Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan bersenjata di gereja Michigan ragut 4 nyawa, 8 cedera

Sep 29, 2025 | 12:23 PM
Church of Jesus Christ of Latter-day Saints
Anggota penguat kuasa mengepung Church of Jesus Christ of Latter-day Saints yang terbakar, susulan kejadian tembakan dan kebakaran, di Grand Blanc, Michigan, Amerika Syarikat, pada 28 September. - Foto REUTERS

GRAND BLANC (Amerika Syarikat): Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan lapan lagi cedera selepas seorang lelaki merempuh masuk ke dalam sebuah gereja Mormon di Grand Blanc, Michigan, dan melepaskan tembakan serta membakar bangunan itu sebelum ditembak mati oleh polis.

Ketua Polis Grand Blanc Township, Encik William Renye, berkata kejadian pada 28 September itu bermula apabila suspek yang dikenali sebagai Thomas Jacob Sanford, 40 tahun, bekas anggota Marin Amerika Syarikat, memandu kenderaannya merempuh pintu depan gereja, The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints, sebelum melepaskan tembakan menggunakan senapang.

“Bangunan dipenuhi asap dan api. Ramai yang tidak sempat menyelamatkan diri,” kata Encik Renye dalam sidang media.

Beliau mengesahkan masih ada individu yang belum dikenal pasti kedudukannya.

Menurut polis, ratusan orang berada di dalam gereja ketika kejadian.

Dua anggota penguat kuasa seorang pegawai Jabatan Sumber Asli negeri dan seorang pegawai polis Grand Blanc Township tiba di lokasi hanya 30 saat selepas panggilan kecemasan diterima.

Mereka berbalas tembakan dengan Sanford dan berjaya menumpaskannya di tempat letak kereta kira-kira lapan minit selepas serangan bermula.

Gambar di lokasi menunjukkan hampir keseluruhan bangunan gereja musnah dijilat api, manakala sebuah trak yang dipercayai dipandu penyerang kelihatan remuk di bahagian sisi bangunan dengan dua bendera Amerika di belakangnya.

Ketua Polis Renye berkata pasukan penyiasat kini memeriksa rumah dan rekod telefon Sanford untuk mencari motif.

“Kami masih cuba memahami punca serangan yang jelas dirancang ini,” katanya.

Ejen Khas Biro Siasatan Federal (FBI) Encik Reuben Coleman, mengesahkan pihaknya kini mengetuai siasatan.

“Kami melihat kejadian ini sebagai satu tindakan keganasan yang disasarkan,” katanya.

Rekod tentera menunjukkan Sanford berkhidmat dalam Kor Marin Amerika dari 2004 hingga 2008 dan pernah bertempur di Iraq.

Serangan di Michigan itu berlaku kurang 14 jam selepas satu lagi kejadian tembakan di Southport, North Carolina, yang turut melibatkan seorang veteran Marin dan meragut tiga nyawa.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Paula menggambarkan suasana panik ketika kejadian.

“Kami dengar dentuman kuat dan pintu depan hancur. Semua orang menjerit dan cuba keluar,” katanya kepada stesen, WXYZ.

Cik Paula yang mengajar kanak-kanak di gereja itu berkata beberapa muridnya cedera.

“Saya kehilangan kawan-kawan dan anak-anak yang saya ajar. Ia sungguh menghancurkan hati.”

Grand Blanc, bandar kecil dengan 7,700 penduduk kira-kira 100 kilometer barat laut Detroit, jarang dilanda keganasan.

Gabenor Michigan, Encik Gretchen Whitmer, menyifatkan tragedi itu sebagai memusnahkan keamanan masyarakat setempat.

“Hati saya hancur untuk masyarakat Grand Blanc. Keganasan di mana-mana, terutama di rumah ibadat, tidak boleh diterima,” katanya di media sosial.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, turut menyampaikan takziah dan mengecam serangan itu.

Dalam kenyataan di Truth Social, beliau menyifatkan kejadian itu sebagai “serangan yang menyasarkan umat Kristian di Amerika Syarikat”.

Trump menulis: “Epidemik keganasan di negara kita mesti dihentikan segera!”

Peguam Negara Amerika, Cik Pam Bondi, pula berkata: “Keganasan di tempat ibadat amat menyedihkan dan menakutkan. Tolong doakan mangsa tragedi ini.”

Mantan Senator Utah, Encik Mitt Romney, yang beragama Mormon, turut menzahirkan rasa dukacita.

“Ini tragedi yang amat pedih. Saudara seagama saya menjadi sasaran keganasan. Kami berdoa untuk kesembuhan dan penghiburan,” katanya.

Menurut Gun Violence Archive, kejadian berdarah itu merupakan kejadian tembakan besar-besaran ke-324 di Amerika sepanjang 2025,

Ia juga adalah tembakan ketiga dalam tempoh kurang 24 jam, termasuk serangan di North Carolina dan kejadian tembakan di kasino Eagle Pass, Texas, yang meragut dua nyawa.

Amerika terus berdepan krisis keganasan senjata api yang sukar dibendung.

Minggu-minggu kebelakangan ini tegang dengan beberapa serangan berprofil tinggi, termasuk pembunuhan aktivis kanan, Encik Charlie Kirk, di Utah dan serangan maut ke atas kemudahan imigresen di Texas.

Sebulan sebelum itu, dua kanak-kanak terbunuh dalam tembakan di gereja Katolik di Minnesota.

Setakat ini, pihak berkuasa tidak mendedahkan punca serangan Sanford.

Siasatan tertumpu kepada latar belakangnya sebagai veteran perang Iraq, termasuk kemungkinan masalah kesihatan mental atau dendam peribadi.

“Kami sedang menyemak semua maklumat dari sejarah ketenteraan hingga interaksi dalam talian,” kata Ejen Coleman.

Penduduk tempatan kini berdepan trauma mendalam.

“Kami tidak pernah membayangkan rumah ibadat kami boleh menjadi medan pembunuhan,” kata seorang ahli gereja yang enggan dikenali. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg