WASHINGTON: Serangan Amerika Syarikat ke atas sasaran di Iraq dan tindakan militan Houthi menyerang perkapalan di Laut Merah memberikan petanda amaran terkini bahawa perang di Gaza berisiko berkembang menjadi konflik lebih meluas, menjejas kestabilan Timur Tengah.
Pentagon berkata pada lewat 25 Disember bahawa tenteranya melancarkan serangan ke atas tiga pangkalan di Iraq yang dikaitkan dengan militan Kataib Hezbollah.
Washington berkata kumpulan pemberontak Iraq yang disokong oleh Iran itu bertanggungjawab ke atas serangan yang mencederakan tiga kakitangan Amerika sebelum ini, seorang daripada mereka kini dalam keadaan kritikal.
“Walaupun kami tidak mahu meningkatkan konflik di rantau ini, kami komited dan bersedia sepenuhnya untuk mengambil langkah perlu selanjutnya demi melindungi rakyat dan kemudahan kami,” kata Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Lloyd Austin, dalam satu kenyataan.
Bagi beliau, tindak balas Amerika itu “perlu dan pada kadar sewajarnya”.
Kemudian pada 26 Disember, pemberontak Houthi yang berpangkalan di Yaman, juga disokong oleh Iran, memperbaharui serangan mereka ke atas perkapalan di Laut Merah.
Syarikat perkapalan, MSC Mediterranean Shipping Co, mengesahkan bahawa kapal kontena MSC United VIII telah dilanggar semasa dalam perjalanan ke Pakistan. Namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Pusat Pengawal Perintah Amerika berkata dalam siaran media sosial di X bahawa kapal pemusnahnya dan jet pejuang F/A-18 menembak jatuh 12 dron, tiga peluru berpandu balistik antikapal dan dua peluru berpandu jelajah serangan darat yang dibedil oleh Houthi ke atas Selatan Laut Merah pada 26 Disember.
Namun tiada kerosakan pada kapal atau kecederaan dilaporkan.
Amerika dan beberapa negara lain telah membentuk satu pasukan gabungan petugas maritim untuk bertindak balas terhadap serangan Houthi di Laut Merah.
Dengan jaminan itu, A.P. Moller-Maersk A/S, syarikat kontena kedua terbesar di dunia, berkata pada hujung minggu bahawa ia sedang bersedia untuk meneruskan penghantaran melalui laut.
Namun, harga minyak meningkat pada 26 Disember akibat ketegangan ekoran gangguan penghantaran.
Walaupun Iran menafikan membantu militan menyerang kapal komersial, negara itu berikrar bahawa Israel akan membayar “harga tinggi” ke atas serangan udara di Syria pada 25 Disember yang membunuh seorang komander kanan Pengawal Revolusinya.
“Jelas sekali, semakin lama perang Israel-Hamas berterusan, semakin besar kemungkinan akan ada peningkatan (konflik di Timur Tengah),” kata Encik Aaron David Miller, zamil kanan di badan pemikir hal ehwal antarabangsa tidak berpihak, Carnegie Endowment for International Peace dan mantan pegawai Amerika yang telah menasihati setiausaha negara di Timur Tengah. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg