menjadi bahan bakar yang mempercepatkan penyebaran api.
Sehingga kini, lebih 100,000 hektar kawasan di Sepanyol telah musnah dijilat api tahun ini, hampir menyamai purata keluasan kebakaran tahunan negara itu sepanjang sedekad lalu.
Seramai 13 orang dilaporkan terbunuh, menjadikan musim kebakaran hutan 2026 antara yang paling buruk dan paling banyak meragut nyawa dalam beberapa dekad kebelakangan ini. – REUTERS