GAZA: Serangan udara Israel pada 2 Januari telah mengorbankan sekurang-kurangnya 68 rakyat Palestin di seluruh Gaza, termasuk di kem pelarian di daerah Al-Mawasi.
Menurut pihak berkuasa Gazsa, mangsa termasuk ketua polis Gaza yang dikawal Hamas, Encik Mahmoud Salah; timbalannya Encik Hussam Shahwan, serta sembilan pelarian lain.
Jurucakap tentera Israel menyatakan bahawa Encik Shahwan merupakan ketua pasukan keselamatan Hamas di Gaza selatan.
Serangan tersebut dikatakan sebagai sebahagian daripada operasi berasaskan risikan terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan militan.
Daerah Al-Mawasi yang menjadi lokasi serangan telah ditetapkan sebagai zon kemanusiaan untuk orang awam sejak perang antara Israel dengan Hamas bermula 14 bulan lalu.
Kematian Encik Salah dan Encik Shahwan berlaku ketika mereka sedang memantau keadaan penduduk di kawasan tersebut, kata Kementerian Dalam Negeri Gaza yang dikendalikan Hamas.
“Pembunuhan kejam terhadap ketua polis Gaza ini menunjukkan niat pihak penjajah untuk terus menyemarakkan kekacauan dan memburukkan penderitaan rakyat Palestin,” kata Kementerian Dalam Negeri Gaza dalam kenyataan.
Ia menyifatkan pembunuhan kedua-dua pegawai polis itu sebagai “pengabaian terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa” dengan menyasarkan pasukan polis “walaupun berperanan sebagai badan perlindungan awam”.
Tiada sebarang kenyataan daripada Israel mengenai serangan tersebut.
Sementara itu, Encik Philippe Lazzarini, ketua Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), menzahirkan kekesalannya melalui wadah media sosial X:
“Ketika tahun baru (2025) bermula, kita diingatkan sekali lagi bahawa tidak ada zon kemanusiaan, apatah lagi zon selamat di Gaza. Setiap hari tanpa gencatan senjata akan membawa lebih banyak tragedi.”
Serangan pada 2 Januari menyaksikan jumlah kematian tertinggi dalam minggu-minggu kebelakangan ini.
Di samping serangan di Al-Mawasi, serangan lain di seluruh Gaza termasuk di Kem Pelarian Jabalia, Kem Shati (Pantai), Kem Maghazi, dan Gaza City turut meragut 57 nyawa.
Tentera Israel mendakwa serangan di Khan Younis menyasarkan pusat kawalan Hamas yang tersembunyi dalam bangunan pentadbiran daerah itu.
Namun, tiada maklumat lanjut diberikan tentang langkah pencegahan bagi mengurangkan kematian orang awam.
Kumpulan Palestin, termasuk sekutu kecil Hamas, Islamic Jihad, melancarkan serangan roket ke arah Kibbutz Holit di selatan Israel sebagai tindak balas.
Tentera Israel mendakwa telah memintas salah satu roket tersebut.
Pada 1 Januari, Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, mengancam bahawa Israel akan meningkatkan serangannya ke atas Gaza, jika Hamas terus melancarkan roket ke Israel.
Tembakan roket yang diperbaharui dari Gaza dalam beberapa hari kebelakangan ini menyebabkan sedikit kerosakan di Israel dan roket itu ditembak dalam jumlah yang jauh lebih sedikit berbanding pada peringkat awal perang.
Namun, ia adalah tamparan politik bagi pemerintah Israel selepas pertempuran hampir 15 bulan.
Encik Katz turut menuntut pembebasan tebusan yang masih ditahan di Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 45,500 rakyat Palestin telah terkorban sejak perang bermula.
Sebilangan besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah menjadi pelarian, manakala kawasan pesisir kecil itu kini berada dalam kehancuran secara menyeluruh.
Ketetapan Majlis Keselamatan PBB menyeru gencatan senjata segera, namun tentera Israel terus melancarkan serangan ke atas Gaza, yang mengorbankan lebih 45,550 mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Oktober 2023. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg