Siasatan awal AS dedah kemungkinan tentera AS serang sekolah kanak-kanak Iran
Siasatan awal AS dedah kemungkinan tentera AS serang sekolah kanak-kanak Iran
WASHINGTON: Penyiasat tentera Amerika Syarikat percaya kemungkinan besar serangan udara yang memusnahkan sebuah sekolah perempuan di selatan Iran pada 28 Februari lalu dilakukan oleh pasukan Amerika, namun siasatan menyeluruh masih dijalankan dan keputusan muktamad belum dibuat.
Dua pegawai Amerika yang mengetahui siasatan itu memberitahu Reuters bahawa penilaian awal menunjukkan kemungkinan penglibatan tentera Amerika, tetapi bukti tambahan masih diperlukan sebelum kesimpulan rasmi dapat dibuat.
Serangan ke atas Sekolah Rendah Shajarah Tayyebeh di bandar Minab ketika hari pertama operasi ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran. Pegawai kesihatan Iran serta media negara itu berkata sekurang-kurangnya 175 orang terbunuh, kebanyakannya kanak-kanak perempuan.
Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Encik Ali Bahreini, sebelum ini berkata serangan tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya 150 pelajar. Namun sehingga kini, tiada pihak secara rasmi mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Pete Hegseth, mengesahkan bahawa tentera Amerika sedang menyiasat insiden itu. “Kami sedang menyiasat perkara itu. Sudah tentu kami tidak pernah menyasarkan sasaran awam,” katanya kepada wartawan pada 4 Mac.
Beliau menambah bahawa pihak tentera akan meneliti semua maklumat yang ada sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Jurucakap Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), Kapten Timothy Hawkins, pula berkata adalah tidak wajar untuk memberi komen lanjut ketika siasatan masih berlangsung. “Adalah tidak sesuai untuk mengulas perkara ini kerana insiden tersebut masih dalam siasatan,” katanya.
Rumah Putih juga tidak mengesahkan sama ada Amerika Syarikat terlibat dalam serangan tersebut. Jurucakapnya, Cik Karoline Leavitt, berkata Washington tidak menyasarkan orang awam. “Ketika Jabatan Perang sedang menyiasat perkara ini, kami menegaskan bahawa rejim Iran yang menyasarkan orang awam dan kanak-kanak, bukan Amerika Syarikat,” katanya.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, turut menegaskan bahawa Washington tidak akan secara sengaja menyerang sekolah. “Jika benar serangan itu dilakukan oleh pasukan kami, Jabatan Perang pasti akan menyiasatnya,” katanya.
Menurut pegawai tentera Israel dan sumber yang mengetahui perancangan operasi bersama, serangan Amerika Syarikat dan Israel di Iran sebelum ini dibahagikan mengikut kawasan serta jenis sasaran.
Israel dilaporkan memberi tumpuan kepada tapak pelancaran peluru berpandu di barat Iran, manakala Amerika Syarikat menyerang sasaran di selatan negara itu termasuk pangkalan tentera laut, lapor The New York Times.
Bandar Minab terletak berhampiran Selat Hormuz, laluan perkapalan penting dunia. Pada hari kejadian, pesawat Amerika dilaporkan menjalankan operasi ketenteraan di kawasan tersebut.
Analisis imej satelit, rakaman video serta gambar yang disahkan menunjukkan beberapa serangan tepat menyasarkan bangunan pangkalan tentera laut milik Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang terletak bersebelahan sekolah tersebut.
Imej satelit baharu menunjukkan sekurang-kurangnya enam bangunan di dalam pangkalan tentera laut itu musnah akibat serangan tepat.
Penganalisis keselamatan negara Amerika, Encik Wes J Bryant, yang pernah berkhidmat dalam Tentera Udara Amerika Syarikat, berkata corak kerosakan menunjukkan serangan dilakukan dengan ketepatan tinggi. “Semua bangunan itu terkena serangan yang sangat tepat,” katanya selepas meneliti imej satelit tersebut.
Beliau berkata kemungkinan besar sekolah tersebut menjadi mangsa kesilapan pengenalpastian sasaran.
“Kemungkinan besar ia adalah kes salah mengenal pasti sasaran, di mana serangan dilakukan tanpa menyedari terdapat ramai orang awam di lokasi itu,” katanya.
Penganalisis hak asasi manusia dari Universiti Stanford, Cik Beth Van Schaack, pula berkata pihak yang melancarkan serangan wajib memastikan sasaran mereka bukan kawasan awam. “Dengan kemampuan perisikan yang dimiliki Amerika Syarikat, mereka sepatutnya mengetahui terdapat sebuah sekolah berhampiran kawasan itu,” katanya.
Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden tersebut. Jurucakapnya, Cik Ravina Shamdasani, berkata pihak yang melancarkan serangan bertanggungjawab menyiasat kejadian tersebut. “Tanggungjawab untuk menyiasat terletak pada pihak yang melaksanakan serangan itu,” katanya dalam sidang media di Geneva.
Rakaman siaran televisyen negara Iran menunjukkan suasana pengebumian mangsa pada 3 Mac lalu. Keranda kecil yang dibaluti bendera Iran dibawa melalui lautan manusia menuju ke tanah perkuburan.
Di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serangan sengaja terhadap sekolah, hospital atau mana-mana bangunan awam dianggap sebagai jenayah perang.
Sekiranya terbukti serangan tersebut dilakukan oleh Amerika Syarikat, ia akan menjadi antara insiden korban awam paling buruk dalam konflik yang melibatkan Washington di Asia Barat dalam beberapa dekad kebelakangan ini. - Agensi berita

