Serangan balas Iran lumpuhkan ribuan penerbangan antarabangsa
Serangan balas Iran lumpuhkan ribuan penerbangan antarabangsa
DUBAI: Gangguan terbesar terhadap pengangkutan udara global sejak pandemik Covid-19 berlarutan untuk hari kedua semalam apabila ribuan penerbangan dibatalkan atau ditangguhkan susulan serangan balas Iran terhadap kepentingan Amerika Syarikat dan Israel di Asia Barat.
Beberapa hab penerbangan utama dunia termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dan Doha terpaksa ditutup selepas Iran melancarkan serangan susulan tindakan ketenteraan Amerika dan Israel sehari sebelumnya.
Penumpang di seluruh dunia terkandas apabila syarikat penerbangan berusaha mengubah laluan bagi mengelakkan ruang udara Asia Barat, yang sebahagian besarnya ditutup.
Iran dilaporkan menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai lapangan terbang paling sibuk di dunia bagi trafik antarabangsa serta lapangan terbang utama Kuwait dalam gelombang serangan balasnya.
Iran, Iraq, Israel, Syria, Kuwait, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu mengumumkan penutupan penuh atau separa ruang udara masing-masing.
Pakar firma perunding Encik Roland Berger, Didier Brechemier, berkata krisis kali ini luar biasa.
“Tiada krisis sebesar ini sejak Covid-19,” katanya kepada AFP.
Menurutnya, walaupun pencerobohan Russia ke atas Ukraine memberi kesan besar kepada Eropah, ia tidak menjejaskan hab utama Asia Barat yang menjadi transit utama perjalanan antara Eropah dengan Asia.
Firma analisis penerbangan Cirium melaporkan lebih 1,500 penerbangan ke Asia Barat dibatalkan pada 1 Mac, mewakili lebih 40 peratus daripada jadual asal.
Laman penjejakan penerbangan FlightAware pula mencatatkan lebih 2,700 penerbangan dibatalkan di seluruh dunia dan lebih 12,300 penerbangan ditangguhkan setakat 5.20 petang GMT.
Ketua Pegawai Eksekutif firma perunding Protourisme, Encik Didier Arino, berkata kerugian industri penerbangan sudah mencecah ratusan juta euro.
“Kerugian sudah mencecah ratusan juta euro bagi sektor pengangkutan udara,” katanya.
Bagi sebahagian penumpang, gangguan ini bukan sekadar kelewatan biasa.
‘Rapper’ Italy, BigMama, memaklumkan pesawatnya dari Male, Maldives, terpaksa mendarat semula di kawasan padang pasir berhampiran Dubai selepas laluan diubah.
“Kami dengar bunyi peluru berpandu di atas kepala. Saya sangat takut,” katanya dalam video yang dimuat naik di Instagram.
“Kami tidak tidur langsung semalaman. Kami cuma mahu pulang ke rumah,” katanya lagi.
Di Johannesburg, seorang penumpang yang penerbangannya ke London dibatalkan berkata harga tiket alternatif meningkat dengan pantas.
“Saya cuba tempah tiket dengan syarikat lain, tetapi harga naik setiap 10 atau 20 minit,” katanya kepada SABC News.
Seorang lagi penumpang di Cape Town, dikenali sebagai Farhad, berkata beliau tidak pasti di mana akan bermalam selepas penerbangannya ke Jerman tergendala.
“Dunia saling berhubung. Apa yang berlaku 10,000 kilometer jauh tetap memberi kesan kepada kami di sini,” katanya.
Beberapa negara termasuk Perancis dan Thailand menyatakan sedang mempertimbangkan untuk memindahkan rakyat masing-masing dari Asia Barat.
Presiden Persatuan Pengendali Pelancongan Perancis, Encik Patrice Caradec, berkata usaha kini tertumpu kepada mewujudkan “jambatan udara” melalui hab alternatif seperti Istanbul.
Sementara itu, Encik Arino berkata serangan balas Iran turut menjejaskan reputasi keselamatan di negara Teluk yang sebelum ini terkenal dengan keadaan stabil dan terjamin.
“Selama ini, apa yang mereka tonjolkan kepada pelancong, pelabur dan penduduk ialah keamanan untuk harta dan keselamatan diri. Imej ini membantu menarik pelancong, pekerja dan perniagaan dari seluruh dunia,” katanya.
“Dubai sebelum ini sering disamakan dengan tahap keselamatan tinggi seperti Switzerland, jadi insiden ini pasti memberi kesan kepada persepsi itu,” ujarnya
Letupan dilaporkan menggegarkan kawasan Palm Jumeirah di Dubai manakala serpihan dron mencetuskan kebakaran di hotel mewah Burj Al Arab.
Pelancong Perancis, Cik Claudine Schwartz, 49 tahun, yang menginap di Royal Atlantis di Palm Jumeirah, berkata beliau mendengar letupan dan melihat kepulan asap tebal.
“Kami sedang bermain golf malam sebelum bergegas pulang ke hotel. Saya nampak bebola api menuju ke arah kami dan pada masa sama menerima amaran supaya berlindung,” katanya.
Menurutnya, pihak hotel mengarahkan semua tetamu berlindung di aras paling bawah bangunan sebagai langkah keselamatan ketika siren amaran berbunyi.
Sehingga keesokan harinya, mereka masih tidak dibenarkan keluar susulan gelombang serangan baharu.
“Dari gimnasium hotel, saya dapat melihat kepulan asap hitam yang besar. Saya percaya ia datang dari kawasan pelabuhan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa mereka telah mendaftar dengan talian bantuan khas untuk penumpang terkandas yang disediakan Kementerian Luar Perancis dan kini menunggu arahan lanjut.
“Kami hanya mampu menunggu dan berharap keadaan kembali tenang,” katanya. – Agensi berita.

