Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga KL terjejas banjir kilat, tanah runtuh kembali pulih

Tanah runtuh di Taman Melawati dibaiki; 3,200 lagi lokasi berisiko tanah runtuh di M’sia
Oct 16, 2024 | 6:49 PM
Tanah runtuh setinggi 30 meter di lereng bukit berhampiran kawasan perumahan di Jalan E6, Taman Melawati, Ulu Kelang, Selangor,
Tanah runtuh setinggi 30 meter di lereng bukit berhampiran kawasan perumahan di Jalan E6, Taman Melawati, Ulu Kelang, Selangor, - Foto BERNAMA

Banjir kilat yang menyebabkan Lembah Klang huru-hara pada pagi 15 Oktober dengan ribuan warga terperangkap dan kenderaan terkandas di 13 kawasan yang dilimpahi banjir, sudah kembali pulih.

Namun, dengan ramalan cuaca yang kerap hujan dan ribut petir memasuki peralihan Monsun Timur Laut (MTL), kemungkinan banjir kilat di Kuala Lumpur dan Selangor itu berulang tidak boleh ditolak terutama sekiranya menerima taburan hujan lebih tinggi.

Bencana yang turut mengakibatkan tanah runtuh di lereng setinggi 30 meter berhampiran kawasan penempatan penduduk di Jalan E6, Taman Melawati, Ulu Kelang, Selangor, memaksa 23 penduduk berpindah demi keselamatan. Sehingga kini mereka belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Ketika ini, kerja pembersihan kawasan ditenggelami banjir serta pembaikan cerun di lokasi tanah runtuh Taman Melawati itu masih dijalankan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang meninjau tempat kejadian tanah runtuh, memberi jaminan kawasan itu masih selamat kerana runtuhan hanya membabitkan permukaan tanah, namun batuan sedimen dasar di kawasan berbukit itu kukuh.

“Berdasarkan siasatan hakisan itu hanya membabitkan bahagian permukaan tanah yang gelincir akibat aliran air melimpah ke permukaan cerun,” katanya selepas meninjau tanah runtuh di Jalan Serdang, Jalan G2 dan Jalan E6, di Taman Melawati.

Menurut Datuk Ahmad Maslan, kerja pembaikan cerun runtuh itu akan menggunakan kaedah pemakuan tanah atau soil nailing dan ia dijangka mengambil masa bagi memastikan dasar tanah dalam keadaan kukuh.

“Proses ini adalah satu bentuk rawatan dan pemulihan kekal bagi memastikan kestabilan cerun dan keselamatan penggunaan jalan pada masa hadapan,” katanya.

Bagaimanapun, agak membimbangkan apabila beliau memaklumkan dianggarkan sejumlah 3,200 cerun di semua Jalan Persekutuan seluruh Malaysia dikenal pasti sebagai lokasi berisiko berlakunya tanah runtuh.

“Ia sebahagian daripada keseluruhan 27,000 cerun atau lereng bukit yang direkodkan Kementerian Kerja Raya (KKR). Bagaimanapun kita beri tumpuan kepada pemantauan cerun berisiko di kawasan yang berhampiran dengan penempatan serta premis milik kerajaan seperti sekolah, hospital dan sebagainya,” katanya.

Penduduk di Jalan E6 itu, Encik Mohd Haniff Ahmad Safran, mendakwa petanda kejadian tanah runtuh bakal berlaku di situ sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa sebaik ia dikesan sekitar lima tahun lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang turut turun padang meninjau lokasi tanah runtuh itu memaklumkan di sekitar Ampang saja, sejumlah 114 hot spot dikenal pasti lokasi berisiko tinggi tanah runtuh, termasuk kawasan lereng bukit di Jalan E6 Taman Melawati itu.

Menurut beliau, longkang tersumbat pada bahagian atas bukit di Jalan G2 Taman Melawati, dikenal pasti punca berlakunya tanah runtuh itu.

“Limpahan air dari longkang dipenuhi batu dan tanah menyebabkan berlakunya gelinciran tanah yang kemudian mencetus tanah runtuh ke Jalan E6 Taman Melawati.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sudah mengarahkan pemaju dan pemilik tanah untuk tidak melakukan sebarang kerja ubah suai atau pembinaan sehingga laporan penuh siasatan dikeluarkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berhubung kejadian tanah runtuh ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg