Hasrat pulang ke S’pura selepas umrah tersekat setelah penerbangan Scoot dibatalkan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hasrat pulang ke S’pura selepas umrah tersekat setelah penerbangan Scoot dibatalkan

Encik Remy Mohamed terpaksa keluarkan belanja tambahan sebanyak $3,500 untuk beli tiket penerbangan Saudi Airlines, bertolak dari Madinah
Mar 1, 2026 | 10:05 PM

Hasrat pulang ke S’pura selepas umrah tersekat setelah penerbangan Scoot dibatalkan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Encik Remy Mohamed di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di Madinah pada 1 Mac semasa menunggu penerbangan baru dengan Saudi Airlines, yang akan transit ke Jakarta, Indonesia sebelum ke Singapura.
Encik Remy Mohamed di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di Madinah pada 1 Mac semasa menunggu penerbangan baru dengan Saudi Airlines, yang akan transit ke Jakarta, Indonesia sebelum ke Singapura. - Foto ihsan REMY MOHAMED

Niat Encik Remy Mohamed untuk pulang ke tanah air selepas selesai menunaikan ibadah umrah secara sendirian atau ‘DIY’ telah bertemu dengan kehampaan apabila penerbangannya dari Jeddah ke Singapura dibatalkan secara mengejut.

Malah, kejadian itu terlalu mengejutkan hingga pemilik syarikat perancang perkahwinan itu merasa terkesan secara emosi.

Encik Remy, 40 tahun, pengarah syarikat D’Reamy Couture, berkata beliau mendapat tahu penerbangan Scoot dari Jeddah itu telah dibatalkan pada pagi 1 Mac semasa beliau berada di Madinah.

“Apa yang berlaku benar-benar memberi kesan besar kepada saya kerana banyak perkara yang perlu saya uruskan secara mendadak untuk pastikan saya dapat pulang ke tanah air.

“Saya sendiri tidak sedar tentang situasi antara negara yang sedang bergolak sehinggalah saya dimaklumkan bahawa penerbangan saya (untuk pulang ke Singapura) telah dibatalkan,” kata Encik Remy yang dihubungi Berita Harian (BH) semasa dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz.

Pada 1 Mac, syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dan Scoot mengumumkan pembatalan penerbangan ke dan dari Timur Tengah sehingga 7 Mac selepas menilai situasi geopolitik di Timur Tengah.

Sebanyak 26 penerbangan SIA dan Scoot antara 28 Februari dengan 7 Mac telah dibatalkan susulan gelombang serangan terhadap sasaran di Iran oleh Amerika Syarikat dan Israel.

Dua penerbangan Scoot – TR596 (Singapura ke Jeddah) dan TR597 (Jeddah ke Singapura) – juga telah dibatalkan pada 28 Februari, 2, 3, 5 dan 7 Mac.

Berkongsi pengalamannya, Encik Remy berkata pada awalnya apabila beliau membaca berita, beliau mendapati penerbangannya – Scoot TR597 – merupakan antara yang terjejas.

Pada ketika itu, beliau cuba “bertenang dan bertawakal namun, keadaaan tetap membimbangkan”.

“Saya sentiasa menyemak status penerbangan Scoot TR597 saya setiap dua jam bermula semalam, 28 Februari, tetapi akhirnya ia dibatalkan pagi ini,” ceritanya.

Menunaikan umrah secara DIY merupakan yang ketiga baginya selepas berbuat demikian pada 2024 dan 2022.

Namun Encik Remy berkata pengalaman kali ini telah benar-benar menguji ketabahannya.

Walaupun beliau sudah berpengalaman melakukan umrah dan mengambil khidmat mutawwif dari Makkah untuk membantu urusan ibadah, gangguan logistik Scoot kali ini merupakan sesuatu di luar jangkaan.

Mengimbas kembali, Encik Remy menceritakan beliau terlalu buntu sehinggakan terduduk seketika di atas katil hotelnya sebelum merancang semula langkah seterusnya.

Beliau segera mendaftarkan butiran diri dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA) untuk mendapatkan bantuan konsular.

Pihak kedutaan kemudian memaklumkan terdapat satu penerbangan melalui Saudi Airlines pada 6.30 petang tetapi semua tiket bagi slot tersebut habis dijual dalam masa yang singkat.

“Pada waktu itu, saya sanggup membayar walaupun sehingga $4,000 asalkan dapat pulang dengan selamat.

“Bagi saya, wang boleh dicari semula, tetapi yang paling penting ialah keselamatan dan dapat kembali ke Singapura dengan selamat,” kata Encik Remy.

Setelah berusaha gigih mencari alternatif lain, beliau akhirnya berjaya mendapatkan tiket penerbangan saat akhir melalui Saudi Airlines pada 4.40 petang.

Bagaimanapun, kepulangan tersebut menuntut pengorbanan kos yang besar apabila beliau terpaksa membayar sebanyak $3,500 untuk tiket tersebut.

Perjalanan pulang beliau juga akan menjadi lebih panjang kerana perlu melakukan transit di Jakarta sebelum dijadualkan mendarat di Singapura pada 2 Mac.

“Memandangkan konflik ini masih berkembang dan keadaannya belum menentu, saya bersyukur kerana berjaya mendapatkan penerbangan pulang dan kembali ke tanah air dengan selamat,” tambah Encik Remy.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg