Topik diikuti
Pergi ke BHkuSerangan balas Saudi-Houthi ancam gencatan senjata
Serangan balas Saudi-Houthi ancam gencatan senjata
Serangan balas Saudi-Houthi ancam gencatan senjata
SANAA, Yaman: Gencatan senjata selama empat tahun antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi yang disokong Iran berada dalam keadaan genting selepas kedua-dua pihak saling menuduh melancarkan serangan, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa Yemen bakal menjadi medan baharu konflik di Asia Barat.
Ketegangan memuncak pada 13 Julai apabila Houthi mendakwa Arab Saudi mengebom Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa bagi menghalang sebuah pesawat Iran daripada mendarat di ibu negara Yaman yang dikuasai kumpulan itu.
Bagaimanapun, Riyadh tidak mengulas dakwaan berkenaan.
Sebagai tindak balas, Houthi melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah Arab Saudi, menurut kenyataan pakatan tentera diketuai Riyadh.
Pakatan itu berkata sistem pertahanan udara Saudi berjaya memintas ancaman berkenaan.
Jurucakap tentera Houthi, Encik Yahya Saree, mengesahkan kumpulan itu menyasarkan sebuah lapangan terbang di bandar Abha, selatan Arab Saudi.
“Kami memberi amaran kepada semua syarikat penerbangan supaya menjauhi ruang udara Arab Saudi,” katanya.
Insiden itu menimbulkan kebimbangan antarabangsa bahawa konflik yang sebelum ini tertumpu kepada perang antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran kini boleh merebak semula ke Yaman selepas beberapa bulan negara itu relatif tidak terjejas.
Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Yaman, Encik Hans Grundberg, berkata beliau amat bimbang dengan risiko peningkatan konflik.
“Kami menggesa semua pihak mengurangkan ketegangan dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan semula kitaran keganasan di Yaman,” katanya.
Beliau berkata PBB sedang berhubung dengan semua pihak bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Konflik di Yemen bermula pada 2014 apabila Houthi menawan Sanaa dan menggulingkan pemerintah yang diiktiraf masyarakat antarabangsa, menyebabkan pemimpin negara itu melarikan diri ke Aden.
Setahun kemudian, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengetuai kempen ketenteraan bagi mengembalikan kerajaan berkenaan, namun gagal menewaskan Houthi.
Peperangan itu akhirnya membawa kepada gencatan senjata pada 2022 yang berjaya mengurangkan pertempuran besar, walaupun tiada perjanjian damai menyeluruh dicapai.
Namun, ketenangan itu mula tergugat selepas sebuah pesawat Iran mendarat di Lapangan Terbang Sanaa pada 3 Julai lalu menjelang upacara pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei.
Menurut Encik Saree, pesawat awam Iran itu membawa pulang pesakit Yaman yang mendapatkan rawatan di Teheran sebelum membawa delegasi Houthi ke Iran bagi menghadiri upacara pengebumian tersebut.
Beliau mendakwa pesawat pejuang Arab Saudi cuba menghalang pesawat Iran daripada mendarat ketika itu.
“Hubungan udara antara Sanaa dan Teheran akan diteruskan tanpa mengira apa juga akibatnya,” katanya sebelum ini.
Sebaliknya, pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi mendakwa penerbangan terus Iran ke Sanaa merupakan pencabulan terhadap kedaulatan negara itu.
Dalam satu kenyataan, pemerintah Yaman berkata penerbangan tersebut melanggar undang-undang dan membuktikan campur tangan Iran yang berterusan di Yaman.
Pakatan tentera diketuai Arab Saudi pula menuduh Houthi sengaja mencipta dakwaan palsu bagi mengalihkan perhatian daripada pelbagai pelanggaran yang dilakukan terhadap rakyat Yaman sendiri.
Kemuncak ketegangan berlaku apabila Lapangan Terbang Sanaa diserang pada 13 Julai.
Pemerintah Yaman mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dengan alasan mahu menghalang sebuah lagi pesawat Iran daripada mendarat.
Namun, penganalisis menyatakan pemerintah Yaman tidak mempunyai angkatan udara yang berfungsi dan bergantung sepenuhnya kepada sokongan ketenteraan Arab Saudi.
Encik Saree menuduh Riyadh berada di sebalik serangan tersebut.
“Serangan ini menandakan berakhirnya fasa pengurangan ketegangan antara Houthi dan Arab Saudi,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, media pemerintah Iran melaporkan sebuah pesawat Iran berjaya mendarat di Lapangan Terbang Hodeidah berhampiran Laut Merah tanpa memberikan butiran lanjut.
Sementara itu, pertempuran darat turut dilaporkan kembali tercetus antara tentera pemerintah Yaman dan Houthi di wilayah Hodeidah, meningkatkan kebimbangan perang saudara yang telah berlarutan lebih sedekad akan kembali memuncak.
Jurucakap Houthi, Encik Mohammed Abdulsalam, menyifatkan serangan ke atas Lapangan Terbang Sanaa sebagai “pelanggaran besar” terhadap gencatan senjata 2022.
Beliau turut menuduh Arab Saudi sengaja melengah-lengahkan usaha membuka semula operasi lapangan terbang yang sebahagian besarnya ditutup sepanjang perang akibat sekatan udara.
Encik Grundberg menegaskan keutamaan PBB ketika ini ialah mengelakkan konflik terus merebak.
“Sebarang tindakan yang boleh meluaskan konfrontasi hanya akan menambah penderitaan rakyat Yemen dan menjejaskan ketenangan yang amat diperlukan oleh mereka,” katanya.
Yaman kini kekal berdepan antara krisis kemanusiaan paling buruk di dunia, dengan berjuta-juta penduduk masih bergantung kepada bantuan makanan, kesihatan dan perlindungan selepas lebih sedekad dilanda peperangan. - Agensi berita
