Topik diikuti
Pergi ke BHkuSerangan AS ragut 178 orang awam di Iran mungkin jenayah perang: PBB
Serangan AS ragut 178 orang awam di Iran mungkin jenayah perang: PBB
GENEVA: Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata terdapat alasan munasabah untuk menyimpulkan bahawa dua serangan udara Amerika Syarikat ke atas Iran pada Februari lalu, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 178 orang awam, dilakukan tanpa membezakan sasaran awam dan tentera serta boleh dianggap sebagai jenayah perang.
Penemuan itu terkandung dalam laporan 18 halaman oleh Misi Pencari Fakta Antarabangsa Bebas PBB mengenai Iran, yang dijadual dibentangkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva pada 21 September.
Serangan pertama pada 28 Februari mengenai Sekolah Rendah Shajarah Tayyebeh di Minab, selatan Iran, menyebabkan 157 orang terbunuh.
Menurut penyiasat PBB yang memetik maklumat bebas yang dianggap boleh dipercayai, kira-kira 123 mangsa adalah kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia bawah 13 tahun.
Serangan kedua pada hari sama mengenai sebuah pusat sukan dan bangunan kediaman berhampiran di bandar Lamerd, tengah Iran.
Sumber Iran melaporkan 22 orang awam, termasuk lima kanak-kanak, terbunuh, manakala sebuah pertubuhan yang disifatkan PBB sebagai boleh dipercayai melaporkan hampir 170 orang cedera.
Antara mereka ialah kanak-kanak yang mengalami kecederaan mengancam nyawa.
Mengenai serangan di Minab, misi itu berkata terdapat alasan munasabah untuk mempercayai Amerika melakukan jenayah perang dengan melancarkan serangan tanpa membezakan sasaran sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam serta kerosakan terhadap objek awam.
Menurut laporan itu, Amerika juga gagal memenuhi kewajipannya untuk mengambil semua langkah yang munasabah bagi memastikan sasaran berkenaan benar-benar merupakan sasaran ketenteraan.
Sekolah itu terkena serangan ketika tentera Amerika menyerang sebuah kompleks tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang terletak berhampiran.
Penyiasat PBB bagaimanapun mendapati bangunan sekolah itu jelas boleh dikenal pasti sebagai sebuah sekolah.
Lebih penting, mereka menyimpulkan bangunan berkenaan merupakan titik yang memang disasarkan dalam serangan dan bukannya terkena peluru berpandu yang tersasar atau mengalami kerosakan sampingan akibat serangan terhadap sasaran berdekatan.
Menurut laporan itu, tentera Amerika dipercayai menggunakan maklumat risikan yang sudah lapuk ketika menentukan sasaran.
Kegagalan untuk mengesahkan sasaran itu, menurut penyiasat, melangkaui kecuaian biasa kerana serangan diarahkan ke bangunan sekolah walaupun terdapat risiko besar bahawa ia merupakan objek awam.
Jabatan Pertahanan Amerika enggan mengulas mengenai kesimpulan laporan PBB itu.
“Jabatan enggan mengulas mengenai laporan yang dijalankan oleh sebuah pertubuhan luar,” katanya dalam satu kenyataan sambil menambah bahawa siasatannya sendiri masih berjalan.
Siasatan awal Pentagon sebelum ini dilaporkan mengakui bahawa Amerika berkemungkinan bertanggungjawab terhadap serangan sekolah tersebut, tetapi keputusan penuh siasatan itu belum diterbitkan.
Pegawai Amerika sebelum ini mengaitkan kejadian itu dengan kesilapan menentukan sasaran akibat penggunaan data yang sudah lapuk.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, ketika ditanya mengenai kejadian itu pada Jun berkata serangan tersebut tidak dilakukan dengan sengaja.
“Tiada siapa melakukan perkara itu dengan sengaja. Kesilapan berlaku. Perang itu buruk,” katanya kepada wartawan ketika itu.
Laporan PBB turut meneliti serangan di Lamerd yang mengenai sebuah pusat sukan berhampiran bangunan IRGC.
Penyiasat berkata pusat sukan itu terletak bersebelahan bangunan IRGC tetapi jelas merupakan bangunan berasingan.
Menurut laporan tersebut, tentera Amerika menggunakan peluru berpandu serangan tepat yang menyebarkan kira-kira 180,000 butiran tungsten ke kawasan luas.
Penggunaan senjata sedemikian di kawasan awam yang mempunyai ramai penduduk disifatkan penyiasat sebagai tindakan melulu kerana risiko tinggi menyebabkan kematian atau kecederaan.
Tentera Amerika mengesahkan peluru berpandu serangan tepat digunakan dalam operasi di Iran tetapi menafikan bahawa pasukannya menyerang pusat sukan berkenaan.
Pegawai Amerika sebaliknya berkata bukti di lokasi lebih konsisten dengan serangan menggunakan peluru berpandu Hoveyzeh milik Iran.
Penyiasat PBB berkata penjelasan Amerika itu bercanggah dengan bukti yang mereka peroleh.
Misi tersebut berkata ia sudah menghubungi pemerintah Amerika untuk meminta maklumat mengenai kedua-dua serangan serta mengadakan pertemuan dengan pegawai tentera Amerika, tetapi tidak menerima maklum balas.
Dalam membuat kesimpulannya, penyiasat turut meneliti kenyataan awam pegawai kanan Amerika, termasuk Encik Trump dan Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth, berkaitan kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa untuk membezakan antara sasaran awam dengan ketenteraan.
Pada masa sama, laporan PBB itu turut mengetengahkan dakwaan pelanggaran serius hak asasi manusia oleh pihak berkuasa Iran ketika menumpaskan bantahan antipemerintah sebelum perang antara Amerika, Israel dan Iran tercetus.
Menurut penyiasat, tindakan pihak berkuasa Iran terhadap penunjuk perasaan pada Disember 2025 dan awal 2026 melibatkan pembunuhan penentang pemerintah pada skala yang sangat besar di kesemua 31 wilayah negara itu.
Angka rasmi menunjukkan 3,038 orang terbunuh dan kira-kira 25,000 lagi cedera, termasuk ramai yang mengalami kecederaan serius.
Penyiasat PBB bagaimanapun percaya jumlah sebenar korban dan mereka yang cedera jauh lebih tinggi.
Ribuan orang turut ditahan oleh pasukan keselamatan Iran dalam operasi susulan.
Sejak awal tahun ini, sekurang-kurangnya 58 orang telah dihukum mati atas tuduhan berkaitan keselamatan.
Lebih 70 rakyat Iran, termasuk sekurang-kurangnya lima wanita dan tiga kanak-kanak lelaki, pula dilaporkan masih berdepan risiko dihukum mati berhubung penyertaan mereka dalam bantahan tersebut. - Agensi berita
