Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua kapal kontena berdaftar di Singapura diserang di Selat Hormuz
Dua kapal kontena berdaftar di Singapura diserang di Selat Hormuz
Dua kapal kontena berdaftar di Singapura dilaporkan terkena objek tidak dikenal pasti ketika belayar melalui Selat Hormuz pada 13 dan 14 Oktober.
Kapal GFS PRIDE dan GFS GISELLE dilaporkan terkena objek tersebut masing-masing pada 13 dan 14 Oktober 2026, menurut kenyataan Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada 14 Oktober.
GFS PRIDE mengalami kerosakan dan kebakaran di atas kapal sebelum akhirnya tenggelam.
Kesemua 21 anak kapalnya berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.
Sementara itu, GFS GISELLE mengalami kerosakan pada badan kapal tetapi berjaya belayar menggunakan kuasanya sendiri sehingga tiba di tempat berlabuh yang selamat.
Kesemua 22 anak kapal GFS GISELLE juga dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
MPA mengesahkan tiada warga Singapura berada di atas kedua-dua kapal tersebut.
Agensi itu berkata pihaknya sedang berhubung dengan syarikat pengurusan kapal berkenaan dan memantau perkembangan situasi dengan teliti.
MPA turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap serangan berterusan ke atas kapal komersial yang melalui Selat Hormuz, termasuk insiden terbaharu yang melibatkan kedua-dua kapal berdaftar di Singapura itu.
Menurut MPA, serangan sedemikian tidak dicetuskan oleh sebarang provokasi, tidak dapat dibenarkan dan merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
MPA menegaskan bahawa segala tindakan yang menjejas perkapalan antarabangsa mesti mematuhi undang-undang antarabangsa sepenuhnya, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos).
Tindakan sedemikian juga tidak seharusnya membahayakan keselamatan pelaut dan kapal di laut, tambah MPA.