RAMALLAH: Sekurang-kurangnya 13 rakyat Palestin terkorban dan 15 lagi cedera ekoran serangan Israel terhadap sebuah sekolah yang menjadi tempat berteduh bagi pelarian dan sebuah bangunan perumahan di Gaza, menurut agensi berita rasmi Penguasa Palestin, Wafa, pada 7 September.
Sekurang-kurangnya lapan daripada mereka yang terkorban itu berada dalam khemah pelarian di Sekolah Halima al-Sa’diyya di Jabalia di bahagian utara Gaza, menurut Wafa.
Menerusi satu kenyataan, tentera Israel berkata mereka telah melancarkan serangan terhadap pengganas yang beroperasi dari pusat perintah dan kawalan Hamas yang terletak di sebuah tempat yang sebelum ini dikendali sebagai Sekolah Halima al-Sa’diyya.
Dalam kejadian yang berasingan, lima rakyat Palestin turut terbunuh menyusuli serangan Israel terhadap sebuah bangunan perumahan di kem Nuseirat di bahagian tengah Gaza.
Perang meletus apabila Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh lebih 1,400 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.
Serangan balas dan berterusan Israel telah membunuh lebih 40,500 rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Sebelum ini, agensi berita, Reuters, melaporkan bahawa serangan tentera Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 27 rakyat Palestin di Jaluran Gaza pada 6 September, sedang pekerja penjagaan kesihatan meneruskan usaha vaksinasi polio bagi puluhan ribu kanak-kanak di kawasan tersebut.
Sekitar 11 bulan sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023, beberapa pusingan diplomasi yang telah diadakan sejauh ini gagal mencapai persetujuan gencatan senjata untuk mengakhiri konflik ini.
Kedua-dua pihak terus menyalahkan satu sama lain bagi usaha yang tidak berhasil itu sejauh ini, yang turut melibatkan negara lain seperti Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, penduduk Khan Younis dan penduduk Rafah yang terpaksa dipindahkan terus membanjiri prasarana perubatan, membawa anak mereka untuk mendapatkan vaksinasi polio.
Kempen vaksinasi itu dilancarkan selepas penyakit itu ditemui dalam seorang pesakit bayi berumur setahun yang menyebabkannya separa lumpuh.
Ini merupakan kali pertama penyakit itu ditemui di Gaza – antara tempat yang didiami paling ramai orang di dunia – dalam tempoh 25 tahun.
Penyakit itu timbul semula selepas sistem kesihatan Gaza musnah dan banyak hospital tidak dapat beroperasi dek perang yang sedang berlangsung.
Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata sekurang-kurangnya 160,000 kanak-kanak mendapatkan bekalan vaksinasi itu di bahagian selatan Gaza pada 5 September, apabila pekerja penjagaan kesihatan memulakan peringkat kedua kempen itu, dengan Israel dan Hamas bersetuju untuk berhenti menyerang buat sementara waktu ketika itu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg