GENEVA: Satu laporan Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan Israel ke atas hospital-hospital di Gaza yang telah menyebabkan sistem penjagaan kesihatan di wilayah Palestin itu hampir lumpuh sepenuhnya.
Laporan tersebut turut memaklumkan bahawa serangan itu menimbulkan kebimbangan serius mengenai pematuhan Israel terhadap undang-undang antarabangsa, dengan menyebut kemungkinan berlakunya jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
“Corak serangan maut Israel ke atas dan berhampiran hospital di Gaza, serta pertempuran yang berkaitan, mendorong sistem penjagaan kesihatan ke ambang kelumpuhan sepenuhnya dengan kesan yang mengerikan terhadap akses penduduk Palestin kepada penjagaan kesihatan dan perubatan,” kata Pejabat Hak Asasi Manusia PBB dalam satu kenyataan.
Laporan setebal 23 halaman bertajuk ‘Serangan ke atas hospital semasa peningkatan permusuhan di Gaza’ merangkumi tempoh dari 7 Oktober 2023 hingga 30 Jun 2024. Ia diterbitkan pada 31 Disember.
Ia melaporkan dalam tempoh itu sekurang-kurangnya 136 serangan berlaku ke atas 27 hospital dan 12 kemudahan perubatan lain.
Serangan itu menyebabkan korban yang signifikan dalam kalangan doktor, jururawat, petugas perubatan dan orang awam lain, serta menyebabkan kerosakan yang teruk, terutama prasarana awam.
Tentera Israel tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas laporan itu.
Israel dalam beberapa hari lalu menjalankan operasi terhadap hospital di Gaza yang mendapat kritikan antara lain daripada ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Tentera Israel menuduh kumpulan Hamas menggunakan hospital sebagai pusat arahan untuk operasi ketenteraan dan berkata orang yang ditahan Israel di kemudahan itu disyaki militan.
Laporan badan PBB itu menyatakan bahawa petugas perubatan dan hospital dilindungi secara khusus di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, selagi mereka tidak melakukan atau digunakan untuk melakukan, tindakan yang merugikan pihak musuh di luar fungsi kemanusiaan.
Laporan itu mendapati dakwaan berulang oleh Israel bahawa hospital di Gaza digunakan secara tidak wajar bagi tujuan ketenteraan oleh kumpulan Palestin adalah “kabur”.
“Maklumat yang mencukupi setakat ini belum didedahkan secara terbuka untuk menyokong dakwaan ini, yang kekal kabur dan luas, dan dalam beberapa kes kelihatan bercanggah dengan maklumat yang tersedia secara terbuka,” kata laporan itu.
Ketua hak asasi manusia PBB, Encik Volker Turk, berkata perlindungan hospital semasa peperangan adalah perkara paling penting.
Beliau berkata laporan itu “menggambarkan secara jelas kemusnahan sistem penjagaan kesihatan di Gaza dan sejauh mana pembunuhan pesakit, kakitangan dan orang awam lain dalam serangan itu menunjukkan pengabaian nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia”.
Laporan PBB itu dikeluarkan sedang Israel terus melancarkan serangannya di Gaza dengan siri serangan udara Israel ke atas kem pelarian al-Bureij dan bandar Jabalia di tengah dan utara Gaza membunuh sekurang-kurangnya 17 orang pada 1 Januari.
Israel juga menyatakan ia telah membunuh Abd al-Hadi Sabah, seorang militan Hamas yang mengetuai penyusupan ke kawasan selatan Israel, Kibbutz Nir Oz, semasa serangan 7 Oktober 2023 oleh kumpulan Hamas.
Sebelum ini, seorang jurucakapnya memberi amaran kepada penduduk al-Bureij untuk berpindah dengan tentera Israel berkata ia akan melakukan serangan terhadap militan yang melepaskan roket dari kawasan itu.
Pegawai Palestin dan PBB berkata tiada tempat yang selamat di Gaza dan sebarang pemindahan penduduk Gaza memburukkan keadaan kemanusiaan di situ.
Sementara itu, dua orang terbunuh di utara Gaza sedang sekumpulan lelaki bersenjata menyerang konvoi bantuan, kata Program Makanan Sedunia (WFP) pada 30 Disember, mendorong Hamas menuduh agensi PBB itu gagal menyelaraskan keselamatan.
WFP berkata dalam satu kenyataan bahawa “pergerakan yang diselaraskan untuk membawa masuk 40 trak bagi pihak rakan kemanusiaan” pada 29 Disember “berdepan dengan rompakan bersenjata ganas, mengakibatkan kematian dua orang”. – AFP, Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg