Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan Israel bunuh 25 warga Palestin di Gaza, jejas usaha gencatan senjata

Nov 20, 2025 | 3:46 PM
Gaza, Palestin, serangan Israel
Seorang warga Palestin yang cedera menerima rawatan di Hospital Al-Ahli Arab di Bandar Gaza, menyusuli serangan udara Israel pada 19 November. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Sekurang-kurangnya 25 rakyat Palestin terbunuh dalam empat serangan udara Israel pada 19 November di sebahagian Gaza yang di bawah kawalan Hamas sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober, kata pihak berkuasa kesihatan.

Tentera Israel berkata pasukannya telah menyerang sasaran Hamas di seluruh Gaza selepas ahli kumpulan militan Palestin itu melepaskan tembakan ke arah tenteranya, dalam pelanggaran gencatan senjata yang telah berlangsung hampir enam minggu.

Hamas mengutuk serangan Israel itu sebagai peningkatan yang berbahaya, dan menggesa Amerika Syarikat supaya “menghormati komitmen yang dinyatakan dan mengenakan tekanan segera ke atas Israel supaya menguatkuasakan gencatan senjata dan menghentikan serangannya”.

Namun seorang pegawai Amerika, yang bercakap tanpa nama, berkata Hamas bertujuan memecahkan gencatan senjata dan tidak memenuhi komitmennya untuk melucutkan senjata.

“Taktik terdesak ini akan gagal,” kata pegawai itu.

Petugas perubatan berkata 10 orang terbunuh di pinggir bandar Zeitoun di Bandar Gaza, dua di pinggir bandar Shejaia di bahagian timur, dan yang lain dalam dua serangan berasingan di Khan Younis di bahagian selatan Jaluran Gaza.

Kejadian tembakan berulang kali telah menunjukkan kerapuhan usaha gencatan senjata itu, dengan Israel dan Hamas saling menyalahkan satu sama lain sebagai pelanggaran gencatan senjata, peringkat pertama pelan 20 perkara yang diusahakan Presiden Donald Trump untuk mewujudkan keamanan jangka panjang di Gaza.

Keempat-empat serangan itu jauh melangkaui “garisan kuning” khayalan yang dipersetujui, yang memisahkan kawasan-kawasan di bawah kawalan Israel dan Palestin, menurut petugas perubatan, para saksi dan media Palestin.

Serangan di Zeitoun berlaku di sebuah bangunan milik pihak berkuasa agama Islam dan serangan di Khan Younis pula berlaku di sebuah kelab yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), yang kedua-duanya menempatkan keluarga-keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg